"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad mahu Umno tegur Anwar, beri amaran pada PKR

Malaysaikini

Seorang pemimpin kanan Umno mendesak agar parti itu menegur Anwar Ibrahim jika PKR akhirnya menerima permohonan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai keluarga mereka selepas ini.

Menurut Mohd Puad Zarkashi, dia sudah membuat keputusan untuk membangkitkan isu berkenaan apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat nanti.

Kata Mohd Puad, dia yakin ada perbincangan secara diam-diam dijalankan di antara Tengku Zafrul dengan PKR sebelum senator terbabit mengumumkan langkahnya meninggalkan Umno.

“Umno mesti menegur Presiden PKR (Anwar) jika permohonan Tengku Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan Umno rasa kesal saja.

“Mesti (sudah) ada perbincangan awal secara sulit yang menjadi punca Tengku Zafrul menyertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ia dibuat susulan pengumuman dibuat Tengku Zafrul untuk meninggalkan Umno dan memohon menyertai PKR.

Tengku Zafrul – yang sebelum ini lebih dikenali sebagai tokoh perbankan – pernah dilantik sebagai salah seorang ahli MKT. Dia juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Bendahari Umno Selangor.

Dalam kenyataan dibuat melalui media sosial malam tadi, Tengku Zafrul berkata, dia mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan tersebut.

Seorang daripada mereka ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula hari ini memaklumkan parti itu belum menerima permohonan Tengku Zafrul secara rasmi, namun memberi jaminan proses kelulusan yang diambil adalah sama seperti mana-mana individu yang ingin menjadi ahli mereka.

Fuziah juga berkata, PKR akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk parti rakan dalam kerajaan sebelum membuat keputusan lanjut berhubung status Tengku Zafrul.

Mohd Puad berkata PKR mesti beri amaran atau insiden seperti “tikam belakang” akan berlaku lagi.

“Jangan salahkan Umno jika ahli ahli parti hilang kepercayaan terhadap perdana menteri. Kerjasama kerajaan perpaduan akan rosak binasa,” katanya.

Dia yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor turut membangkitkan persoalan sama ada Umno akan membuat tuntutan RM100 juta kepada Tengku Zafrul atau sebaliknya.

“Saya akan mendesak Umno semak balik aku janji semasa Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15.

“Apakah Tengku Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya.

Tiada ulasan: