"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Gelombang PN seperti cerita wayang

AMREE AHMAD

PUTRAJAYA – Setelah beberapa bulan tidak bercakap isu politik tanah air, Rafizi Ramli akhirnya membuka suara menempelak ‘perang saraf’ dimainkan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam nada sindiran berkata, blok tersebut mungkin mahu cuba meniru gayanya ketika pernah menjadi pembangkang sebelum ini.

“Betul ketika jadi pembangkang, saya cukup rajin kritik kerajaan tetapi sekarang kenalah fokus tugas Kabinet dan mereka pula ikut gaya saya, ini semua cerita wayang,” katanya selepas menyertai sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

PN akhir-akhir ini dilihat aktif memainkan isu konon Pakatan Harapan (PH) bakal tumbang di tiga negeri dikuasainya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kemungkinan bulan depan.

Ia susulan muncul trend gelombang PN di seluruh negara apabila rakyat didakwa mula bangkit menolak Pakatan Harapan (PH) dikatakan gagal mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau tersenyum apabila membaca laporan media yang menyatakan kononnya Kerajaan Perpaduan tumbang selepas PRN di enam negeri terlibat.

“Pelik bagaimanakah kerajaan pusat boleh tumbang sebab ini cuma PRN, adakah berlaku undi tidak percaya atau lompat parti atau parti tertentu mahu keluar dari blok?” soalnya.

Justeru, beliau sedia mengadakan satu sesi sidang akhbar khas pada minggu ini bagi membongkar data kajian bebas trend sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Pada masa sama, beliau optimis pendedahan itu nanti akan mematikan segala cakap nakal politik mengenai tahap pola kecenderungan pengundi kepada PN yang kononnya meningkat. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: