"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sila ambil pengajaran: Kesal jadi 'alat' warga asing besarkan empayar

Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Saya menyesal selepas terbuai dengan ayat manis lelaki Pakistan yang rupa-rupanya ada niat lain mahu mempergunakan saya untuk membesarkan empayar perniagaan di sini," kata Adilah (bukan nama sebenar) yang berusia lingkungan 40-an.

Adilah adalah wanita tempatan yang terpedaya dengan janji manis bekas suami warga asing yang memujuk menggunakan namanya untuk mendapatkan lesen perniagaan dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beberapa tahun lalu.

Berkongsi kisahnya, Adilah berkata, dia yang membuka sebuah kedai makan sebelum itu sudah berkahwin dengan lelaki tempatan namun bekas suami pertamanya itu mengalami masalah kesihatan.

Katanya, dia kemudiannya mengenali bekas suami kedua warga asing berusia 40-an yang juga pemilik sebuah kedai perabot di kawasan berhampiran yang selalu datang ke kedai makan milik warga asing di sebelah premisnya.

"Perkenalan itu membawa perasaan suka dan saya kemudian menuntut fasakh sebelum berkahwin dengan lelaki warga asing itu yang mendakwa masih bujang.

"Pada awalnya kehidupan kami baik saja dan bekas suami kedua memang tak pernah bercakap mengenai hal perniagaannya.

"Tetapi tidak lama selepas itu dia mula berubah menjadi terlalu cemburu hingga saya tak boleh pergi ke mana-mana seorang diri dan dia juga memujuk saya membuat lesen perniagaan dan pendaftaran SSM untuk membesarkan empayar perniagaannya di sini," katanya.

Menurutnya, kerana menyayangi lelaki itu, dia menurut kemahuannya dan mengakui perniagaan warga asing itu semakin maju hingga membawa pulangan yang besar namun rahsianya yang mempunyai isteri di negara asal terbongkar.

Malah lebih mengejutkan bekas suaminya juga mempunyai seorang lagi isteri warga asing dan Adilah terasa dirinya dipermainkan dan dipergunakan untuk memberi kesenangan kepada orang lain.

"Dia rupanya memang sudah ada isteri di negara asal dan dia kahwin seorang lagi wanita asing selepas berkahwin dengan saya. Saya beri dia guna lesen perniagaan atas nama saya, besarkan lagi perniagaan perabot dia dan dapat untung besar tetapi dia tipu saya.

"Saya berasa menyesal dan terasa dipergunakan. Saya menuntut cerai kerana memang sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta dia selain beberapa isu lain namun dia memujuk kerana bimbang saya ambil semula lesen itu," katanya yang menetap di Lembah Klang.

Adilah berkata, selepas berpisah bekas suami masih menggunakan lesen perniagaan atas namanya dan membayar 'wang sewa' kepadanya untuk lesen berkenaan namun dia mengakui tindakan itu juga tidak wajar kerana memberi peluang kepada warga asing.

"Saya tahu tindakan berkenaan salah dan mahu ambil tindakan pembatalan lesen itu supaya dia tidak terus mempergunakan nama saya. Bagi saya perkahwinan dengan warga asing ini perlu lebih berhati-hati supaya apa yang dilalui tidak berlaku lagi," katanya.

Tiada ulasan: