"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas setiausaha dewan ulama PAS: Tiada dalil wajib sokong PAS dalam Quran

Malaysiakini 

Bekas setiausaha dewan ulama PAS, Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan mewajibkan orang Islam menyokong parti berlabel Islam seperti PAS adalah haram.

Katanya, sebarang fatwa yang mewajibkan orang Islam berpolitik menerusi PAS dan mengundi hanya parti itu dalam politik adalah fatwa songsang.

Jelasnya ijtihad politik kepartian sifatnya luas dan tidak terhenti pada satu organisasi sahaja.

"Adakah wajib bersama dan menyokong satu parti berlabel Islam seperti PAS lalu menjadi haram bersama dengan parti lain?

"Jawapannya tidak. Tidak boleh mewajibkan sesuatu dalam Islam melainkan dengan dalil al-Quran dan al-Hadis kerana wajib bererti tidak dapat tidak mesti bersama dan menyokong dan haram serta berdosa bersama yang lain.

"Tiada dalil al-Quran mahupun al-Sunnah yang mewajib orang Islam bersama PAS. Dan mewajibkan sesuatu yang tidak wajib itu adalah perbuatan haram," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Haram gelar Muslim musuh Allah

Dalam pada itu Khairuddin turut mengingatkan pemimpin politik bahawa adalah haram menggelar musuh politik yang beragama Islam sebagai musuh Allah.

Justeru Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno itu mengingatkan mereka supaya berhati-hati daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

"Apakah hukum menggelar orang Islam lain yang berpolitik berbeza dengan platform PAS sebagai sebagai musuh Allah? Jawapannya ialah haram.

"Haram menggelar Muslim yang lain sebagai musuh Allah kerana Nabi (SAW) bersabda (yang bemaksud) 'dan sesiapa yang memanggil seseorang lelaki dengan gelaran kafir atau dia berkata wahai musuh Allah sedangkan dia tidak begitu melainkan kembali kepadanya' (Hadis Sahih Bukhari dan Muslim).

"Maka saya menyeru ahli-ahli politik yang mendakwa memperjuangkan Islam agar jangan tergelincir lidah menyeru rakan Muslim yang berbeza platform politik sebagai musuh Allah kerana ia perbuatan yang haram dengan sepakat ulama Islam berdasarkan hadis sahih.

"Hadis di atas dimasukkan oleh Imam Nawawi dalam 'Riyad Solihin pada bab haram menyebut kepada orang Islam wahai kafir',"katanya.

Semalam Khairuddin meminta Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari supaya bertaubat kerana melabelkan Umno sebagai "kain buruk untuk lap kaki bagi DAP".

Menurutnya perbuatan menghina bukan merupakan akhlak seorang Mukmin, apatah lagi akhlak seorang yang mengaku pejuang Islam.

Tiada ulasan: