Zatul Iffah Zolkiply
Sebahagian daripada peralatan untuk melombong emas dan mineral yang dirampas dalam Op Bersepadu Khazanah di sekitar Marang, semalam. - Foto ihsan PGA
MARANG: Pihak berkuasa menahan 26 lelaki dipercayai terbabit aktiviti melombong emas dan mineral secara haram hasil serbuan di tiga lokasi berasingan melalui Op Bersepadu Khazanah di sekitar daerah ini, semalam.
Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu itu turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk tujuan melombong emas dan mineral dianggarkan bernilai RM2.11 juta.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan di lokasi pertama di sebuah lombong di kawasan perumahan di sini kira-kira jam 2.15 petang mendapati kegiatan melombong emas dilakukan 11 lelaki berusia antara 32 hingga 56 tahun.
"Ketika pemeriksaan, mereka gagal menunjukkan lesen pelombongan sah sebelum polis menahan serta merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti sebuah jengkaut, sebuah mesin pencuci batu dan dua buah mesin pam air yang digunakan untuk melombong membabitkan rampasan bernilai RM450,000.
"Dalam pemeriksaan kedua kira-kira jam 3 petang di sebuah kawasan lombong di Kampung Rusila pula, kita menahan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 46 tahun dipercayai terbabit kegiatan melombong emas secara haram dengan rampasan dianggarkan bernilai RM510,000," katanya melalui kenyataan.
Nik Ros Azhan berkata, dalam satu lagi operasi sebuah kawasan lombong di Kampung Rusila di sini, kira-kira jam 4 petang, pihaknya menahan tujuh lagi lelaki berusia 28 hingga 61 tahun kerana melombong mineral secara haram.
"Mereka gagal menunjukkan lesen pelombongan mineral sah sebelum pihaknya merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti sebuah lori, tiga jengkaut, sebuah mesin pencuci batu dan dua mesin pam air yang digunakan untuk melombong membabitkan rampasan bernilai RM 1.15 juta.
"Semua kes disiasat di bawah Seksyen 153 Akta Enakmen Mineral (Terengganu 2002) kerana melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.
"Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Tambahnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pelombongan haram daripada terus berleluasa di dalam negara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan