"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis ditahan kerana bunuh isteri ditemukan meninggal dunia dalam tahanan

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Arau: Seorang anggota polis dalam tahanan ditemui meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 28 tahun dan berasal dari Setiu, Terengganu ditemui tidak sedarkan diri oleh wadar pusat koreksional itu jam 4.30 petang ketika berada di dalam selnya di pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.25 petang dan mendapati mangsa adalah seorang anggota polis.

"Mangsa diarahkan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar sekitar jam 8 pagi semalam bagi menghadiri perbicaraan namun dia enggan dibawa ke mahkamah.

"Oleh hal demikian, mangsa yang berada dalam selnya dilawati setiap satu jam oleh wadar bertugas dan setiap tinjauan dilakukan mendapati dia hanya duduk diam sambil berbaring di tempat tidurnya.

"Pada jam 4.30 petang, wadar bertugas yang meronda cuba mengejutkan lelaki itu yang disangka sedang tidur namun mendapat dia tidak lagi bergerak dan segera mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan segera.

"Namun jam 5.10 petang, pihak hospital mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, laporan polis berhubung kematian kemudian dibuat jam 5.25 petang.

"Hasil siasatan awal dapati si mati adalah seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang ditahan reman kerana kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak dua tahun lalu.

"Mangsa ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka sejak 17 Mac 2023 sehingga kini dan sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi, Kangar.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati mangsa ditempatkan di sebuah blok tahanan di pusat koreksional berkenaan bersama dua lagi tahanan," katanya.

Ahmad Mohsin berkata, mangsa turut mempunyai rekod psikiatri yang dirujuk di beberapa hospital sejak tahun 2017.

"Siasatan awal kita, tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap mangsa yang boleh menjurus ke arah punca kematian.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi proses bedah siasat," katanya.

Jenazah dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu selepas selesai proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pada 5 Mac 2023, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dekat Kangar.

Kemudian pada 17 Mac 2023, Mahkamah Majistret Kangar mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri, selepas mahkamah membenarkan permohonan Pengarah Pendakwaan Perlis Mohd Nordin Ismail supaya tertuduh menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tiada ulasan: