"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bazar Ramadan jadi 'port dadah', 7 lelaki ditahan

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Bayan Baru: Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan di bazar Ramadan Bayan Baru di sini, semalam.

Operasi yang dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Barat Daya itu turut membawa kepada rampasan dadah jenis ketamin dan pil Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan pertama dilakukan jam 8 malam di sebuah gerai jualan ayam gunting yang membawa kepada tangkapan enam lelaki.

Hasil pemeriksaan lanjut polis menemukan beberapa paket dadah serta rokok berisi dadah jenis ketamin.

"Manakala serbuan kedua dilakukan setengah jam kemudian di gerai jualan ayam percik yang membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki bersama dua biji pil Erimin 5.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan bernilai RM610," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Sazelee berkata, semakan rekod mendapati lima daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: