"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demi kekasih: Gelap mata seleweng RM700,000 wang syarikat

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Wida berpelukan bersama ayahnya ketika Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan di Penjara Wanita, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Wida berpelukan bersama ayahnya ketika Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan di Penjara Wanita, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Kota Kinabalu: Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu, apabila berpeluang memeluk dan memohon kemaafan daripada bapa tercinta sempena Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan, di sini, hari ini.

Wida adalah antara lapan penghuni Penjara Wanita yang terpilih untuk program berkenaan.

Wanita itu berkata, bapanya sanggup datang ke Kota Kinabalu daripada Lawas, Sarawak untuk melawatnya di penjara.

"Saya sangat bersyukur bertemu ayah tercinta kerana keluarga saya jarang melawat di penjara berikutan jarak tempat tinggal yang jauh.

"Perjumpaan pada Aidilfitri ini sangat bermakna kerana tidak dihalang lagi oleh dinding kaca seperti sebelum ini.

"Saya dapat bersalam dan memeluk ayah serta memohon keampunan dengan kesalahan yang saya lakukan sebelum," katanya.

Berkongsi mengenai kesalahan yang dilakukan sehingga dipenjara, Wida berkata, dia melakukan kesalahan pecah amanah di sebuah syarikat kontraktor sebelum ditahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 2021.

Katanya, dia adalah pekerja kesayangan majikan sebagai kerani bahagian kewangan namun dia menjadi bertindak menyeleweng wang syarikat.

"Saya mengambil kesempatan menyeleweng wang syarikat sedikit demi sedikit sehinggalah jumlah itu mencecah RM700,000 selama setahun.

"Wang itu adalah untuk diberikan kepada teman lelakinya yang bekerja sebagai kontraktor kerana terdesak memerlukan wang," katanya.

Menurutnya lagi, pada mulanya teman lelakinya berjanji untuk membayar sehinggalah pada satu tahap tiada bayaran balik diberikan.

"Tetapi saya masih menjalankan kegiatan mengambil wang syarikat. Semua perbuatan saya akhirnya terdedah selepas syarikat melakukan audit dan saya ditahan sebelum dijatuhkan hukuman enam tahun penjara," katanya.

Wida adalah antara lapan penghuni Penjara Wanita terpilih untuk program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas berkata, seramai lapan penghuni terpilih bertemu dengan keluarga secara bersemuka dalam program ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua penghuni tidak dapat melepaskan rindu bersama keluarga berikutan keluarga mereka berhadapan kekangan untuk ke penjara.

"Program Jalinan Kasih ini adalah aktiviti berkala anjuran Penjara Wanita Kota Kinabalu bagi memberi peluang kepada penghuni bertemu dengan keluarga secara bersemuka.

"Hanya penghuni yang melepasi tapisan sahaja yang akan mendapat peluang ini termasuklah warganegara Malaysia, mempunyai baki hukuman tiga tahun maksimum atau kurang dan tidak menerima sebarang tindakan disiplin dalam tempoh enam bulan sebelum pemilihan.

"Antara keperluan lain pula adalah mendapat 90 peratus markah bagi ujian penilaian yang diadakan," katanya.

Tiada ulasan: