"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bau busuk dedah mayat terikat dalam stor

 Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat di rumah dalam proses ubahsuai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat di rumah dalam proses ubahsuai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tumpat: Bau busuk yang disangkakan bangkai binatang dari sebuah rumah dalam proses ubahsuai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, di sini, rupanya bau mayat seorang lelaki.

Mangsa tanpa identiti yang berusia dalam lingkungan 40-an ditemukan kira-kira jam 3 petang tadi dalam keadaan kedua kaki dan tangan terikat serta ada kesan darah di lantai selain sudah dihurung lalat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia tidak lebih daripada tiga hari.

"Mayat ditemukan pekerja yang membuat kerja ubah suai rumah itu berikutan bau busuk sebelum memaklumkan kepada pemilik seterusnya pihak polis dihubungi.

"Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah, Ho Wei Jiat, 34, berkata, dia ke rumahnya kira-kira jam 3 petang tadi berikutan pekerja mengadu mengenai bau busuk yang datang dari tingkat atas.

"Sebenarnya bau itu dihidu sejak semalam lagi dan kami menyangkakan ia bangkai binatang tapi sebaik diberitahu sekali lagi oleh pekerja, saya memberanikan diri naik ke tingkat atas menuju ke stor.

"Saya membuka pintu dan ternampak kotoran berwarna coklat di lantai sebelum kelihatan sepasang kaki manusia dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya segera menghubungi polis," katanya kepada pemberita di sini.

Wei Jiat berkata, baik pulih rumahnya sudah dimulakan sejak setahun lalu dan dia juga ingin membersihkan bahagian stor kerana mahu menempatkan beberapa lagi pekerja untuk kerja ubahsuai kediamannya itu.

Katanya, walaupun terkejut dengan penemuan mayat itu, dia tetap akan meneruskan kerja ubahsuai rumah namun belum memutuskan sama ada untuk menetap di situ atau tidak.

"Memang terkejut dengan kejadian ini tapi proses ubahsuai rumah tetap akan diteruskan cuma kami masih berkira-kira untuk menetap atau tidak kerana bimbang ibu bapa akan takut," katanya.

Tiada ulasan: