Malaysiakini
Selepas Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, tiga lagi negeri menyatakan ikrar mereka untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.
Pendirian terbaru dan muktamad itu dinyatakan PAS selepas mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan DUN jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.
"PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran DUN dalam tempoh terdekat.
"Ini bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan Nov sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca-Covid-19," katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika khabar angin yang mengatakan Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat.
Gesaan agar PRU ke-15 segera dibuat datang dari Umno, khususnya pemimpin tertinggi parti itu.
Bagaimanapun selain PH, Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan di bawah Ismail Sabri turut menyatakan bantahan kepada cadangan tersebut.
Sebelum ini, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) turut mengambil pendirian yang sama.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada 5 Okt berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan pada tahun ini.
Sebaliknya, PH akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.
Menurut Anwar keputusan itu diambil selepas ia dibincangkan Majlis Presiden PH, baru-baru ini.
Keputusan PAS dan PH sekali gus memungkinkan hanya Perlis, Perak dan Pahang yang diterajui oleh BN kemungkinan akan membubarkan DUN jika PRU ke-15 diadakan pada tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan