B Nantha Kumar & Zikri Kamarulzaman
Sebaik saja Khairy Jamaluddin dipecat Umno, ramai yang mengikuti isu politik berpandangan PKR sesuai menjadi destinasi seterusnya untuk bekas menteri kesihatan itu.
Namun, keperluan untuk mengekalkan Umno dalam kerajaan mungkin menjadi faktor penting terhadap apa-apa keputusan berkaitan menerima Khairy atau pemimpin Umno lain yang dipecat ke dalam parti itu - jika mereka memohon untuk menyertainya.
"Sekiranya ada (permohonan), kita akan teliti dan tentunya (parti) dapatkan pandangan pimpinan lain juga untuk jaga kerukunan dan kedamaian kerajaan perpaduan," kata Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sidang media di Tambun, Perak hari ini.
Pada Jumaat lalu, Umno memutuskan untuk memecat Khairy dan Noh Omar atas dakwaan melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Selain itu, Umno menggantung beberapa lagi pemimpin, termasuk ketua penerangan Shahril Hamdan Sufian dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
Mereka yang dikenakan tindakan ini, serta naib presiden Ismail Sabri Yaakob yang ada ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memutuskan pemecatan itu, mendakwa ia tidak dibuat mengikut proses yang sewajarnya.
Sejumlah pihak melihat langkah itu sebagai usaha Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menyingkirkan seterunya dan mengukuhkan kedudukannya dalam parti.
Sebelum ini, Khairy pernah meluahkan hasrat untuk bertanding bagi jawatan presiden dalam pemilihan akan datang.
BN komponen utama dalam kerajaan
Umno dan BN - yang memegang 30 kerusi Parlimen termasuk Hishammuddin - adalah komponen utama dalam kerajaan Anwar, dengan Zahid sebagai timbalan perdana menteri.
Sementara Anwar masih memiliki sokongan yang cukup - iaitu 118 ahli parlimen - jika Zahid membawa BN keluar dari kerajaan, ia boleh membuka jalan ke arah keruntuhan pentadbirannya.
Sokongan BN juga memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga menyuarakan sentimen sama, iaitu parti tidak akan membuat keputusan yang menjejaskan prinsip "kepercayaan dan hormat" dalam kalangan parti dalam kerajaan.
"Sehingga saat ini tiada permohonan. Pertimbangan parti ambil kira beberapa faktor.
"Paling penting ialah memelihara perpaduan dan keutuhan kerajaan perpaduan. Kerajaan ini tegak atas prinsip trust and respect.
"Apa sahaja tindakan yang boleh menjejaskan prinsip ini sudah tentu tidak akan dilakukan oleh PKR," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan