"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik Covid: Penurunan sokongan untuk Muhyiddin dan langkah Anwar

DR YUSRI IBRAHIM

Penghujung Mac lalu, populariti TS Muhyiddin sebagai PM memuncak naik, khususnya sejurus beliau membentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi menangani pandemik Covid-19.

Pada waktu itu beliau dilihat sebagai penyelamat Malaysia, ucapan beliau sangat dinanti-nanti, gurauan beliau serba menjadi dan diterima oleh khalayak umum.

Ketepatan menangani Covid-19 pada waktu itu memberi pulangan politik (political miliage) yang besar terhadap kepimpinan beliau.

Namun tanpa diduga, hanya dalam tempoh enam bulan lebih populariti TS Muhyiddin kembali menjunam, juga disebabkan Covid-19.

Analisis sentimen menunjukkan bunga-bunga hilang kepercayaan (trust deficit) masyarakat awam terhadap kerajaan bermula apabila seorang menteri kabinet terlepas kuarantin sekembalinya dari luar negara.

Kegagalan menangani isu tersebut secara tuntas ditambah dengan pelbagai drama dolak dalih, menyebabkan rakyat mula mempertikai keseriusan kerajaan menangani ancaman virus itu.

Walau pelbagai hujah digunakan untuk mempertahankan tindakan menteri tersebut termasuk menghudhudkan tindakan beliau, kerajaan terpaksa membayar harga sangat mahal untuk kelemahan tersebut.

Insiden itu mencetus protes khalayak awam yang bukan sedikit, rakyat mula melihat kerajaan menggunakan dua set undang2 berbeza untuk menangani Covid-19, bangsawan dan marhain.

Ketidakpuasan yang bermula waktu itu mula berkembang dan memuncak pasca PRN Sabah apabila masyarakat awam sekali lagi mempertikai cara kerajaan mengendali elit politik yang balik berkempen dari sana.

Setelah bermula cemerlang Mac lepas, TS Muhyiddin nampaknya perlu mencari formula ampuh untuk meningkatkan kembali populariti beliau sebagai PM, sekaligus populariti Kerajaan PN.

Ucapan beliau dalam perutusan khas dua hari lepas tidak mencapai impak yang diingini bahkan jadi backfire, gurauan rotan pun tidak lagi mampu mencetus senyum seperti mauduk Makcik Kiah dan pelbagai gurauan lain sebelum ini.

Adun lantikan Sabah

Pasca PRN Sabah, hari ini KM Datuk Hajiji Noor melantik wakil Pas sebagai wakil rakyat lantikan untuk DUN negeri tersebut, mencetus sejarah baru kepada parti bernuansa Islam itu.

Lantikan tersebut merupakan langkah strategik untuk pengukuhan PN, khususnya sewaktu Umno sedang mempertimbang semula kerjasama dengan Bersatu.

Keputusan itu akan menguatkan lagi kerjasama Pas dengan Bersatu dan mengukuhkan keberadaan dalam PN, sekaligus mengurangkan pilihan Umno untuk meninggalkan kerjasama dengan Bersatu jika Pas memilih untuk kekal.

Walaupun langkah bijak, namun tindakan melantik Pas ke dalam DUN Sabah juga mendedahkan PN kepada risiko sokongan parti2 Borneo kepada perikatan tersebut.

Sama ada parti-parti di Sabah atau di Sarawak khususnya GPS, bukan rahsia lagi bahawa mereka kurang senang dan bimbang dengan penyertaan Pas dalam kerjasama mereka.

Mereka bimbang penerimaan terhadap Pas akan mengurangkan sokongan penduduk tempatan Borneo kepada parti2 lokal mereka, stigma sekian lama terhadap Pas.

Langkah Anwar

Asalnya risiko tersebut tidak terlalu besar, khususnya dalam masa terdekat, apatah lagi dengan jangkaan PRU akan ditangguhkan dulu buat sementara akibat Covid-19 sekarang ini.

Namun risiko itu kembali meningkat apabila Anwar hari ini mengumumkan telah mendapat perkenan Istana Negara untuk majlis mengadap KDYMM Tuanku YDPA.

Anwar mendakwa beliau akan menyembah maklum kepada YDPA bahawa beliau telah mempunyai majoriti sokongan untuk dilantik sebagai PM.

Sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak bukan lagi menjadi isu, dakwaan itu sendiri dan keizinan mengadap telah berjaya mencetus polemik baru politik tanah air.

Dalam politik tiada yang mustahil, termasuk kemungkinan parti-parti Borneo mula merundingkan sokongan kepada Anwar dalam tempoh sehari dua sebelum menjelang Selasa ini.

Dakwaan oleh Anwar dan keizinan mengadap boleh jadi faktor penarik kepada rundingan ini, manakala lantikan wakil Pas dalam DUN Sabah berisiko jadi faktor penolak kepada PN oleh parti-parti Borneo khususnya GPS.

Inilah situasi politik negara kita sehari dua ini, situasi yang saya rumuskan sebagai Politik Kovid.

Politik Kovid ini akan terus bergerak dengan pantas, walaupun lenguh dan patah tangan Sayed Sadiq menekan butang pause.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ilham Centre.

Tiada ulasan: