"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua pemuda UMNO terus bidas menteri yang buat kecoh di KLIA

Menteri perlu tahu garis bidang kuasa, bukan hentam sesuka hati - Dr Akmal
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemuda Umno hari ini membangkitkan beberapa persoalan yang perlu dijawab berkaitan campur tangan seorang menteri dalam isu pelancong dari China yang ditahan Jabatan Imigresen (JIM), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, persoalan itu dibangkitkan pihaknya agar rakyat dapat mengetahui kisah yang sebenarnya berlaku.

"Adakah notis NTL (not to land) yang dikeluarkan ke atas individu yang ditahan atas faktor dokumen tidak lengkap?

"Jika notis NTL itu sudah dikeluarkan, adakah ia ditarik balik setelah campur tangan pihak ketiga?

"Dan jika ditarik balik, atas faktor apakah ia ditarik balik? Adakah dari kesilapan pegawai yang mengeluarkan notis NTL sebelum itu? "Atau secara tiba-tiba dengan campur tangan pihak ketiga menjadikan dokumen individu ditahan itu terus menjadi lengkap?" katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, jika segala tuduhan yang dilontarkan oleh menteri kepada pegawai imigresen ini tidak benar, beliau meminta individu terbabit membuat laporan polis.

Katanya, ia bagi menjaga nama JIM dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap jabatan itu.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan JIM tanpa sebarang sebab.

Beliau dilapor berkata, wanita itu ditahan kerana didakwa tidak mempunyai butiran tempat tinggal dan tiada tiket pulang semula ke negara asal.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, butiran berkenaan sebenarnya tersimpan di dalam telefon bimbit milik wanita terbabit yang ketika itu dirampas oleh pegawai Imigresen.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut menasihatkan agar Tiong mengetahui garis bidang kuasa menteri dan tidak 'main hentam' sesuka hatinya.

"Sekiranya ada unsur rasuah sekali pun, menteri seharusnya mempunyai banyak cara dan yang paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan YB menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

"Bawa ke dalam mesyuarat Kabinet, bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh.

"Mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga," katanya.

Tiada ulasan: