"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapakah yang Umno lebih percaya, Muhyiddin atau Anwar jadi kunci kerajaan baharu

BORHAN AHMAD

Kegagalan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjaga hati para pemimpin dan ahli Umno khasnya selepas pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini dipercayai telah menjadi sebab langsung kenapa kerajaan beliau bakal jatuh.

Inilah pandangan para pemerhati politik bahkan juga orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selepas beliau (Anwar) diterima menghadap Yang Dipertuan Agong, yang dijadualkan Selasa 13 Oktober ini.

“Siapa yang Umno lebih percaya. Bos (Anwar) atau Muhyiddin. Terbukti Umno tidak boleh percaya kepada Muhyiddin selepas diberikan peluang untuk membentuk kerajaan bersama Umno.

“Kes di Sabah saya yakin menjadi punca utama Umno membuat keputusan untuk menyokong bos,” kata orang kanan Anwar kepada Malaysia Dateline.

Selepas Yang Dipertuan Agong bertemu dengan Anwar Selasa depan, baginda dipercayai akan bertemu dengan semua pegawai kanan kerajaan yang ada kaitan khasnya Muhyiddin sendiri di samping Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan lain-lain pihak.

“Oleh kerana Muhyiddin dalam kuarantin sehingga 16 Oktober, beliau dijangka akan dipanggil menghadap selepas itu.

“Jika semua berjalan lancar, Ahad atau Isnin (18 atau 19 Oktober) majlis angkat sumpah akan berlangsung,” kata sumber itu lagi.

Menurut beliau, jumlah ahli parlimen yang menyokong Anwar sudah cukup. Turut menyokong adalah parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam pertemuan antara pemimpin AMANAH, DAP dengan Shafie dan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu, Mahathir memberitahu beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Anwar.

“Saya tidak tolak Anwar. Dia yang tolak saya,” kata Tun Dr Mahathir kepada pemimpin dari AMANAH, DAP dan Warisan dalam pertemuan itu.

“Kalau macam itu lagi mudah,” kata orang kanan Anwar ketika diberitahu mengenai perkara itu. Beliau turut berkata, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu diberikan mandat untuk berunding dengan Tun Dr Mahathir.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar mempunyai sokongan sekitar 123 MP tidak termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib dari Umno.

Turut tidak termasuk dalam senarai ketika itu adalah Tun Dr Mahathir dan penyokongnya.

“Najib dan Zahid tidak termasuk dalam senarai itu,” kata sumber kepada media yang membawa maksud hanya MP Umno yang menyokong bukan Umno keseluruhannya.

Ia disahkan oleh Zahid kemudiannya yang berkata, Umno tidak mempunyai hubungan dengan Perikatan Nasional, hanya MP Umno secara individu.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” kata Zahid dalam kenyataan selepas pengumuman Anwar 23 September lepas.

Tiada ulasan: