"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terlebih emosi tidak ke mana, bertindaklah sebagai ahli kerajaan bertanggungjawab

RAJA BAHRIN SHAH

Saya ingin memberi pandangan berhubung kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kesal undang-undang Islam boleh dibatalkan oleh undang-undang penjajah ciptaan manusia di Malaysia.

Isu ini wujud sejak merdeka lagi dan terus berulang dalam situasi hari ini.

Bagaimanapun ia mesti ditangani dengan penuh sabar serta bijaksana tanpa emosi yang kadangkala boleh menimbulkan kekacauan.

Abdul Hadi pernah bercakap isu ini dengan berapi-api sebagai pembangkang dahulu dan kini nadanya hampir sama walaupun sudah menjadi sebahagian kerajaan yang berkuasa dan menjadi Duta Khas bertaraf Menteri.

Bukan itu sahaja, Menteri Agama, Dato Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Agama YB Marzuk kedua duanya dari Pas parti beliau sendiri menjadi pemimpin nombor satu.

Sebagai ahli Parlimen kerajaan, cubalah cadangkan penyelesaian jangka masa panjang di mana beliau ada menyatakan wujudnya pertembungan kuasa Raja-Raja Melayu di peringkat negeri dan Mahkamah Persekutuan.

Kumpul para agamawan, cerdik pandai dan pakar undang-undang untuk mencari jalan menyelesaikan “conflict of law” antara undang-undang Islam Negeri dan undang-undang sivil.

Lebih baik mereka yang berada dalam kerajaan bertindak dengan tenang dan kurang beremosi seperti semasa pembangkang dahulu kerana cara emosi telah lama tidak membawa kita ke mana-mana titik penyelesaiaan tetapi sebaliknya hanya menimbulkan kekecohan.

Itulah sebaik-baiknya jika kita mahu cari penyelesaiaan jangka masa panjang dan bukan medan pertelingkahan yang tajam yang boleh menghancurkan negara.

Peranan kerajaan ialah untuk mencari penyelesaian pendamaiaan yang baik membina negara yang aman harmoni untuk semua dan bukan untuk meneruskan pertelingkahan yang berterusan.

Selain daripada isu ini, Abdul Hadi dan Pas pernah juga membawa isu seperti RUU 355 semasa menjadi pembangkang tetapi walaupun telah menjadi kerajaan isu tersebut telah diam begitu sahaja.

Abdul Hadi, dan lebih khusus lagi Idris Ahmad sebagai Menteri Agama, sepatutnya berperanan pro aktif mententeramkan keadaan kearah penyelesaiaan dan bukan menyumbang ke arah pertelingkahan.

Menteri Agama belum mengeluarkan sepatah kenyataan pun lagi dalam isu ini.

Mereka perlu ingat dan bercakap sebagai kerajaan bertanggungjawab dan bukan lagi pembangkang.

Gunakan lah kuasa yang diidami dan di miliki hari ini untuk kebaikan kerana telah menjadi kerajaan untuk semua dan bukan hanya sebahagian dari rakyat Malaysia.

Isu penting sebegini tidak boleh di bawa cara bermusim mengikut suasana semasa atau politik tetapi perlu di buat secara berterusan dengan ikhlas .

Apabila isu agama bercampur politik, agama Islam, masyarakat serta negara akan menjadi punah.

Kita mempunyai sembilan negeri dengan Raja-Raja Melayu dengan undang-undang yang perlu diselaraskan bersama dengan undang undang Persekutuan.

Tunjuklah kebijaksanaan berilmu tanpa membangkitkan emosi serta sentimen untuk penyelesaian.

Menyalahkan undang-undang penjajah Inggeris berpuluh tahun tidak membawa kita ke mana.

Bertindaklah sebagai ahli anggota kerajaan yang bertanggungjawab untuk mencari kedamaian penyelesaian untuk seluruh rakyat dan bukan membangkit emosi di kalangan rakyat tanpa solusi mengikut ajaran Islam sebenarnya.

Rakyat dan dunia memerhati bagaimana kerajaan hari ini menangani isu ini setelah kerajaan hari ini telah mengambil alih kuasa pentadbiran negara.

Tiada ulasan: