"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PERUTUSAN KHAS PM BANYAK PEMBOHONGAN, DIKECAM DAN RAMAI INGIN BELIAU SEGERA DIHUMBAN

Shahbudin Husin
Walaupun Muhyiddin Yassin sedang dikuarantin di kediamannya selama 14 hari buat kali kedua ketika ini, perutusan khas secara langsung yang disampaikannya petang semalam tetap dikecam ramai, malah ditolak oleh majoriti rakyat.

Rata-rata rakyat bersuara memperlekeh tindakan Muhyiddin yang asyik melakukan perutusan khas, sedangkan isi yang disampaikannya bukan perkara baru, sudah diketahui umum, tidak penting, mengarut, hanya untuk membela diri sendiri serta terselit beberapa pembohongan.

Kalau sekadar mahu menyampaikan isi-isi yang begitu, lebih baiklah Muhyiddin berehat dan bermain dengan cucu-cucu saja dalam tempoh kuarantin ini.

Kata mereka, mesej dalam perutusan khas sepatutnya melibatkan perkara penting untuk rakyat dan sebab itu perutusan khas bukan boleh dilakukan terlalu kerap, misalnya setahun sekali atau ketika hari-hari kebesaran tertentu saja.

Ini perutusan khas apa namanya kalau ia dilakukan hampir setiap bulan dan sejak memegang jawatan PM sejak Mac saja hampir 10 kali perutusan khas telah disampaikan oleh Muhyiddin.

Ramai yang berharap agar tiada lagi perutusan khas disampaikan Muhyiddin selepas ini, sebaliknya lebih wajar beliau menunjukkan keberaniannya dengan mengadakan sidang media dengan para wartawan bebas bertanyakan soalan kepadanya.

Dengan asyik mengadakan perutusan khas dan takut berdepan secara terbuka dengan media, Muhyiddin kini adalah satu-satunya Perdana Menteri yang paling lekeh dan berjiwa kecil berbanding semua Perdana Menteri sebelum ini.

Yang paling membuatkan rakyat meluat dan menyampah ialah kata-katanya mahu merotan mereka yang enggan mematuhi SOP untuk mencegah penularan Covid-19.

Kata-kata itu tidak lebih hanya merupakan suatu retorik untuk menunjukkan ketegasannya sedangkan Khairuddin Attakiri yang melanggar perintah kuarantin dan Zulkifli Albakri yang didapati selalu tidak memakai pelitup muka dalam beberapa program sekembalinya dari Sabah sehingga akhirnya disahkan positif Covid-19, tidak pun berani dijentiknya.

Kalau betul nak merotan, rotanlah dulu Attakiri dan Albakri, dua menterinya itu terlebih dahulu.

Muhyiddin seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak bersikap “double standard” dalam bertindak terhadap mereka yang melanggar arahan dalam mengawal penularan Covid-19.

Heyyy…janganlah temberang kuat sangat, kalau tiada “double standard”, mengapa kes Attakiri yang sudah begitu lama berlalu, tetapi masih belum ada apa-apa tindakan?

Kalau rakyat biasa tidak memakai pelitup muka didenda RM1000, mengapa menteri yang tidak memakainya tidak dikenakan apa-apa denda?

Selain itu, dalam usahanya membela diri konon beliau sentiasa mematuhi SOP ketika berkempen dalam PRN Sabah, Muhyiddin mengatakan, selepas saja berceramah, beliau akan terus pulang dan tidak melibatkan diri dalam sebarang perkumpulan dengan orangramai.

Namun, berdasarkan beberapa keping gambar yang didedahkan di media sosial, banyak sekali terdapat beliau bersama dengan orangramai selepas berkempen dan dalam keadaan penjarakan fizikal tidak dijaga.

Tidakkah dalam hal ini Muhyiddin sebenarnya telah berbohong?

Muhyiddin juga cuba meletakkan kesalahan berkenaan pembubaran DUN Sabah kepada TYT negeri itu sehingga PRN terpaksa diadakan dan seterusnya menyebabkan Covid-19 menular semula.

Katanya, oleh kerana pembubaran dilakukan oleh TYT Sabah, maka tidak dapat dielak daripada diadakan pilihanraya.

Sekali lagi, Muhyiddin cuba berbohong sambil tidak menghormati kedudukan TYT Sabah selaku ketua negeri tersebut.

Dalam hal tersebut, siapakah yang membuat kacau dan cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal?

Bukankah ia dilakukan oleh Musa Aman yang melakukannya setelah 46 kes rasuah dan penggubahan haram melibatkannya digugurkan secara tiba-tiba oleh Jabatan Peguam Negara?

Berkaitan hal yang sama, siapa pula yang menghantar Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Nardin Awang ke Sabah untuk membantu Musa Aman dalam usahanya menumbangkan Shafie Apdal?

Kalau kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal tidak diganggu dan Hamzah serta Nardin tidak terlibat membantu Musa, apakah mungkin DUN Sabah dibubarkan?

Siapa yang Muhyiddin cuba bohongi dalam perutusan khasnya kali ini?

Yang nyata, perutusan khas semalam lebih menyerlahkan penolakan rakyat yang semakin melebar terhadap Muhyiddin.

Ternampak begitu ramai yang mengecam, meluahkan rasa marah, benci dan ingin menolaknya daripada terus menerajui negara ini.

Ia kemudian disusuli dengan tanda pagar #MuhyiddinOut, #AbahResign dan #NotMyPM yang semakin sarat dan meluas di media sosial.

Baru lapan bukan menduduki pejabat di Perdana Putra, Muhyiddin nampaknya lebih cepat dikecam, ditolak dan ingin dihumban berbanding Najib Razak dahulu.(Shahbudindotcom 07/10/2020)

Tiada ulasan: