"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ: 'Sekiranya saya Presiden UMNO…'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu memutuskan untuk memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, atas dakwaan melanggar disiplin parti.

Ucapan bekas Ketua Pemuda UMNO itu ketika berkempen sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dikatakan menjadi asas kepada pemecatan berkenaan.

Dalam kempen pilihan raya itu, Khairy antara lain menyatakan 'UMNO sudah sesat dan mahu membersihkannya', yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik parti berkenaan.

Bagaimanapun, Khairy tidak melihat kritikan keras secara terbuka terhadap UMNO dan pucuk pimpinan parti itu sebagai pelanggaran disiplin yang besar sehingga boleh dipecat.

Ditanya kemungkinan beliau akan turut mengambil tindakan sama memecat jika menjadi Presiden UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau mana-mana pemimpin parti itu melemparkan kritikan keras terhadapnya, Khairy menegaskan akan memilih 'laluan' berbeza.

Beliau berkata, jika menjadi Presiden UMNO dan berada di tempat Ahmad Zahid, tindakan utamanya ialah memastikan jawatan Presiden serta Timbalan Presiden terbuka untuk dipertandingkan, dan perwakilan atau mana-mana pimpinan boleh mengkritik kepemimpinannya secara terbuka.

"Saya tidak akan menutup pemilihan parti untuk jawatan nombor satu dan dua. Saya akan buka. Saya akan cakap, ini adalah medan terbaik untuk kita bahas dan mendapat mandat daripada perwakilan.

"Saya tidak akan menutup ruang demokrasi. Saya buka kepada sesiapa yang hendak melawan saya atau mahu bahas, hendak cakap kepimpinan saya itu tidak betul... dan kita serah kepada perwakilan.

"Itu cara yang lebih baik untuk kita menyelesaikan apa saja perselisihan pendapat dalam parti. Ini tidak, (dakwa) terus dipecat tanpa mengikut proses perlembagaan sedia ada," katanya dalam satu temu bual di pejabat beliau, di sini, semalam.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan 'pelanggaran disiplin parti'.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.

Antara alasan pemecatan Khairy ialah ucapan beliau dalam kempen PRU15, yang menyatakan 'parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya', yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik UMNO.

Dalam temu bual bersama beberapa media selepas dipecat, Khairy mendakwa ia tidak mengikut prosedur apabila beliau terus dikenakan tindakan itu tanpa sebarang peluang untuk memberi penjelasan dan mempertahankan diri.

Seterusnya ditanya mengenai keputusan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang bersetuju dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pula, Khairy mendakwa keputusan berkenaan tidak mewakili suara majoriti akar umbi UMNO.

"Yang memilih Presiden, yang memilih MKT sekarang adalah perwakilan di bahagian. Sekarang, apa yang kita lihat ialah perwakilan pada peringkat PAU telah menutup hak perwakilan di bahagian untuk menentukan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya.

Khairy turut mengulangi dakwaan bahawa keputusan undian suara terhadap usul tambahan menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu sudah dirancang pihak tertentu.

"Saya mendapat rakaman video menunjukkan individu yang saya tidak pasti mereka ahli UMNO atau tidak, diarah masuk ke Dewan Merdeka untuk mereka sorak dan sambut usul itu dengan jeritan serta tepukan, yang menyebabkan orang lain mengikut saja.

"Kalau kita tengok hari pertama, apabila jurucakap Negeri Sembilan mencadangkan penambahan usul itu (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan), beliau diboo oleh perwakilan, tetapi biasalah... Dewan Merdeka adalah dewan yang dikawal oleh urus setia atau ibu pejabat UMNO.

"Saya sudah lama menjadi Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, saya tahu macam mana nak susun tempat duduk, siapa nak letak di sini, siapa nak letak di sana, sorakan itu datang dari mana dan sebagainya. Dan akhirnya dalam keadaan undi suara, bukan undi rahsia, perkara itu memang dapat dibawa (menyebelahi) ke satu pihak," dakwanya.

Tiada ulasan: