DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Keseronokkan seorang pelajar tingkatan satu melakukan aksi berbahaya dengan meniarap di atas motosikal ditunggangi sambil melakukan ‘zig zag’ tidak berpanjangan apabila dia ditahan polis di Tambak Paya, dekat sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berusia 13 tahun itu dikesan selepas pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah yang sedang melakukan Op Dagang menerima aduan berkaitan samseng jalanan, Sabtu lalu.
“Dua anggota trafik dihantar ke lokasi dan melihat seorang remaja membuat pusingan U di lampu isyarat sambil menderukan enjin motosikalnya dalam keadaan tidak memakai topi keledar.
“Dia kemudian memecut laju motosikal yang ditunggang dari persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga Paya Dalam dalam keadaan meniarap sambil membuat aksi ‘zig zag’ sehingga melepasi persimpangan Kampung Batu Putih,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, hasil pemerhatian remaja terbabit turut membuat aksi berbahaya itu sebanyak tiga pusingan di lokasi sama.
“Pasukan bertindak mengejar dan menahannya kerana perbuatan itu jelas membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Dia berjaya ditahan pada pukul 2.40 pagi di tepi jalan di simpang tiga Tambak Paya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan