"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Rahimi Baru Muncul?

Mohd Sayuti Omar
MUNGKIN banyak orang tidak faham kenapa tiba-tiba muncul lelaki bernama Rahimi Osman dengan kenyataan kononnya dia dipaksa menanda tangani surat akuan sumpah (SD) yang dikatakan berpihak kepada Anwar Ibrahim dengan mengaitkan Rosmah Mansor dan Najib Razak dalam kes liwat itu? Kenapa setelah lebih setahun perbicaraan baru hari ini lelaki yang kelihatan seakan-akan jambu ini muncul?

Yang menjadi tanda tanya juga kenapa sidang akhbar beliau diganggu oleh sekumpulan orang yang dikatakan penyokong Anwar. Akibat gangguan itu menyebabkan sidang akhbar itu terganggu dan dibatalkan.

Kenapa ini berlaku disaat-saat ini. Jika difahami kepada tema sidang akhbar itu jelas ianya cuba memburukkan Anwar. Kononnya Anwar telah memaksa Rahimi agar membelanya. Moral cerita Rahimi itu juga menunjukkan Anwar terjempit dan sanggup menggunakan jalan yang salah.

Dari sudut lain kemunculan lelaki bernama Rahimi itu ia boleh mengeruhkan semula keadaan yang hampir jernih. Selama ini persepsi umum terhadap penglibatan Rosmah dan Najib dalam isu kes liwat ini sudah pun reda. Dengan keluarnya lelaki berkenaan tiba-tiba orang teringat semula.

Apakah sebenarnya yang diburu oleh Rahimi? Apakah dia juga dipaksa agar berbuat begitu seperti mana pengakuannya dipaksa menanda tangani dua surat akuan bersumpah itu? Nampaknya tuduhan liwat ke atas Anwar yang dalam proses perbicaraan kini penuh dengan kemisterian.

Dalam pada itu sekejap tadi saya menerima email kenyataan akhbar oleh Timbalan Presiden PKR berhubung perkara itu yang dihantar oleh Biro Komunikasi PKR. Disiarkan sepenuhnya kenyataan berkenaan;

KEADILAN TIADA KAITAN DENGAN PERCUBAAN GAGALKAN SIDANG AKHBAR

Parti Keadilan Rakyat memandang berat atas percubaan beberapa orang, yang mengakui sebagai penyokong KEADILAN, untuk menggagalkan sebuah sidang akhbar di Kelang semalam.

Mereka dilaporkan sebagai bertindak kasar dan mengeluar kata-kata kesat pada masa itu. Hal ini tidak membantu kes fitnah kedua terhadap Anwar Ibrahim, bahkan menjejas imej Parti.

Saya ingin tegaskan bahawa KEADILAN tidak pernah merestui, apatah lagi mengarah tindakan kumpulan ini. Orang yang dikatakan memimpin kumpulan ini bukannya Naib Presiden Parti ataupun Pembantu Khas Anwar, seperti mana dilaporkan oleh sesetengah media.

Namun begitu kami berpendapat bahawa Rahimi Osman, bekas pembantu Anwar telah berbohong dalam laporan polisnya yang mendakwa beliau dipaksa membuat surat sumpah. Perkara ini akan dijelaskan oleh peguam dalam sidang akhbar tengahari ini.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
KEADILAN
7 Oktober 2010

[wm.kl.9:00 am 07/10/10]

Tiada ulasan: