B Nantha Kumar
Peletakan jawatan dua menteri kanan PKR — Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad — menyaksikan gabungan kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berdepan saat kritikal.
Ia antara menjaga kestabilan kabinet dan menangani dakwaan pembangkang bahawa kerajaan perpaduan semakin hilang arah serta kohesi politik.
Ketika negara masih menghadam impak peletakan jawatan itu, situasi menjadi lebih rumit apabila Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar dari Umno — namun terus kekal sebagai menteri dalam kabinet Anwar.
Antara cuti dan pengunduran: Mana hala PKR?
Sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang ditemui Malaysiakini menyatakan bahawa masa depan Rafizi dan Nik Nazmi masih dalam peringkat perbincangan, dengan usaha sedang dijalankan untuk memujuk kedua-dua mereka supaya terus kekal.
"Kita kena lihat semula kenyataan PMO (Pejabat Perdana Menteri). Perdana Menteri hanya meluluskan permohonan cuti Rafizi dan Nik Nazmi. Surat letak jawatan belum diluluskan. Malah, masih dalam perbincangan.
"Apa yang saya boleh pastikan, masih terdapat usaha memujuk Rafizi dan Nik Nazmi untuk kekal dalam jemaah menteri. Seperti saya kata, Rafizi dan Nik sekarang sedang bercuti.
"Maka, ada peluang untuk mereka kembali. Jika, kembali maka tiada keperluan untuk rombakan kabinet.
“Saya jangka, Disember ini akan ada rombakan kabinet secara kecil-kecilan. Maka, perdana menteri mungkin tidak minat membuat dua rombakan dalam setahun. Jadi, yang terbaik kepadanya adalah cuba mengekalkan Rafizi dan Nik Nazmi," kata sumber itu.
Namun, sumber itu mengakui kemungkinan mereka untuk terus kekal dalam barisan kabinet Madani adalah amat tipis.
Pada 28 Mei lalu, Rafizi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada kabinet susulan kegagalannya dalam mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang disandangnya.
Menurutnya, peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun sehingga dia menghabiskan baki cuti tahunan pada 16 Jun.
Menyusul jejaknya, adalah Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan PKR. Katanya, peletakan jawatannya adalah pada 4 Julai ini sementara dia bercuti mulai 29 Mei hingga 3 Julai.
Rasa tidak puas hati dalaman
Namun, beberapa pemerhati politik berpendapat peletakan jawatan selepas kekalahan dalam pemilihan parti bukanlah kebetulan, sebaliknya satu isyarat ketidaksefahaman strategik dalam PKR dan rasa tidak puas hati terhadap halatuju pentadbiran.
“Kalau dua pemimpin muda yang berpengaruh dalam PKR sendiri sudah hilang kepercayaan untuk kekal dalam kabinet, itu bukan berita kecil.
“Ia isyarat dalaman,” kata seorang penganalisis yang enggan dinamakan.
Mengulas lanjut, sumber PMO itu berkata, terdapat tiga senario utama sedang dipertimbangkan oleh Anwar.
"Kemungkinan pertama seperti saya kata sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi akan kekal. Yang kedua, jika Rafizi dan Nik Nazmi tetap berkeras untuk keluar, Anwar mungkin terpaksa melantik tokoh baru.
"Dalam senario ini Tengku Zafrul kekal sebagai menteri, tetapi sebagai wakil PKR. Kementerian Ekonomi mungkin akan dikecilkan skopnya dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MoF) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM)," katanya.
Terdapat juga spekulasi bahawa kementerian ekonomi akan diserahkan kepada Umno, sebagai imbangan semula kuasa dalam kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun perlu dinyatakan bahawa tempoh jawatan senator Zafrul bakal tamat pada pertengahan Disember selepas dua penggal – had maksimum bagi seseorang senator.
Peranan teknokrat
Kedudukan Zafrul menimbulkan persoalan lebih besar tentang peranan teknokrat dalam pentadbiran gabungan. Tambahan pula, dia kini dikatakan sedang “mengintai” tempat dalam PKR dan berpotensi mendapat portfolio baru.
Kementerian Ekonomi diwujudkan pada 2018 selepas Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan persekutuan. Pada masa itu ia dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipegang oleh timbalan presiden PKR ketika itu Mohamed Azmin Ali .
Sebelum ini, kementerian itu adalah sebuah portfolio di bawah JPM dan agensi utama portfolio ini ialah Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Portfolio Nik Nazmi (sumber asli) mungkin diambil alih oleh wakil Umno bagi mengekalkan keseimbangan politik dalam kerajaan.
“Dengan itu, Umno akan kekal dengan tujuh menteri yang ada sekarang seperti yang diminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi," kata sumber itu.
Sebelum ini Umno mempunyai tujuh menteri, tetapi susulan tindakan Zafrul keluar parti., ia hanya tinggal enam menteri.
Justeru, desakan Zahid yang mahu tujuh kerusi itu membuka ruang tawar-menawar yang mencabar buat Anwar: sama ada memenuhi permintaan Umno, atau mempertahankan dominasi PKR dalam kabinet — yang kini jelas goyah.
Siapa bakal ganti?
Beberapa nama juga disebut -sebut sebagai pengganti Nik Nazmi.
Mereka termasuk Setiauasa Agung PKR, Fuziah Salleh; ahli Majlis Tertinggi PKR, Adam Adli; Naib Presiden PKR, R Ramanan dan Sim Tze Tzin. Namun, pertimbangannya bukan hanya tentang kelayakan teknokratik — tetapi juga sejauh mana individu tersebut mampu memberi kestabilan politik dan memperkukuh imej kerajaan yang kini tercalar.
"Terserah kepada presiden. Ada banyak calon. Setiausaha Agung (Fuziah) antara calon utama layak dilantik sebagai menteri.
"Beliau menyertai PKR pada 1999. Bermula dari akar umbi dan memegang pelbagai jawatan dalam parti sebelum dilantik sebagai setiausaha agung. Dia juga timbalan menteri KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia). Maka, dia salah seorang calon utama.
"Seperti saya kata belum ada sebarang keputusan muktamad. Ada yang sedang melobi. Ada yang buat strategik sendiri supaya boleh diangkat sebagai menteri.
"Tapi, perdana menteri hanya akan membincangkan sebarang pelantikan baru ke kabinet selepas 13 Jun ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan