Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

NURUL Syahira dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Subang U5, Sungai Buloh, sejak Selasa lalu. FOTO Ihsan Mohamed Amin Mohamed Ali
Sungai Buloh: "Sudah tiga hari isteri hilang. Saya buntu dan tidak tahu lagi di mana mahu mencarinya," kata Mohamed Amin Mohamed Ali, 45, berhubung kehilangan isteri sejak kelmarin.
Nurul Syahira Anuar, 29, dikatakan keluar dari rumah di Subang U5 di sini, kira-kira jam 10 malam dengan menaiki kereta Perodua Kelisa dan gagal dikesan sehingga kini.
Mohamed Amin yang bekerja sebagai posmen berkata, sebelum itu dia bersama isteri dan tiga anak berusia antara empat hingga 11 tahun ke rumah keluarga mentua yang terletak berdekatan.
"Malam itu, kami pulang ke rumah dengan kenderaan berasingan kerana isteri bersama anak-anak menaiki kereta manakala saya menunggang motosikal kerana saya sebelum itu dari tempat kerja.
"Isteri dan anak-anak tiba di rumah terlebih dahulu dan apabila saya sampai dapati isteri sudah tinggalkan anak di rumah sementara dia keluar semula menaiki keretanya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohamed Amin berkata, dia kemudian cuba menghubungi wanita itu tapi gagal lalu keluar mencarinya berdasarkan aplikasi navigasi sistem penentududukan sejagat (GPS) yang dipasang pada kenderaan.
Bagaimanapun, katanya, dia hanya menemui kereta isteri yang rosak ditinggalkan di kawasan Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam, namun isterinya tiada.
Menurutnya, pengawal keselamatan memberitahu melihat isteri menaiki kenderaan e-hailing dan usahanya mencari wanita itu di kawasan sekitar gagal.
Berikutan itu, Mohamed Amin tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang dan ke syarikat e-hailing untuk mendapatkan maklumat.
"Pihak syarikat terbabit mengesahkan isteri ada membuat tempahan pada malam kejadian namun tidak boleh berkongsi maklumat kerana hanya polis boleh dapatkan. Saya akan ke sana lagi petang ini bersama pegawai penyiasat.
"Selama tiga hari ini, saya tidak berhenti mencari isteri selain membuat hebahan di media sosial mengharapkan bantuan orang ramai. Namun malangnya isteri masih belum ditemui sehingga kini.
"Mengikut perancangan kami akan keluar mencari baju raya bersama hujung minggu ini tapi sekarang saya hanya fikir keadaan isteri saja. Saya amat harapkan dia ditemui dengan selamat," katanya.
Mohamed Amin turut merayu bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat isterinya supaya menghubunginya di talian 012-3595961.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan