"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelik dan ganjil jika Sanusi tak sedar kecurian REE di kawasan sendiri

MOHD ALI HASHIM

Memang pelik dan ganjil jika Adun kawasan Jeneri, tidak sedar wujudnya aktiviti memunggah dan mengeluarkan cari gali nadir bumi bahan logam bernilai tinggi (REE), sedangkan beliau juga adalah Menteri Besar (MB) Kedah.

Malah kata Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, apakah insiden kecurian REE diluar pengetahuan MB, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedangkan beliau adalah Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Jabatan Hutan Negeri Kedah telah pun memberi kebenaran bagi pembalakan untuk membuat ladang hutan di kompartment 12,13,14 dan 15 serta semua pembalakan telah pun selesai pada tahun 2017.

“Seterusnya beberapa batang pokok dari spesis hutan telah ditanam dan sebahagiannya pula telah ditanam dengan pokok durian dari spesis musang king.

Pada Disember 2020 sebuah syarikat telah pun diberi kebenaran di lokasi yang sama bagi aktiviti meneroka cari gali nadir bumi bahan logam bernilai tinggi (REE).

“Tidak ada siapa yang mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku selepas itu sehinggalah penduduk tempatan mulai merasa curiga dengan aktiviti yang berlaku sejak enam bulan yang lalu.

“Penduduk mula mengesyaki sesuatu apabila kenderaan pacuan empat roda dan lori bersaiz kecil dan sederhana dilihat keluar masuk ke tempat tersebut, ” ujar beliau yang juga merupakan Adun Pengkalan Kundor.

Jelasnya, penduduk tempatan telah pun membuat beberapa laporan polis, namun begitu tiada apa-apa tindakan yang telah diambil sehinggalah lori yang memunggah keluar REE terlibat dalam kemalangan pada minggu lepas dan ditahan oleh pihak polis.

Persoalannya kata beliau, apakah projek ladang solar dan tanaman musang king di kawasan terbabit hanyalah bagi mengaburi mata orang ramai walaupun ia mendapat kelulusan dari Jabatan Hutan.

Lebih pelik kata Dr Ismail, apa yang berlaku adalah dalam Dun Jeneri yang diwakili oleh MB yang juga merupakan Pengerusi MBI yang menjadi pemilik tanah di situ serta juga memberi kebenaran bagi penerokaan REE.

Tambah beliau, apakah MB juga tidak sedar mengenai kecurian REE dan adalah aneh apabila syarikat yang meneroka REE turut membuat laporan polis dengan menafikan keterlibatan mereka dalam kecurian terbabit.

Maka itu serunya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta lain-lain agensi yang terlibatharus segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci mengenai isu terbabit.

Tiada ulasan: