"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah rakyat Johor akan menoktahkan undi mereka kepada BN-PN yang khianat?

DR SHAHNOR BASRI

Apakah yang akan bakal berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? BN akan bertanding solo, Pas pula menyatakan keserasian mereka untuk bersama PN dan apa pula nasib yang bakal dicapai oleh PH.

Adakah rakyat masih terpengaruh dengan fitnah politik yang disemarakkan kembali oleh Umno-BN dan juga Pas tentang ‘konon kegagalan’ kerajaan PH? Ini semua hikayat yang akan kita lihat.

Adakah seperti yang telah berlaku dalam PRU14 di mana yang kalah memerintah dan yang menang bakal menjadi pembangkang? Semuanya di tangan kematangan pengundi. Sekiranya rakyat tidak sedar dan membuka mata terhadap kebobrokan BN selama hampir 60 tahun, maka semuanya akan kekal status-quo!

Rasuah, kronisma, nepotisma, salah guna kuasa, tiada integriti dan pentadbiran otak sempit akan berterusan untuk beberapa fasa kehidupan lagi. Masa hadapan bangsa Malaysia dan generasi masahadapan akan menjadi korban.

Adakah rakyat Johor akan menoktahkan undi mereka kepada BN-PN yang khianat?

Pilihan Raya Negeri Melaka telah berlaku dengan Barisan Nasional merangkul pingat kemenangan bergaya. Langkah yang yang diambil oleh DS Idris Haron tidak memberi apa-apa impak kepada Pakatan Harapan, malah kehilangan lebih banyak kerusi.

Perikatan Nasional (PN) juga tidak langsung memberikan kesan dalam PRN Melaka, malah kecundang teruk dan berada di luar kerajaan negeri! Negeri pula telah diterajui oleh muka-muka yang dikatakan mempunyai masalah besar dari sudut integriti dan keluhuran tadbir-urus yang baik.

BN berkuasa atas satu usaha untuk melihat sokongan rakyat terhadap mereka dan rakyat pula semacam tidak serik dengan keganasan urus tadbir dan kebobrokan pimpinan BN selama 60 tahun dipersada kekuasaan.

Di peringkat pusat seperti mana telah diketahui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Saberi telah memeterai perjanjian khusus bersama pimpinan PH dan antara kandungannya jaminan kerajaan untuk tidak membubarkan Parlimen atau mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum 31 Julai 2022.

Namun jika kita meneliti secara mikro sebenarnya PH telah ‘dipermainkan’ seperti mana juga PH telah dipermainkan ketika untuk menurunkan TS Mahiadin Yassin sebagai PM.

Memang benar di peringkat pusat tiada PRU akan tetapi pilihan raya negeri telah digerakkan bermula di Melaka dan terkini di Johor dan tidak mustahil jika ia menjalar ke negeri-negeri lain dan akhirnya akan memaksa sesegera mungkin PRU15 diadakan.

Dalam mencatur kekuasaan, Pas dilihat dengan jelas mengatur gerakan supaya membolehkan mereka boleh menumpang di persada kekuasaan. Pendekatan yang jelas diambil adalah dengan mencatur posisi kepada siapa yang boleh kekal berkuasa.

Bermula dengan Muafakat Nasional dan kini bersungguh-sungguh untuk mengikat diri dengan Perikatan Nasional (PN)

Tanpa mereka menyedari sebenarnya mereka sebenarnya dipinggirkan oleh kedua-dua pemuafakatan tersebut. Walaupun berusaha memposisi diri sebagai partai Islam terunggul, namun Pas telah terpalit dengan pakatan parti-parti yang terpalit dengan salah guna kuasa atau kluster mahkamah dan kelompok pengkhianat dari serpihan parti membentuk PH (Bersatu dan serpihan PKR).

Slogan Islam yang mereka bawa kini hanya tinggal slogan. Yang tinggal kini hanya kepala berkopiah dan pakaian jubah meleret, namun dari segi visi dan misinya bukan lagi bertunjangkan Islam yang murni, lengkap dan menyeluruh.

Di manakah pendirian terhadap nasionalisma kolot yang dibina oleh Umno. Di manakah pendirian mereka terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan dan penderhakaan.

Isu menyayat hati Memali pada tahun 1985 yang mereka canangkan untuk disiasat semula melalui kertas putih hilang ghaib begitu sahaja bersama kenikmatan berkuasa.

Manakala slogan mereka budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang dicanang sejak tahun 2016 sekali lagi terbukti hanya retorik bukan realiti.

Mana tidaknya, budaya ‘membinatangkan’ seperti pertikaian mulut Presiden Pas dan Umno serta kemudian disambut oleh ketua pemuda Pas, jelas membuktikan bahawa amalan politik BPMS sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai dalam percaturan politik masa-hadapan.

Perang mulut dan kaedah menyantuni rakan dan seteru politik Pas jelas nampaknya adalah politik mentah atau separa matang dan meranapkan elemen murni masyarakat Malaysia yang hendak dibina.

Jika inilah amalan terus-terusan politik Pas, maka Pas bukanlah masa-hadapan untuk menjadi peneraju utama terbaik Malaysia, malah akan meletakkan negara dikedudukan kesejahteraan yang tercorot.

Salah satu yang ditekankan dalam BPMS adalah politik damai dan diplomasi. Mana damai dan mana diplomasinya? Menghaiwankan pemberi saranan dan perbezaan pandangan bukan menggambarkan kematangan, kedamaian dan diplomasi.

Sekiranya Pas membawa politik damai dan diplomasi sudah pastilah kebencian mereka terhadap DAP tidak akan sampai ketahap musuh yang wajib diperangi tanpa meninggalkan rangka tubuh. Kalau ia kesejahteraan, adakah Pas sudah lupa pertolongan DAP ketika Angkatan Perpaduan Ummah? Seolah-olah DAP adalah ‘hantu pocong’ yang amat ditakuti, membawa badi mayat dan najis yang tidak boleh disucikan lagi.

Ke mana pemikiran masyarakat Malaysia dalam pilihan raya akan datang? Ke mana pemikiran Bangsa Johor dalam PRN kali ini? Adakah masih mahu menoktahkan undi mereka masih kepada BN atau menyokong PN yang terdiri dari pengkhianat dan penjual agama?

Kalau itulah pilihannya, maka ucapan kepada anda ‘ADIOS BANGSA JOHOR’, percayalah anak cucu anda akan menderita dengan kekotoran rasuah, salah guna kuasa, kezaliman, ketidak-adilan dan akhirnya anda akan dipimpin oleh para perakus dan pehaloba kekuasaan.

(*) Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan.

Penafian: Penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan pendirian akademi.

-Malaysia Dateline 

Tiada ulasan: