"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

India akan minta Malaysia tahan Zakir Naik

AGENSI Penyiasatan India (NIA) akan mengeluarkan permintaan penahanan sementara kepada pihak berkuasa Malaysia terhadap pendakwah Islam buruan Dr Zakir Naik, lapor Times of India.

Akhbar berbahasa Inggeris itu berkata NIA juga akan memfailkan permintaan baru kepada Interpol esok bagi mendapatkan notis arahan merah (RCN) terhadap Zakir, yang dipercayai berada di Malaysia.

"Berhubung permintaan penahanan sementara, Malaysia, seperti terma perjanjian ekstradisi dengan India, diwajibkan untuk mengesahkan lokasi Naik dalam bidang kuasanya dan menahannya sementara menunggu permohonan permintaan ekstradisi formal oleh India," kata laporan itu.

Menurut sumber NIA, laporan itu berkata Malaysia terpaksa menahan Zakir sebaik sahaja ia menerima permintaan penangkapan sementara.


"Sebaik sahaja penahanan itu dibuat, permintaan rasmi untuk pengeluaran beliau mesti dilakukan oleh India dalam tempoh 60 hari," katanya.

Interpol pada awal bulan ini menolak permohonan India bagi notis amaran merah terhadap Zakir, dengan alasan polis India tidak memfailkan sebarang tuduhan rasmi terhadap pendakwah itu. Permintaan notis amaran merah difailkan pada Mei.

NIA hanya memfailkan kertas pertuduhan terhadap Zakir pada Oktober, yang dikatakan bersembunyi di Malaysia kerana didakwa menghasut anak-anak muda menjalankan kegiatan keganasan dan memberi ucapan berunsur kebencian.

"Suruhanjaya mendapati, pada peringkat prosiding ini, arahan notis merah untuk menangkap pemohon bagi ekstradisi beliau adalah pramatang," Suruhanjaya bagi Kawalan Fail Interpol dilaporkan berkata dalam keputusan pada Oktober.

Sementara itu, saluran berita berbahasa Inggeris di negara itu, Times Now melaporkan jurucakap Zakir mendakwa penolakan notis merah itu disebabkan kekurangan bukti, kegagalan pihak berkuasa India mematuhi undang-undang dan kecenderungan politik dan agama.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India kerana dakwaan keganasan dan pengubahan wang haram. Yayasan Penyelidikan Islam miliknya diharamkan di India.

Beliau melarikan diri dari India pada Julai tahun lepas selepas pengganas di Bangladesh mendakwa mereka terinspirasi dengan ucapannya, mendorong pihak berkuasa menyiasat kegiatannya.

Pasport India milik Zakir yang dibatalkan pada Julai tahun ini, mendakwa pihak berkuasa India tidak adil menjadikannya sasaran kerana bergama Islam dan menegaskan hanya hanya mempromosikan keamanan dalam ucapannya.

Diharamkan memasuki UK pada 2010, pendakwah mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi dan diberikan status pemastautin tetap di Malaysia lima tahun yang lalu.

Doktor perubatan berusia 52 tahun itu mencetuskan kontroversi dengan imej Islam yang melampau, di mana beliau mengesyorkan hukuman mati bagi homoseksual dan mereka yang murtad, menurut laporan media.

Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Zakir akan dihantar pulang jika kerajaan India meminta ekstradisi beliau.

Zahid juga berkata pendakwah itu tidak melanggar undang-undang tempatan, dan tidak melakukan sebarang jenayah di Malaysia.

Tiada ulasan: