"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat usahawan ditemukan dalam lubang di litar lumba, tanpa seluar

Agensi
JUNIOR ditemukan mati di kawasan Litar Lumba Interlagos. FOTO Facebook Juni Or
JUNIOR ditemukan mati di kawasan Litar Lumba Interlagos. FOTO Facebook Juni Or
Sao Paulo: Persekutuan Brazil kini menyiasat kematian usahawan Adalberto Amarilio dos Santos Junior, 35, sebagai kes bunuh selepas mayatnya ditemui dalam sebuah lubang di kawasan litar lumba Interlagos, zon selatan bandar ini pada 3 Jun lalu, lapor Folha De S Paulo.

Junior, yang menjalankan perniagaan optik, dilaporkan hilang selepas menghadiri acara motosikal di litar berkenaan pada Jumaat, 30 Mei.

Keretanya ditemukan oleh ahli keluarga pada pagi keesokannya di kawasan parkir dalam kompleks Interlagos.

Ketika ditemui, mayat mangsa tidak berseluar dan tidak memakai kasut. Mangsa hanya memakai jaket dan topi keledar yang mempunyai kamera tetapi peranti itu hilang.

Menurut pihak berkuasa, selain disyaki dibunuh, siasatan turut mengambil kira kemungkinan jenayah lain seperti pengabaian bantuan kecemasan dan penyembunyian mayat.

Satu teori menyatakan mangsa mungkin dicampak ke dalam lubang ketika masih hidup – sama ada selepas terbabit dalam kemalangan, diserang, atau berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Bedah siasat awal dari Institut Perubatan Forensik (IML) tidak menemui sebarang kecederaan serius atau kesan cekik di leher.

Namun, polis tidak menolak kemungkinan Junior menjadi mangsa cekik mata-leon (teknik cekik belakang leher). Keputusan laporan penuh forensik kini masih dinantikan.

Seramai kira-kira 180 anggota keselamatan bertugas ketika acara motosikal berlangsung.

Beberapa pengawal keselamatan dan penyelia telah dirakam keterangan, dan lebih ramai saksi dijangka dipanggil termasuk pengawal di kawasan karting.

Polis juga menemui kesan darah di bahagian belakang kereta mangsa. Setitik darah ditemui pada karpet, manakala kesan sapuan tangan terdapat pada tempat duduk dan panel lantai di belakang tempat duduk hadapan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh penganjur sedang diperiksa, khususnya di pintu masuk dan keluar, bagi mengenal pasti pergerakan mangsa pada malam kejadian.

Pada hari itu, Junior hadir bersama rakannya, Rafael Albertino Alieste, 42, yang memaklumkan mereka berpisah kerana meletakkan kenderaan di lokasi berbeza. Alieste turut mengakui mereka minum arak dan menghisap ganja semasa acara tersebut.

Polis menolak kemungkinan rompakan sebagai motif, memandangkan barang peribadi seperti cincin emas, dompet, wang tunai dan kad bank masih berada bersama mangsa.

Difahamkan, litar lumba terkenal itu tidak dilengkapi kamera pengawasan tetap milik Majlis Perbandaran São Paulo.

Menurut pihak berkuasa, kontrak pemasangan 50 kamera baharu dimeterai pada Februari dan dijangka siap pertengahan separuh kedua tahun ini.

Namun, kawasan sekitar sudah dipantau oleh 60 kamera di bawah Program Smart Sampa.
-hmetro 

Tiada ulasan: