"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melayan kebenaran PAS yang berubah-ubah

Malaysiakini

Abu Ilyas

Umno pernah tumbang dan tersungkur. Ia menjadi ibarat lelaki tua yang tercedera parah. Baju koyak-rabak dan seluar tersagat ke jalan tar. Hitam dan kotor. Jari terkopak, lutut berdarah dan peha tercalar.

Sedang merangkak, datang seorang tuan haji menghulurkan tangannya yang bersih, berlilit serban di lengan, jubah menutup rumput, bercapal bergegas membantu lelaki tua tadi.

Beberapa bulan kemudian, mereka bergandingan menuju ke arah puncak jaya. Mengajak ratusan orang kampung melakukan pemberontakan toharah. Bangkit selamatkan akidah orang kampung, kata mereka. Bangkit selamatkan poket marhaen. Bangkit selamatkan masjid-masjid yang akan dijual musuh.

"Kita mahu mentoharahkan kampung-kampung kita!" jerit tuan haji tadi.

Sambil bersyarah, dua tiga ekor kucing hitam menjilat-jilat cagu di hujung jari kaki tuan haji.

Di situ bermulanya alam pragmatisme PAS.

Dahulu, parti itu dikenali sebagai organisasi siasah yang bermaruah. Ia konsisten dengan agenda hudud dan qisas. PAS mahu menghumban pemikiran assabiah daripada masyarakat. Ia juga galak menentang thoghut dan jembalang-jembalangnya.

"Tidak timur, tidak barat, daulah Islamiah" adalah jeritan saban malam. Di kedai kopi. Di balaisah. Di simpang kubur. Di atas pondok pengajian. Di atas lori pengangkut bendera. Hatta di dalam mimpi saban malam.

Burukkan semua musuh

Tetapi itu sudah menjadi khayalan tatkala PAS memilih jalan pragmatisme.

Apakah itu pragmatisme? Saya ringkaskan begini: bagi ahli falsafah yang mendukung pemikiran ini, mereka percaya bahawa kebenaran itu tidak mutlak. Ia berubah-ubah bergantung kepada natijah yang terhasil.

Sesuatu itu benar hanya jika hasilnya adalah sama seperti yang mereka mahukan. Dan jika takdirnya kemahuan mereka kemudian berubah, maka takrif "kebenaran" itu juga akan berubah mengikut tafsiran baru.

Kebenaran tidak lagi berpasak pada panduan hakiki dari wahyu.

Dalam politik pilihan raya hari ini, natijah yang dimahukan oleh PAS ialah kuasa. Kenapa kuasa? Kerana sekarang telah terbukti sebenarnya mereka tidak 'mengejar' hudud. Tidak lagi meletakkan qisas dalam agenda perjuangan.

Tidak juga melonjakkan syariat Islam seperti pengharaman riba dan arak. Malah mereka tidak kisah kepada perjudian. Mereka hanya kisah kepada kuasa. Dan tentang konsert - barangkali demi meraih undi.

Satu ketika mereka mahu berkuasa secara sendirian. Maka pada waktu tersebut, itulah "kebenaran" yang sebenar. Segala dalil dikeluarkan untuk memburukkan sesiapa saja yang dilihat tidak sehaluan dengan mereka, waima Umno.

Selepas PRU14, mereka memilih berkawan dengan Umno dan - sudah tentu - ia adalah kebenaran buat PAS.

Baca kisah ibarat di atas. Untuk meyakinkan orang lain, mereka menyelongkar segala kitab politik yang ada bagi meyucikan perkawanan dengan Umno. Mereka memberikan takrifan baru tentang "kebenaran" sambil menyaluti hujah tersebut dengan dalil agar matlamat sebenar - kuasa - tidak terlalu ketara terdedah.

Apabila Muhyidin Yassin menjadi perdana menteri, tiba-tiba "kebenaran" berubah lagi. Ia dipindahkan daripada agenda bersahabat dengan Umno kepada sekhemah bersama Bersatu. Hal itu kerana dengan memilih Bersatu, PAS mendapat kuasa. Justeru mereka mengabaikan Muafakat Nasional dan - tanpa berunding dengan Umno - membentuk Perikatan Nasional (PN).

Apabila ditertawakan sebagai "bermain dua kolam" PAS tidak peduli. Sekali lagi mereka hadir dengan makna "kebenaran" yang terkini. PAS menjaja makna "benar" itu untuk menghalalkan tindakan mereka.

Kolam syarie, misalnya.

Sambil-sambil itu mereka tekal menyerang PH dengan mengulang-ulang hujah atau naratif yang disepakati tanpa mengambil kira fakta. Hal itu kerana PAS tahu, pembohongan yang diulang-ulang akhirnya akan diterima sebagai kebenaran.

Sesekali dengan takrifan kebenaran yang dibawa, PAS menyerang 'kluster mahkamah' juga.

Ahli PAS terus gah di serata negara sebagai menteri, menteri besar, pegawai besar, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan seumpamanya.

Bagaimana semua ini berlaku? Ia boleh terjadi kerana PAS berpegang kepada aliran pemikiran pragmatisme. Sama ada secara sedar atau luar sedar.

PAS mengelak menjual kalimah kuasa untuk berpolitik. Maka kalimah itu ditukar kepada "ummah". Justeru mereka menjaja hujah kononnya kewujudan "dua kolam" itu adalah untuk menjaga kesatuan ummah.

"Sebenarnya kami bukan mahu berada dalam dua kolam, tetapi kami mahu mencipta kolam besar," kata mereka.

Mencapai natijah yang satu

Ya, lunak dan syarie bunyinya, tapi kolam besar PAS itu masih berdasar kepada kuasa kuasa, dan ia disolek dengan syarat yang - ke arah mana pun - akan menguntungkan mereka.

Maka PAS mencipta naratif kolam besar yang mesti hanya disertai parti Melayu tertentu sahaja, kerana di mata parti itu tidak semua umat Islam sesuai dengan kehendak mereka.

Untuk menjadikan ia 'suci' maka PAS menyandarkan hujah mereka kepada agama sebagai dalil. Jika diteliti dengan lebih sedikit mendalam, matlamatnya masih sama: PAS mesti kekal berkuasa.

Kebenaran itu mesti menguntungkan PAS. Jika pihak lain yang membawa hal yang sama, ia belum tentu benar di mata parti itu. Andai hal yang sama itu dikemukakan PH, misalnya, ia akan ditentang sebagai kebatilan.

Bagi PAS melawan PH itulah kebenaran. Untuk PAS kebenaran tidak boleh wujud pada sesiapa selain PAS. Mereka tidak peduli pun hujah, dalil dan fakta. Benar bersamaan dengan PAS.

Kalau mereka berani menggunakan ayat-ayat perpaduan umat Islam hanya untuk kebaikan Umno, Pas dan Bersatu, maka beranilah juga menentang kebenaran hakiki.

Ahli-ahli PAS tentu tidak akan bersetuju dengan tulisan ini. Mereka masih yakin mereka berada pada kebenaran hakiki. Walaupun jika hujung minggu ini mereka terpaksa menjilat semula ludahan kepada Umno atau kluster mahkamah, namun demi "kebenaran" yang berubah-ubah untuk mencapai natijah yang satu, mereka bersedia melakukannya.

Atas pemerhatian inilah maka saya percaya PAS berada selesa di atas jalan pragmatisme yang pernah dicela oleh parti itu suatu masa dahulu. Mereka akan terus memperjuangkan pragmatisme demi kuasa.

Siapa yang akan termakan dengan permainan ini? Jika kalian sukar memahami tulisan ini, kalian bakal tergolong bersama mereka. Selamat mengundi.

ABU ILYAS ialah pelajar sarjana sains politik yang sedang menyiapkan kajian tentang siasah Malaysia. Dia percaya banyak parti di negara ini sukar menjadi jujur dan istiqamah kepada ideologi dan prinsip sendiri.


Tiada ulasan: