Harian Metro
Seremban: Guru lelaki sebuah sekolah menengah di Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9 hingg 9.20 pagi di dalam kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dalam daerah Rembau, 17 Mei lalu.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon wang jaminan yang minimum dengan alasan menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa dia adalah seorang guru dan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin sejak seminggu lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes 15 Julai depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan