"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tegur silibus Matematik terlalu tinggi, guru berdepan tindakan buang kerja

 OPINIONWORLDBUSINESSPROPERTYSPORTSLIFESTYLESCHOLARSHIPSGALLERY


Zeanaaima Mohd Yusof

Tangkap layar surat berhubung tindakan tatatertib dikeluarkan terhadap guru matematik Mohd Fadli Salleh. (Gambar Facebook Cikgu Fadli)

PETALING JAYA: Seorang guru yang kerap kali menegur silibus aras tinggi bagi subjek matematik sekolah rendah, kini berdepan tindakan ‘dibuang kerja atau turun pangkat’.

Mohd Fadli Salleh yang juga seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak mendedahkan perkara itu menerusi akaun Facebook miliknya, semalam, yang antara lain, menegur silibus subjek itu diajar dalam tempoh tidak mencukupi.

“Saya hanya berkata jujur tentang beg berat bahaya kepada anak-anak, silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri. Bilangan murid yang ramai dalam kelas. Subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi,” luah Fadli.

Katanya, lebih merosakkan sistem pendidikan negara kerana wujudnya ‘Little Napoleon’.

“Kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengar luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja,” katanya.

Menurut Fadli, sebelum bertindak bersuara di media sosial, beliau terlebih dahulu menggunakan saluran disediakan KPM, namun tiada respon.

Malah, beliau pernah bertanyakan soalan berkenaan silibus tinggi di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak ketika sesi penataran silibus baharu bagi mata pelajaran Matematik.

“Kata mereka, ‘cikgu perlu guna saluran yang betul. Bukan kat Facebook’. Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN.

“Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai BPK (Bahagian Pembangunan Kurikulum) dari Putrajaya. Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya.

“Dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan.”

Hantaran Fadli di akaun Facebook miliknya kemudiannya mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Radzi menyatakan hasrat untuk berjumpa Fadli untuk mendapatkan maklum balas berhubung silibus Matematik daripada guru subjek itu.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya.

Hakikatnya, bukan Fadli sahaja guru yang mula meluahkan rungutan di media sosial itu berhubung silibus matematik dan mata pelajaran lain yang dikatakan terlalu tinggi untuk dicerap murid.

Rata-rata golongan pendidik menyatakan simpati dan kasihan kepada murid yang pada mereka tidak mampu menguasai silibus dengan baik, terutama selepas negara dibadai wabak Covid-19.

“Selama ini sesiapa jua ingin berkata, didiamkan dengan ugutan tindakan tatatertib. Saya bukan guru pertama timbulkan isu ini.

“Berpuluh guru, bahkan beratus guru lain yang pernah persoalkan tentang silibus tinggi, yang jujur bagitahu (beritahu) ada penipuan dalam data KPM, mereka semua disenyapkan dengan ugutan tindakan tatatertib,” dedah Fadli.

Terdahulu, Fadli memaklumkan sudah pun mengambil khidmat peguam bagi memperjuangkan nasibnya yang hanya bersuara untuk masa depan sistem pendidikan lebih baik.

Tiada ulasan: