"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Naik angin' ditegur merokok, lelaki bergaduh dengan wanita hamil dan suami

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
LELAKI berang ditegur oleh pekerja restoran serta sepasang suami isteri ketika merokok di dalam restoran sehingga berlaku perselisihan faham.  FOTO Ihsan Pembaca.
LELAKI berang ditegur oleh pekerja restoran serta sepasang suami isteri ketika merokok di dalam restoran sehingga berlaku perselisihan faham.  FOTO Ihsan Pembaca.
Shah Alam: Seorang lelaki bertindak agresif dan mencetuskan pergaduhan selepas ditegur kerana merokok di dalam sebuah restoran di Seksyen 13, di sini, Khamis lalu.

Kejadian jam 11.50 malam berlaku apabila lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati selepas ditegur oleh seorang pekerja restoran serta suami isteri yang turut berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang turut tular di media sosial pada 1.45 tengah hari, keesokan harinya.

Menurutnya, pengadu yang juga seorang wanita hamil lapan bulan memaklumkan ketika dia bersama suaminya berada di restoran berkenaan, terdapat seorang lelaki tempatan (suspek) duduk di meja berhampiran sambil menghisap rokok.

"Siasatan mendapati, pengadu yang sedang hamil kurang senang dengan perbuatan itu kerana bimbang mengganggu kesihatan dan kandungannya.

"Pada mulanya pengadu dan suaminya meminta pekerja restoran untuk menegur suspek, namun tidak diendahkan.

"Suami pengadu turut menegur suspek sebanyak tiga kali, dan masih tidak diendahkan.

"Namun, pada teguran kali ketiga, suspek terus bangun dan menghampiri meja pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pengadu mendakwa suspek menghembus asap rokok ke arahnya menyebabkan mereka marah.

Katanya, suaminya cuba mempertahankan pengadu dan pengadu merakam insiden itu dengan alasan bimbang suaminya akan dicederakan dan rakaman itu boleh menjadi bukti.

"Pertengkaran berlaku dan suspek bertindak menepis tangan pengadu yang memegang telefon menyebabkannya terjatuh.

"Pertengkaran kemudiannya menjadi insiden tolak menolak dan suspek terus beredar meninggalkan restoran," katanya.

Mohd Iqbal berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian.

"Siasatan ke atas rakaman itu menunjukkan pertengkaran dan insiden tolak menolak.

"Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi seratus ringgit," katanya.

Beliau juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327," katanya.

Tiada ulasan: