"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Spekulasi kabinet baru Anwar makin 'panas'

Malaysiakini 

Semua mata kini tertumpu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada kabinet, selepas kekalahan mereka dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Kesan politik daripada pemilihan PKR pada Sabtu lalu mencetuskan spekulasi mengenai siapa lagi yang mungkin mengundurkan diri, dan siapa pula bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Walaupun Nurul Izzah Anwar menang jawatan timbalan presiden PKR namun pada 9 Mei dia menjelaskan tidak berminat menyertai kabinet.

Bagi empat naib presiden PKR, terdapat banyak spekulasi sama ada R Ramanan — yang kini merupakan timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi — akan naik pangkat ke jawatan menteri.

Ramanan satu-satunya muka baru dalam senarai naib presiden PKR manakala tiga lagi penyandang memegang jawatan itu sejak dari penggal sebelumnya.

Ramanan sebelum ini ialah bendahari MIC.

Kenaikan mendadak Ramanan dalam kepimpinan PKR dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini pernah dikritik oleh Rafizi, yang berpendapat ahli baru sepatutnya bermula dari bawah.

Namun begitu, Ramanan memperoleh jumlah undi kedua tertinggi dalam kalangan empat naib presiden, selepas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Bagi Amirudin, perkembangan terbaru menghidupkan semula spekulasi sejak tahun lalu bahawa dia mungkin dipindahkan ke jawatan persekutuan.

Mengikut logik ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz disebut-sebut bakal menggantikan Amirudin sebagai menteri besar, sambil dia sendiri merancang langkah seterusnya menjelang tamat tempoh pelantikannya sebagai senator pada Disember 2025.

Zafrul akan kehilangan jawatan kabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai ahli Dewan Negara tamat dan tidak boleh dilantik semula kerana telah mencapai had penggal.

Namun perlu diingat Amirudin pernah menyatakan pada tahun lalu dia akan kekal sebagai menteri besar hingga tamat penggal pada 2028, berdasarkan nasihat Sultan Selangor bagi menjamin perpaduan dan kestabilan.

Pada masa sama, Zafrul kekal sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, walaupun pernah didekati oleh PKR berkenaan kemungkinan menyertai parti itu. Dia juga menafikan spekulasi tentang pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor tahun lalu.

Tambahan pula, Zafrul kini bukan Adun Selangor. Ini bermakna, untuk layak menjadi menteri besar, dia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya kecil di negeri itu.

Dua lagi naib presiden PKR, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Antara pemenang dan yang tersingkir dalam pemilihan PKR termasuk ketua Pemuda PKR yang baru, Kamil Munim, yang juga setiausaha politik Anwar sebagai menteri kewangan.

Kamil memenangi jawatan itu tanpa bertanding. Penyandang terdahulu, Adam Adli Abdul Halim — yang kini timbalan menteri belia dan sukan — pula bertanding dan menang bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak memegang sebarang jawatan dalam parti meskipun memegang portfolio kabinet yang penting.

Dia sebelum ini pernah mempertimbangkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden tetapi akhirnya mengundur diri bagi memberi laluan kepada Nurul Izzah.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy pula tewas dalam usahanya untuk menjadi anggota ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan ketua cabang Bukit Bintang. Sebelum ini, dia naib presiden lantikan PKR tetapi tidak menawarkan diri untuk bertanding semula jawatan itu.

Terdahulu hari ini, kedua-dua Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.

Rafizi — yang sebelum ini menyatakan akan berundur ke bangku belakang sekiranya tewas — berkata dia tidak lagi mempunyai mandat parti untuk menterjemahkan agenda ke dalam program kerajaan.

Nik Nazmi pula tidak pernah menyuarakan hasrat sama, tetapi menyatakan kegagalannya mempertahankan jawatan sebagai faktor utama keputusan tersebut.

Kedua-dua menteri itu akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga hari terakhir mereka di pejabat — masing-masing pada 17 Jun dan 4 Jun.

Tiada ulasan: