"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musa Hitam: Semua parti termasuk Umno takut, tiada yakin menang PRU15

Malaysiakini

Bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam membuat spekulasi bahawa Umno dan BN tidak akan mampu menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti dan akan menjadi minoriti.

Bercakap pada program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, di Johor Bahru, semalam, veteran politik itu berkata, setiap parti yang bakal bertanding takut dan tidak ada yang satu pun gabungan yang dilihat benar-benar yakin mampu menang.

"Pada saya semuanya (parti) takut dan tidak tahu kemungkinan bakal berlaku. Ia berikutan keadaan politik negara yang berada dalam kecelaruan malah rakyat juga menjadi celaru dan keliru.

"Keadaan sekarang ini, setiap parti pun tidak begitu pasti apa hasilnya (PRU15) dan bagaimana rakyat akan buat pilihan nanti,” katanya yang dipetik akhbar Berita Harian Online.

Bekas pemimpin Umno itu berkata hasil analisis dan pemerhatiannya mendapati semua parti mengambil sikap berhati-hati dan tidak yakin nasib parti mereka.

"Semua parti juga saya lihat masih ambil sikap tunggu dan lihat. Selepas keputusan PRU15 barulah mereka akan mengorak langkah masing-masing.

"Namun apa yang menjadi kerisauan saya, pada pendapat saya Umno tidak akan mampu tubuhkan kerajaan dan mungkin akan jadi minoriti selepas ini, " katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Yang Dipertua Mubarak Johor, Abdullah Md Ali dan bekas menteri besar, Abdul Ghani Othman.

Mengulas lanjut, Musa juga berkata Umno dilihat sedang menghadapi dilema dan krisis kepemimpinan paling buruk parti itu.

"Saya ingin mengingatkan semua dalam Umno harus sedar hakikat daripada sebuah parti politik yang penuh semangat nasionalisme, kini budaya baharu parti telah bertukar kepada nafsu materialisme, kekayaan dan kepentingan individu semata-mata.

"Kepentingan masyarakat kini tenggelam dan tidak menjadi keutamaan lagi. Umno juga sedang menghadapi krisis kepemimpinan... yang tak pernah dihadapinya," katanya.

Justeru, bekas timbalan presiden parti itu berkata, ahli perlu bangkit menentukan arah tuju Umno selepas ini.

Katanya, mereka tidak boleh lagi mendiamkan diri untuk menyelamatkan kedudukan masing-masing.

"Jika kita tak buat sesuatu dan tak pandai memilih, hanya guna emosi dan sentimen sahaja atau kita terus guna kekayaan dan wang demi meraih kuasa macam dulu.

"Maka akan habislah hayat dan riwayat Umno selepas ditolak rakyat," katanya.

Musa juga menjangkakan parti-parti pembangkang tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Menurutnya, konsep khemah besar yang disarankan masih tidak diterima hampir kesemua gabungan politik negara buat masa ini.

Katanya, konsep itu agak kontroversi dengan semua parti dilihat enggan pada idea perkongsian kuasa dan pembahagian kerusi yang dimiliki.

"Hasil PRU-15 ini sangat menarik untuk kita lihat namun saya jangkakan lebih banyak kesan negatif akan timbul daripada tiada satu pun parti yang mampu menjadi dominan," katanya lagi.

Tiada ulasan: