"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ tolak spekulasi akan sertai kabinet semula, 'Saya sibuk'

Malaysiakini 

Di tengah-tengah khabar angin mengenai rombakan kabinet, bekas menteri Khairy Jamaluddin menolak spekulasi bahawa dia mungkin dilantik semula menyertai kabinet.

Sebaliknya, Khairy memberitahu wartawan bahawa dia mahu menumpukan perhatian kepada beberapa perniagaan dan projek yang masih berjalan.

"Saya cuma boleh cakap, ketika ini saya ada banyak projek yang belum selesai dan perlu diuruskan.

"Saya juga agak gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini, jadi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, tak terfikir untuk kembali ke dunia politik," kata bekas ahli parlimen Rembau itu.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?" di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy ditanya mengenai khabar angin bahawa dia mungkin dilantik ke kabinet selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada dia terbuka terhadap kemungkinan tersebut dan bagaimana dia akan memberi respons jika ditawarkan jawatan, Khairy sekali lagi menegaskan dia sudah pun terikat dengan beberapa komitmen terdahulu.

“Komitmen-komitmen itu memerlukan masa dan perhatian saya. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, saya akan sibuk. Selepas itu, kita boleh bincang.

“Kita tengok nanti macam mana. Buat masa ini saya memang sibuk,” ujarnya.

Difahamkan, dalam kalangan ahli Umno, khabar angin mengenai kemungkinan Khairy kembali aktif dalam politik mula tersebar sejak dia dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.

Mengesahkan bahawa perbincangan seumpama itu memang ada, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata, sekiranya Khairy kembali menyertai kerajaan, ia berupaya memulihkan imej kerajaan yang semakin merosot, terutama selepas keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia berkata laluan politik Khairy tidak mudah, memandangkan Umno masih diterajui presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid kini juga ialah timbalan perdana menteri.

Khairy dipecat daripada Umno kerana dikatakan melanggar disiplin parti, dan sebagai sebahagian usaha pembersihan yang dilakukan Ahmad Zahid.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, bekas ahli parlimen Rembau itu gagal merampas kerusi Sungai Buloh daripada PKR, yang dimenangi oleh R Ramanan, timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi sekarang.

Sebelum itu, Khairy pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan; menteri sains, teknologi dan inovasi; serta menteri belia dan sukan.

Tiada ulasan: