"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiap dua jam seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan PDRM
Johor Bahru: Dianggarkan satu kemalangan maut berlaku terhadap penunggang motosikal bagi setiap dua jam pada tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, kes kemalangan membabitkan kematian meningkat kepada 6,344 kes pada 2023 berbanding 6,080 kes pada 2022.

"Ini menunjukkan peningkatan lapan peratus kes pada tahun lalu.

"Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 4,000 yang maut adalah penunggang motosikal dengan purata satu kemalangan maut bagi setiap dua jam," katanya ketika sidang media selepas mengetuai Ops Khas di Plaza Tol Skudai di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

Sementara itu, Lokman berkata, JPJ mengeluarkan 165,553 saman dalam Ops Khas di seluruh negara yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah bermula 1 Februari hingga semalam.

Beliau berkata, saman paling tinggi membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu (LMM) berjumlah 42,505 atau 26 peratus diikuti gagal memperbaharui dan tiada lesen kenderaan motor (LKM) sebanyak 32,979 atau 20 peratus.

Menurutnya, saman turut dikeluarkan atas kesalahan teknikal iaitu 29,976 dan tiada insurans sebanyak 27,239.

"Saman terhadap kesalahan pemandu yang memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi juga dikeluarkan sebanyak 7,340 atau empat peratus.

"Kesalahan ini membabitkan had laju, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, pandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

"Sementara itu, lain-lain kesalahan pula adalah sebanyak 20,264," katanya.

Lokman berkata, seramai 33 individu pula dikesan positif dadah jenis syabu, methamphetamine serta ganja THC dan opiat selepas menjalani ujian saringan awal air kencing.

Selain itu, beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah saman dikeluarkan, sejumlah 17,762 saman membabitkan pesalah warga asing atas pelbagai kesalahan.

Katanya, ini membabitkan kesalahan tiada LMM sebanyak 6,380, tiada LKM (2,120), tiada insurans (1,843) dan lain-lain kesalahan (7,419).

Menurutnya, sepanjang operasi yang turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, sebanyak 768,276 kenderaan diperiksa dan 6,413 kenderaan disita.

"Siasatan bagi semua kes dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya.

Tiada ulasan: