"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air mata gembira sambut kepulangan mangsa culik

Bernama


Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat pada 13 Sept lalu diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor hari ini.

Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh ibu bapa serta anggota keluarga yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Turut mengiringi ketibaan wanita terbabit ialah Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes terbabit dianggap selesai dan kejayaan berkenaan menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seumpama itu.

“Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

“Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya.

"Sebaiknya kita berilah ruang kepada dia dan keluarganya buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan hari ini.

Jelas Muhamad Zaki, polis akan terus membantu mangsa termasuk dari segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan wanita terbabit.

Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

“Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

- Bernama

Tiada ulasan: