"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Abah’ sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai PM?

RAYUSA

Ucapan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri (PM), 6 Oktober lalu mengenai situasi Covid-19 menyebabkan rakyat tidak peduli lagi pada pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 nanti yang telah diumumkan oleh beliau sendiri.

Ramai yang kecewa, malah berang dengan perutusan Muhyiddin kali ini. Mereka yang pernah menyanjung, kini beralih arah, malah ada yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan.

Selepas perutusan tersebut, #MuhyiddinOut menjadi trending di media sosial. Selebriti terkenal Adibah Noor turut sinis dalam akaun Twitternya apabila menulis, ‘Sebenarnya nak cakap pasal apa ni…????’

Pada hari itu, kes baharu Covid-19 yang tertinggi setakat ini – 691, dan berlaku empat kematian. Ramai yang menunggu-nunggu apakah perkara penting, terutamanya yang berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disampaikan oleh Muhyiddin.

Walau bagaimanapun, selepas (seperti biasa) memulakan perutusan dengan bertanya khabar dan berharap semua rakyat sihat sejahtera, Muhyiddin mengulang-ulang perkara yang serupa tentang Covid-19.

Memang Muhyiddin mengakui antara sebab kenaikan mendadak kes Covid-19 hari demi hari ialah Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-16, atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu.

Gabungan Rakyat Sabah memenangi PRN Sabah itu dengan majoriti mudah. Daripada 73 kerusi, ia memperoleh 38 kerusi (Perikatan Nasional mendapat 17 kerusi, Barisan Nasional 14, dan Parti Bersatu Sabah tujuh kerusi).

Dalam ucapan yang dianggap oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai paling lemah itu, Muhyiddin menceritakan beliau berkempen dengan selamat, dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP). Beliau juga meminta maaf kerana tidak mampu ke semua tempat.

Bagus menunjukkan teladan sedemikian biarpun seperti ‘masuk bakul angkat sendiri’. Namun begitu, Muhyiddin terlupa/tidak meminta/menasihati menteri-menterinya, serta wakil rakyat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak melanggar SOP ketika berkempen, dan setelah pulang dari berkempen PRN Sabah.

Sebaliknya, rakyat yang dinasihati Ahli Parlimen Pagoh itu. Kita belum menang, katanya. Muhyiddin seperti cuba tegas dalam berseloroh apabila memohon maaf kerana mula mahu merotan rakyat yang ingkar. “Maaflah kalau abah mula mahu merotan sekarang,” katanya yang disambut oleh kecaman warga Internet.

Mengapa rakyat juga yang disalahkan, padahal ahli politik PN yang sepatutnya bertanggungjawab? Kalau mahu merotan, rotanlah menteri-menteri yang ingkar terlebih dahulu, kata mereka.

Muhyiddin sepatutnya merotan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ahli Parlimen Bera itu menyatakan mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu kuarantin wajib 14 hari, sebaliknya cukup menjalani ujian swab sahaja.

Ismail bukan sahaja salah, malah tidak menghiraukan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar semua yang pulang dari Sabah menjalani kuarantin wajib 14 hari. Oleh kerana Ismail Menteri Kanan, Noor Hisham terpaksa mengubah (mengalah) nasihat beliau agar selaras.

Lihatlah hasil ‘kebijaksanaan’ Ismail itu. Semua, termasuk menteri-menteri PN yang pulang dari Sabah ke sana ke sini di Semenanjung, walaupun ada yang kemudian sahkan positif Covid-19.

Malang sekali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang (paling) diharapkan memberi teladan murni pun ingkar, dan kini dirawat di hospital akibat positif Covid-19! Ramai yang kecewa hingga meminta Dr Zulkifli meletakkan jawatan kerana gagal menjadi contoh yang baik.

Setelah kes naik mencanak dan kematian bertambah, ‘Abah’ hanya berkata sudah mula mahu merotan. Cuma mahu merotan, bukannya sudah merotan. Mahu hanya keinginan, belum (bukan) perbuatan lagi.

Apakah Muhyiddin mahu merotan anak-anak buahnya yang degil? Jika serius, sebelum Zulkifli, beliau telah merotan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana mengingkari kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, lama sebelum PRN Sabah. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hanya membayar denda RM1,000 dan mendermakan empat bulan gajinya, sambil memohon maaf.

Muhyiddin juga wajar merotan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor kerana tidak memakai topeng/pelitup separuh muka ketika membuat tinjauan terhadap masalah rakyatnya. Wajar dan sangat bagus walaupun tidak menghairankan kerana itu memang tugas beliau apabila mengatakan gembira membuat tinjauan.

Cuma, kecaknaan dan keriangan Sanusi itu akan lebih mantap/lengkap jika beliau memakai pelitup separuh muka. Teladan boleh diberikan menerusi atau dalam pelbagai hal/cara. Sanusi tentu maklum keadaan Covid-19, apatah lagi di Kedah ketika ini, dan SOP. Malangnya, mengapa beliau seperti ‘menempah’ penyakit, sambil memberi contoh buruk?

Persendaan baharu terhadap Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba turut muncul dalam media sosial. Kekaguman dan hormat yang tinggi terhadap Noor Hisham menyebabkan ada warga Internet yang membuat cadangan kepada Muhyiddin agar melantik Hisham sebagai Menteri Kesihatan Malaysia. Adham cukup sekadar menjadi pemandu ambulans sahaja, kata mereka. Beliau juga tidak dirotan oleh Abah awal-awal dahulu kerana saranan air suamnya.

Sebelum ini, ramai yang kekal memuji dan berterima kasih kepada Muhyiddin kerana akan memberikan BPN 2.0 pada penghujung Oktober 2020, dan awal Januari 2021 meskipun jumlahnya berkurangan.

Di samping sedang berdepan gesaan meletakkan jawatan, Muhyiddin juga dihantui kemungkinan hilang jawatan. Barangkali itu yang menyebabkan beliau memberikan ucapan paling lemah sebagai PM. Keyakinan dan tumpuannya goyah.

Masakan tidak. Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk mempersembah senarai majoriti sokongan ahli Parlimen pada 13 Oktober nanti. Benarkah ‘Abah’ sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai PM?

Tiada ulasan: