"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pekerja hotel maut terkena renjatan elektrik tiang lampu

Bernama

LABUAN: Seorang pekerja hotel maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan bervoltan tinggi di pusat bandar tengah malam tadi.

Ketua Polis Labuan, Ahmad Jawila, berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ryandeigo Roselee, 18, berasal dari Sook, Keningau, Sabah.

“Remaja itu tersentuh tiang lampu bervoltan tinggi ketika berjalan di laluan berbumbung sepanjang 50m yang berpagar dan tercampak ke laluan pejalan kaki,” katanya pada sidang media.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah tiang lampu di laluan pejalan kaki ketika ambulans tiba dan meninggal dunia di tempat kejadian pada 12.05 tengah malam.

Ahmad berkata, mangsa ditemukan oleh abangnya yang berasa tidak sedap hati selepas menyedari adiknya masih belum pulang seperti kelaziman iaitu pada 11.30 malam.

“Abang mangsa mengambil keputusan mencari adiknya dan menemukan si mati di laluan pejalan kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di tiang lampu mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada wayar hidup yang terdedah di luar tiang lampu itu.

“Kami menutup sementara laluan pejalan kaki sehingga pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan laluan itu selamat untuk pejalan kaki,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berjalan berhampiran talian elektrik yang terdedah terutama dalam cuaca berkabus.

Tiada ulasan: