"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lembu korban lesap, 'terjun' laut

Meor Riduwan Meor Ahmad
Lembu jantan yang terlepas dan dipercayai lemas dihanyutkan air dekat pantai Tanjung Bidara, malam tadi. - Foto tular.
Lembu jantan yang terlepas dan dipercayai lemas dihanyutkan air dekat pantai Tanjung Bidara, malam tadi. - Foto tular.
ALOR GAJAH: Penduduk Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, gempar apabila seekor lembu jantan untuk majlis korban sempena Aidiladha terlepas dan 'lesap' di pantai Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan turut tular apabila video dan gambar memaparkan orang kampung dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pencarian di sekitar pantai berkenaan dikongsikan di media sosial.

Saksi kejadian, Muhammad Fahmi Abdullah, 28, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka apa-apa perkara buruk berlaku apabila melihat lembu berkenaan berenang di laut di hadapan gerainya.

"Tidak lama selepas masuk ke dalam gerai saya terdengar bunyi riuh-rendah suara orang ramai sebelum seorang penduduk kampung bertanya jika saya ternampak seekor lembu yang terlepas.

"Saya jawab 'ada' dan kemudian kami bersama-sama pergi mencari lembu itu yang masih ada di dalam laut dan ada tali pada lehernya.

"Namun, tiada seorang penduduk berani mendekati lembu jantan itu yang garang selain saiznya agak besar," katanya yang juga peniaga lempeng ketika dihubungi di sini.

Muhammad Fahmi berkata, dia kemudian menghubungi APM untuk bantuan menangkap lembu itu, namun haiwan itu tiba-tiba hilang apabila pasukan penyelamat tiba.

"Mungkin lembu itu lemas sebab takut melihat ramai orang berkerumun di pantai tambahan kawasan pantai itu banyak batu-batu besar dan sukar untuk haiwan itu naik ke darat.

"Penduduk dah cari dengan menyuluh lampu di sekitar pantai sambil naik perahu tapi tidak jumpa. Selepas solat sunat Aidiladha penduduk sambung cari, tapi masih tidak jumpa.

"Kejadian ini pertama kali berlaku di kampung kami dan memang pelik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit (PPAU) Masjid Tanah, Leftenan (PA) Noor Jauzi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.42 malam dan seorang pegawai bersama tiga anggota APM dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Namun usaha mencari lembu korban berkenaan gagal selepas pemeriksaan dibuat di sekitar tempat kejadian.

"Maklumat orang awam menyatakan lembu itu dipercayai dihanyutkan air dan hilang dari penglihatan," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: