"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Adun Sanglang dipukul lelaki tak siuman

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
DATUK Saad@Md Zain Hamzah cedera di bahagian kepala selepas dipukul seorang lelaki tidak siuman di Masjid Alwi, Kangar. FOTO ihsan PEMBACA
DATUK Saad@Md Zain Hamzah cedera di bahagian kepala selepas dipukul seorang lelaki tidak siuman di Masjid Alwi, Kangar. FOTO ihsan PEMBACA
Kangar: Seorang lelaki tidak siuman ditahan selepas memukul bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang di Masjid Alwi di sini, hari ini.

Datuk Saad @ Md Zain Hamzah, 87, dari Bintong, Kangar dan pernah menjadi Adun Sanglang daripada 1978 dan 1986 cedera di kepala disyaki dipukul menggunakan kerusi oleh lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku jam 5.30 pagi ketika mangsa sedang bersiap-siap untuk memasuki masjid itu bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

"Mangsa sebelum itu tiba di perkarangan Masjid Alwi sekitar jam 5.15 pagi dan berada di dalam kenderaannya untuk mendengar tazkirah selama 15 minit.

"Selepas selesai tazkirah, mangsa berjalan ke arah hadapan masjid dan berhenti sebentar untuk menyumbang ke tabung anak yatim.

"Tiba-tiba, mangsa didatangi seorang lelaki yang mengamuk yang terus memukulnya menyebabkan mangsa terjatuh di lantai perkarangan masjid," katanya pada kenyataan.

Katanya, mangsa kemudiannya berlari ke satu sudut di masjid berkenaan dan meminta bantuan pengawal keselamatan masjid untuk menghubungi polis dan ambulans.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan.

"Suspek yang berusia 65 tahun kemudiannya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kangar untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kini dirawat di HTF.

"Suspek dipercayai mempunyai masalah mental namun motif serangan masih disiasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Tiada ulasan: