"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa Korban Tsunami Meningkat kepada 113 Orang, 500 Lagi Hilang




PADANG, Indonesia, 27 Okt: Jumlah angka kematian setakat jam 8 pagi tadi berikutan tsunami yang melanda di Sumatera Barat kini meningkat kepada 113 orang manakala lebih 500 lagi dikhuatiri hilang.

Agensi berita AP melaporkan kawasan bencana terbabit dilanda ombak setinggi tiga meter yang tercetus daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di dasar lautan berhampiran Sumatera Barat, lewat semalam.

Menurut laporan agensi berita itu lagi pasukan penyelamat terpaksa mengharungi lautan yang bergelora untuk sampai ke kawasan pulau yang terpencil berkenaan.

Garisan gempa bumi di kawasan terbabit yang tercetus Isnin lalu juga dilaporkan penyebab gempa bumi yang mencetuskan gelombang tsunami raksaksa lautan Hindi pada Disember 2004 lalu yang mengorbankan lebih 230,000 nyawa di negara-negara yang terbabit.

Walaupun pasukan penyelamat dilaporkan samada sukar atau gagal sampai ke beberapa perkampungan terpencil di sekitar persisiran kepulauan Mentawai, mereka bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jumlah mereka yang terkorban ataupun hilang meningkat.

Tsunami berkenaan menghanyutkan ratusan rumah di dua kampung di pesisiran pantai di Pagai dan Silabu yang adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai.

Pegawai di Agensi Pengurusan Bencana Republik terbabit, Ade Edward berkata, jumlah angka mangsa kepada tsunami berkenaan mula diterima dan sehingga kini semakin meningkat dan kemungkinan juga akan bertambah.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Indonesia berada di kawasan yag digelar "Lingkaran Api Pasifik' dan kerap terdedah kepada bencana gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja.

Sehingga jam 1 pagi tadi, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti mangsa termasuk pelancong dari Australia dan Jepun dalam kejadian itu.

Antara mereka yang hilang dipercayai adalah 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya.

Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Tiada ulasan: