Mohamed Basyir
m.basyir@nst.com.my
SONNY bergambar bersama kanak-kanak dari Malaysia di Madinah. FOTO Twitter Sonny
Kuala Lumpur: Bekas pemain All Blacks, Sonny Bill Williams, berasa kagum dengan kerendahan hati dan sikap yang ditunjukkan oleh tiga kanak-kanak dari Malaysia ketika bertemu mereka di Tanah Suci baru-baru ini.
Berkongsi detik itu di akaun Twitternya, bekas atlet ragbi New Zealand itu berkata, satu keluarga Malaysia mendekatinya bersama tiga kanak-kanak lelaki itu untuk bergambar ketika dia menunaikan umrah di Madinah.
Selepas itu mereka bersalam mengikut cara orang Malaysia ketika bersalam dengan mereka yang lebih berusia.
"Kanak-kanak itu berjabat tangan dengan saya, memandang ke mata saya, menundukkan kepala mereka dan menyentuh belakang tangan saya dengan dahi mereka.
"Mereka mempunyai martabat, rasa hormat dan kemuliaan hati dalam nilai keluarga mereka. Ia adalah saat yang indah," tulisnya dalam laman twitternya, semalam.
Tweetnya dilihat mencecah lebih dua juta setakat 10.30 pagi hari ini dengan ramai yang memuji rasa hormat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak lelaki itu.
Seorang warga Malaysia, @ZacZakirin13 berkata, tindakan itu mencerminkan budaya Malaysia menghormati orang tua.
Seorang lagi pengguna Twitter Malaysia @NurulChubby8 berkata, ini adalah cara yang diajar oleh ibu bapa sejak kecil.
"Terima kasih kerana mengiktiraf budaya Melayu yang indah ini dalam twitter anda," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan