FMT Reporters
PETALING JAYA: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mungkin yang tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Ini susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada bulan lalu yang berkata, dana itu akan meneruskan rekod prestasi 5 tahunnya untuk mengatasi inflasi sekurang-kurangnya 3.5% mata.
Susulan pendedahan kerajaan yang kadar inflasi tahun lalu sebanyak 3.7%, spekulasi kini timbul yang dividen KWSP mungkin sekurang-kurangnya 7.2%, lapor The Straits Times.
Ini berbanding dividen 5.7% yang diumumkan tahun lalu dan 6.4% pada 2016. Pembayaran kepada pencarum bagi 2 tahun itu masing-masing berjumlah RM37 bilion dan RM38 bilion.
Akhbar Singapura itu berkata, berdasarkan dividen yang dijangka lebih tinggi tahun ini, jumlah pembayaran juga dijangka mencapai rekod baharu RM40 bilion buat julung kali.
Langkah itu tidak mengejutkan kebanyakan pemerhati kerana tahun ini Malaysia akan mengadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka paling sukar pernah dihadapi Barisan Nasional tidak lama lagi.
Jika KWSP mengikut trend 5 tahunnya, ia adalah pertama kali sejak 1 yang dividen itu mencecah 7%, hanya setahun sebelum krisis mata wang menjejaskan ekonomi.
Sejak itu, dividen tertinggi diagihkan KWSP ialah 6.84% pada 1999, ketika BN berdepan satu lagi tahun PRU mencabar, berdepan pakatan pembangkang diketuai Parti Keadilan Nasional, PAS dan DAP, susulan
penahanan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain faktor PRU14, ada penganalisis berpendapat tahun lalu baik untuk pasaran ekuiti.
Permodalan Nasional Berhad pada Disember lalu mengumumkan pembayaran dividen 7% bagi 2017 berbanding 6.75% pada 2016.
“Berdasarkan prestasi pelaburan dan aset portfolio KWSP, tidak hairan kadar dividen mungkin lebih tinggi daripada 6%,” kata pensyarah ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng dipetik The Sun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan