"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib berusia 23 tahun menjadi MP Pekan, 29 Tahun jadi MB Pahang, 56 Tahun jadi PM, 69 jadi banduan

Jatuh bangun Najib: Dari puncak kuasa ke penjara

Malaysiakini

Najib Razak, anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein menggantikan Almarhum bapanya sebagai ahli parlimen Pekan pada 1976. Ketika itu dia baru berusia 23 tahun.

Bermula dari situ, dia dipersiapkan dan ditakdirkan untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.

Dia menjadi menteri besar Pahang ketika berusia 29 tahun. Dia memegang jawatan itu sehingga 1986 apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad melantiknya menjadi menteri kebudayaan, belia dan sukan.

Dia terus mendaki hirarki Umno dan kerajaan, memegang pelbagai kementerian kanan sebelum menjadi timbalan perdana menteri pada 2004.

Ketika itu, dia dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu namun siasatan polis membersihkannya daripada sebarang penglibatan.

Pada 2009, Selepas Abdullah Ahmad Badawi dipaksa berundur susulan prestasi buruk BN dalam PRU 2008, Najib menjadi perdana menteri - dengan restu Mahathir - di usia 56 tahun.

Najib melakukan pelbagai usaha untuk meraih keyakinan rakyat dengan meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin inklusif dan liberal. Ia termasuklah dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - satu tindakan yang mengundang kemarahan Mahathir.

Namun, walau dengan segala usaha itu, BN masih mengalami kekalahan teruk pada PRU2013 walau masih kekal sebagai kerajaan.

Pada 2015, skandal 1MDB pun meletup. Skandal itu mengubah seluruhnya nasib politik Najib dengan PRU 2018 menjadi kemuncaknya. BN buat pertama kali tewas dalam pilihan raya umum dan Mahathir kembali menjadi perdana menteri untuk kali kedua.

Jalan ke penjara

Pada 3 Julai 2018, dua bulan selepas PRU bersejarah itu, Najib ditahan polis.

Sehari kemudian, dia dibawa ke mahkamah dan dihadapkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta SRC International.

Pada 8 Ogos, tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram dihadapkan kepadanya.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendengar kes tersebut yang bermula pada 3 April 2019 sehingga 11 Mac 2020, dengan 86 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Seperti pendengaran kesnya yang lain, pendengaran kes ini ditangguh beberapa kali atas sejumlah sebab, termasuk jangkitan Covid-19 dan pernah sekali peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah kerana cedera akibat digigit anjingnya.

Pada 28 Julai 2020, bekas perdana menteri itu didapati bersalah terhadap semua pertuduhan, dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Jika dia gagal melunaskan denda itu, hukuman penjara terhadapnya akan ditambah lima tahun lagi.

Namun, mahkamah membenarkan permohonannya agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada masa sama, dia kekal aktif dalam politik dan menjadikan media sosial sebagai medan utamanya untuk menyerang dan menyindir pembangkang dan malah berkempen untuk pilihan raya.

Pada 8 Disember 2021, dia menerima satu lagi "tamparan" apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan selepas prosiding selama 15 hari menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Ketika itu, timbalan pendakwa raya V Sithambaram berkata keputusan itu telah membersihkan Nazlan, yang dipalitkan dengan dakwaan dan kritikan daripada pihak Najib.

Belum selesai buat Najib

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada hari sama. Dia juga sekali lagi mendapat penangguhan hukuman yang membolehkannya terus melibatkan diri dalam politik negara.

Pada 10 Jun lalu, Najib memfailkan usul untuk mendapatkan perbicaraan semula dengan mengemukakan bukti baru bagi menunjukkan Nazlan, kini bertugas sebagai hakim di Mahkamah Rayuan, perlu menarik diri daripada mendengar kesnya atas dakwaan konflik kepentingan.

Pada minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baru. Peguam baru Najib juga gagal mendapat penangguhan pendengaran selama beberapa bulan, atas dasar mereka perlukan masa untuk membuat persediaan.

Susulan itu, Najib mengeluarkan kenyataan berkenaan bagaimana haknya untuk kebebasan dan mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan.

Pada 21 Julai lalu, permohonannya untuk menggunakan khidmat peguam diraja United Kingdom (UK) juga gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam tersebut, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

"Saya dapati tiada bukti menunjukkan Laidlaw ada lebih banyak pengalaman berbanding peguam di Malaysia. Saya berpadangan peguam tempatan mampu untuk mengendalikan kes seperti ini di semua peringkat mahkamah di Malaysia.

"Ini tidak mengabsahkan keperluan agar Laidlaw diterima atas dasar ad hoc selaku ketua pasukan pembelaan untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan," kata hakim.

Namun, mimpi ngeri Najib di mahkamah belum berakhir.

Dia kini masih dibicarakan atas empat pendakwaan berkaitan menggunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram untuk jumlah yang sama.

Tiada ulasan: