"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokongan mengecut, Umno akan jadi dinosaur tak lama lagi!

SAFAR JUMAAT
TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin muncul dengan ucapan bertajuk "Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan" yang menyentuh banyak mengenai mempertahankan identiti bangsa setelah Presidennya, Dato' Seri Najib Tun Razak mahu kekal dengan slogan 1Malaysia.

Mereka berdua tidak bercanggah tetapi, mereka berdua bermain politik. Ketika Najib mahu dilihat kepada pemimpin semua kaum, dengan ucapan terdahulu di Perasmian Perhimpunan Agung MCA, Muhyiddin pula dilihat bergayut dengan sokongan Melayu.

Mainan politik ini, mereka mengharapkan Melayu, Cina dan India akan menyokong semula BN, selepas BN kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU 12 yang lalu. 

Mereka berdua, Najib dan Muhyiddin dikatakan cukup rapat. Kononnya gandingan terbaik yang pernah berlaku dalam kepimpinan Umno. Maka, kedua-duanya, perlu menampakkan ada sedikit perbezaan.

Najib mahu terus menjadi pemimpin 1Malaysia, yang dianggap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak jelas konsepnya dan perlu dijelaskan lagi. 

Manakala, Muhyiddin, mahu terus dilihat sebagai "Melayu dahulu baru Malaysia".

Perlu dicatatkan, Muhyiddin juga menyokong saranan Dr. Mahathir supaya Konsep 1Malaysia diperjelaskan semula, sedangkan semua sudah tahu apakah yang dimaksudkan dengan 1Malaysia itu.

Orang Melayu yang menyokong Umno benar-benar berkecil hati dengan Najib. Mereka merasakan sejak Najib melaungkan slogan 1Malaysia, Umno terasa mereka tersisih. Kata mereka, Najib terlalu melayan karenah bukan Melayu hingga Melayu terabai.

Muhyiddin pula, diberikan peranan oleh Najib, supaya menampakkan dirinya sebagai tempat Melayu boleh menumpang, mampu berpaut. 

Jika kedua-duanya, turut dilihat sebagai pendokong 1Malaysia, nescaya, hari ini, Perhimpunan Agung Umno, akan menjadi sasaran mereka yang ektremis Melayu, melontarkan kecaman.

Najib mahu orang Umno mengamalkan budaya politik baru. Apa maksud budaya politik baru itu, baru saja mahu mereka perbincangkan. Yang pastinya, orang susah di kampung-kampung, terbiar begitu sahaja, kecuali menjelang Ramadan akan nada sedikit bantuan beras, minyak dan gula.

Budaya politik baru bagaimana ya yang Najib mahukan? Apakah budaya politik dengan berkereta mewah baru, atau memperkayakan adik beradik dan anak menantu? 

Persoalan ini, barangkali tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkannya. Najib, sudah hampir pasti dilihat sentiasa bersama adik beradiknya. Muhyiddin pula dikatakan sedang membina empayar anak dan menantu. 

Kedua-duanya, sudah menyamai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang diserang teruk kerana isu 3K iaitu Kamaruddin, Kalimullah dan Khairy!

Dalam setahun Najib hanya mahu duduk bersama perwakilan Umno hanya tiga hari sahaja. Katanya, dia bersikap terbuka dengan ucapan perwakilan. Muhyiddin pula, yang sedang lemas dengan sikap pegawai-pegawainya yang dikatakan sombong, risau kalau-kalau perwakilan yang menyerangnya secara terbuka.

Kedua-dua mereka ini, adalah orang yang terlibat sama dalam Team Wawasan. Tapi kini, kedua-duanya mahu dilupakan dari label itu. 
Kedua-dua mereka ini juga, terlibat dalam meruntun tangan Abdullah Badawi turun dari kerusi Perdana Menteri. Tetapi, kedua-duanya sudah meminta maaf.

Disebabkan kedua-duanya berjaya menarik Abdullah turun, maka, kedua-duanya menjadi 'budak kesayangan' Dr. Mahathir. Mahathir sudah puas menjelajah ke serata pelosok tanahair, memberi ucapan bertujuan menyerang Abdullah. Namun, ia tidak berjaya.

Bukan itu sahaja. Usaha Dr. Mahathir untuk menjadi perwakilan Umno dari bahagian Kubang Pasu juga dihampakan oleh orang-orang Abdullah. Dr. Mahathir bertindak keluar dari Umno, sebagai tanda kecewa.

Perasaan perwakilan Umno kali ini dipermainkan lagi. Mereka dinyanyikan dengan dendangan bahawa mereka mesti mengamalkan budaya politik baru, kata Najib. Muhyiddin pula, mahu dilihat sebagai juara orang Melayu yang tidak perlu apologetic untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu.

Kalau orang Melayu tersintuk limau dengan kata-kata mereka berdua, maka perbahasan di Perhimpunan Agung Umno ini akan menjadi lemah.  Puji-memuji akan berterusan dan sesekali akan diselang-selikan dengan lawak jenaka, bertujuan menghiburkan hati-hati yang marah.

Sedaya upaya, akhbar arus perdana akan memainkan peranan mereka menyembunyikan isu yang berbangkit dalam Pembentangan Bajet 2011 beberapa hari yang lalu. 

Sorak-sorai perwakilan yang seolah-olah menyambut hari raya akan digambarkan dengan penuh warna-warni, seolah-olah Umno kini sudah kembali seperti sediakala.

Dalam masa yang sama, sudah banyak sistem pesanan ringkas (SMS) tersebar, mengatakan ada rombongan dari Sungai Petani mahu mengadakan piket kerana ada rasa tidak puashati terhadap Umno Negeri Kedah.

Ada juga SMS yang mendakwa ada nada kumpulan mengeboo Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ini semua masalah! Walaupun Najib dan Muhyiddin mahu memberi gambaran bahawa Umno kini sudah pulih seperti sediakala apabila mereka berdua menerajuinya, hakikatnya, ia tidak begitu.

Disebabkan tahun ini bukan tahun pemilihan, mungkin duit tidak begitu banyak beredar dan tidak banyak rombongan membawa penyokong ke Kuala Lumpur. Tetapi, budaya ini atau budaya lama Umno ini akan berlaku semula, walaupun sistem pemilihan akan diubat formatnya.  

Ketika segala anaconda, buaya, naga dan sepsis makhluk pemusnah ada di dalam Umno, Umno tidak akan pulih. Sokongan akan semakin mengecut dan akhirnya, Umno akan menjadi dinosaur! 

Tiada ulasan: