"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis rakam keterangan Ismanira susulan video tular pimpin tangan Zayn Rayyan

Nor Azizah Mokhtar
Tangkap layar video tular memaparkan Ismanira berjalan sambil memegang tangan dua anaknya termasuk Zayn Rayyan di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman.
Tangkap layar video tular memaparkan Ismanira berjalan sambil memegang tangan dua anaknya termasuk Zayn Rayyan di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pihaknya merakam keterangan ibu kepada kanak-kanak autistik mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matin berhubung satu video terkini yang tular di media sosial.

Video itu memaparkan wanita itu, Ismanira Abdul Manaf berjalan sambil memegang tangan dua anaknya termasuk Zayn Rayyan di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman Damansara Damai dekat Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, proses rakaman keterangan pengadu itu dijalankan pihaknya kelmarin.

"Bagaimanapun, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tidak menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu kerana kejadian permulaan berlaku di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Justeru, laporan terbabit dirujuk semula kepada laporan pertama iaitu di IPD Petaling Jaya," katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, media melaporkan Balai Polis Kampung Baru Subang menerima laporan daripada Ismanira berhubung video terbabit pada jam 2.43 petang Ahad lalu.

Ismanira memaklumkan menerima satu pautan video TikTok melalui aplikasi WhatsApp berdurasi kira-kira seminit pada 6 Mac lalu.

Beliau dipetik berkata, dalam pautan itu terdapat rakaman video menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anak iaitu arwah Zayn Rayyan dan Mateen menuju kawasan parkir motosikal Blok R apartment berkenaan.

Pengadu merasakan individu tidak dikenali itu merakam video berkenaan dari kawasan blok Apartment Idaman yang berhadapan Blok R serta rakaman dibuat daripada ketinggian menunjukkan perakam berkemungkinan adalah penghuni di salah satu tingkat atas blok berkenaan.

Mohd Hafiz berkata, tujuan pengadu membuat laporan polis kerana merasakan keselamatannya dan keluarga terancam.

Tiada ulasan: