Juwan Riduan

Kereta mangsa hangus dijilat api selepas berlanggar dengan sebuah lori di simpang SK Sandau, Lahad Datu, hari ini. – Foto ihsan bomba
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori sebelum hangus dijilat api di simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Sandau, di sini, hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 3.15 petang itu, kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa berusia 24 tahun terbakar sepenuhnya dipercayai akibat impak kuat perlanggaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.20 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, Toyota Vios itu didapati sudah terbakar 100 peratus. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos gegelung.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.28 petang dan operasi ditamatkan 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Vios terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum kereta terbakar sepenuhnya. Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi lelaki berusia 24 dan 34 tahun yang menaiki lori terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan