N Faizal Ghazali
PRU15 | Calon-calon Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada Bersatu di Kelantan akan menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata perkara itu sudah dipersetujui dalam mesyuarat PN sebelum ini.
"Kami dalam mesyuarat baru-baru ini kata, okay Kelantan pakai simbol PAS tak apa. Jamin menang.
"Yang calon Bersatu kalau ada di Kelantan ini, Tok Pa ke, Ikmal ke masuk bertanding pakai bendera PAS, pangkah dia," katanya ketika berucap di Himpunan Penyatuan Ummah di Kota Bharu, malam tadi.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata demikian sebagai merujuk kepada penyandang anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed (Tok Pa) dan penyandang Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Muhyiddin berkata PH pada awalnya tidak bersetuju pelaksanaan PRU15 tahun ini namun terpaksa menghadapinya selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan permintaan perdana menteri untuk membubarkan parlimen.
Bekas perdana menteri itu menegaskan PRU15 ini penting kerana negara menghadapi masalah yang cukup besar disebabkan pentadbiran Umno.
"Saya nak katakan ini penting, kerana negara kita menghadapi masalah yang cukup besar. Tapi situasi negara di waktu ini amat sukar selepas kita berdepan pandemik Covid-19.
"Oleh sebab itu dalam keadaan mana pun kita mesti berupaya membentuk kerajaan yang baik, kerana situasi kerajaan lepas, apa lagi ketika Umno mentadbir negara sudah cukup rosak.
"Dengan pelbagai salah lakunya, penyelewengannya, dengan kluster mahkamahnya, turun naik turun naik mahkamah.
“Apakah kita mahu serahkan kuasa kepada kumpulan yang melakukan kemungkaran?" tegas Muhyiddin sambil menyeru rakyat Kelantan keluar mengundi beramai-ramai pada 19 Nov nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan