"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa ‘sial’, ‘babi’, ‘bodoh’ jadi zikir harian sebahagian anak Melayu sekarang?

ARIF ATAN

Perkataan keji seperti ‘sial’ macam sudah jadi sebagai zikir harian sebahagian budak Melayu sekarang. Cuba dengarkan bagaimana anak-anak remaja ini berbual apabila berkumpul.

Daripada kedai mamak hingga ke perkarangan masjid, perkataan-perkataan buruk itu laju saja meluncur dari lidah mereka. Tidaklah semua begitu tetapi seolah-olah sudah sampai tahap dinormalisasikan pula.

Itu jugalah yang dapat didengar dalam satu video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai penuntut universiti sedang membebel kepada rakannya yang sedang berbaring ‘bergayut’ di telefon.

Tidaklah lawak mana leteran lelaki itu tetapi perkataan yang digunakan menggambarkan budaya bercakap anak Melayu sekarang yang tanpa sedar mendoakan keburukan sesama bangsanya.

Perkataan yang diguna lelaki itu seperti ‘sial’ dan ‘mampus’ mengingatkan pengalaman saya apabila terdengar perbualan sekumpulan remaja belasan tahun sejurus turun mendaki dari puncak Bukit Dua Ringgit, Hulu Selangor.

“Bergetar kepala lutut sial,” kata seorang remaja lelaki yang berseluar kuning tutup paras lutut.

“Relakslah bodohhh,” kata kawannya seorang lagi yang agak berisi badannya dengan “doh” itu ditebal dan dipanjangkan bunyinya.

Bersama-sama mereka ada seorang anak gadis bertudung manis yang gelak saja sambil menjeling saya yang berkerut sambil menarik pelitup di dagu rapat ke hidung.

Sebenarnya, semasa mereka bergambar di bay-route atau ‘ketupat besi’ di puncak bukit itu, saya sudah terserempak dan terdengar perbualan mereka bertiga yang kuat sehingga membuatkan sepasang pendaki Cina berusia sekitar 50-an pun sama menoleh kepada mereka seketika.

“Jap, aku nak delete gambar-gambar lucah aku,” kata salah seorang anak muda lelaki itu sambil gelak sebelum memberikan telefonnya kepada anak dara itu.

Yang si gadis itu pula bersahaja mengambil telefon itu, “syial (bunyi ‘sy’ bagi ‘sial) la ko (kau) ni. Banyak ke (gambar lucah)? Tengok sikit!”

Mengapa ‘sial’, ‘babi’, ‘bodoh’ begitu kerap disebut sebahagian anak Melayu generasi Z (1995-2010) sekarang dalam perbualan mereka? Itu belum disentuh lagi soal pengaulan bebas dan perkongsian bahan lucah memandangkan masing-masing 24 jam bertemakan telefon bimbit.

Bayangkan untuk tempoh 10, 15 tahun akan datang apabila mereka berkahwin dan menjadi ibu bapa, bagaimana adab berbahasa anak-anak mereka pula nanti?

Bahasa menunjukkan bangsa. Perangai seseorang dapat dilihat daripada cara bertutur. Kalau ‘syial’ dan ‘bodoh’ begitu kerap dipakai kononnya tanda mesra berkawan atau mahu nampak ‘cool’, entah di mana silapnya peranan institusi kekeluargaan dan pendidikan kita selama ini.

Tiada ulasan: