"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN, PN menang majoriti dua pertiga

Semua kerusi telah diambil kira dengan BN dan PN telah memenangi 25 kerusi secara keseluruhan, manakala PH 11 kerusi.

Ini memberikan BN majoriti dua pertiga dalam badan perundangan negeri.

Pecahan parti yang menang adalah seperti berikut:

Umno - 16 (Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah, Johol, Labu, Chembong, Rantau, Kota, Linggi, Gemencheh)

MCA - 2 (Chennah, Repah)

PAS - 4 (Serting, Ampangan, Paroi, Bagan Pinang)

Wawasan - 3 (Klawang, Sikamat, Gemas)

DAP - 9 (Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut)

PKR - 2 (Chuah, Sri Tanjung)

MIC dan MIPP tewas di semua kerusi yang mereka tandingi, bermakna tidak akan ada Adun India dalam kerajaan negeri baru.

Sementara itu, tiada calon Melayu dari Pakatan Harapan menang, bermakna tiada Adun Melayu dalam pembangkang negeri.

TIDAK RESMI: KEPUTUSAN TERKINI PRN NEGERI SEMBILAN 2026

 


Anthony Loke, Tok Min tumbang di Negeri Sembilan

Malaysiakini

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun kalah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Anthony Loke yang merupakan Adun Chennah selama tiga penggal kalah kepada calon BN Siow Kong Choon.

Sementara, Aminuddin yang lebih mesra dipanggil sebagai Tok Min ditewaskan di DUN Linggi.

Ibu hamil 7 bulan, anak melecur 60 peratus: Konvoi RXZ bertukar tragedi

Harapandaily
Perjalanan seorang wanita hamil tujuh bulan bersama anak lelakinya ke pasar bertukar tragedi apabila mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan seorang peserta RXZ Members 8.0, menyebabkan motosikal dinaiki terbakar dan anak mangsa melecur lebih 60 peratus.

Kejadian berlaku di Persimpangan Buluh Gading di sini, antara jam 11.40 hingga 11.50 pagi semalam ketika Syafirah Salim, 36, bersama anaknya, Ahmad Asyraf Talhah, 13, dalam perjalanan ke Pasar Batu Enam.

Menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Bapa mangsa, Talhah Mahmud, berkata cucunya mengalami kesan melecur kira-kira 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah, manakala anak perempuannya yang sedang hamil turut menerima rawatan.

Beliau berharap kandungan anak perempuannya tidak terjejas akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan penunggang Yamaha RXZ yang terbabit ialah seorang peserta program RXZ Members 8.0 berusia 24 tahun dari Jengka, Pahang.

Menurut beliau, motosikal Honda Beat yang dinaiki dua beranak itu terbakar selepas kemalangan, menyebabkan remaja berusia 13 tahun berkenaan mengalami kecederaan melecur yang serius.

Dalam perkembangan sama, Utusan Melayu Plus melaporkan motosikal Honda Beat dinaiki mangsa hangus sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ terbakar kira-kira 80 peratus.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal Yamaha RXZ itu hilang kawalan sebelum berlaku tumpahan minyak yang mencetuskan kebakaran.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

Taksub: Kita dengan pilihan raya

Mohsin Abdullah

Mengapa ada antara kita yang termakan dan telan bulat-bulat retorik dihidangkan sang politikus?

Kita tak pandai main politik. Okeylah kalau bukan semua ramai antara kita. Kita maksud saya rakyat biasa. Bukan politikus. ‘Not politicians per se’. Tetapi golongan kita yang minat politik dan sokong parti politik.

Namun, kita penuh emosi. Tidak mahu setuju untuk tidak setuju. Semua mesti setuju dengan kita. Berlainan pendapat tak kawan. Jadi musuh pun boleh. Singkatnya kita tidak boleh terima pandangan berbeda.

Jika parti yang lawan parti yang kita sokong ada buat benda yang bagus kita kenalah berani mengakui hakikatnya. Tetapi ini tidak berlaku. Kita tetap kata parti yang kita tidak sokong itu salah. Parti yang kita sokong betul sepanjang waktu. Ramai yang terbawa-bawa dengan sentimen.

Terlalu taasub. Istilah yang saya kira tepat untuk digunakan dalam menggambarkan keadaan ini. Dan dalam ketaasuban tercetus perangai buruk.

Maka, saya setuju dengan apa dikatakan Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre menerusi catatannya di Facebook baru-baru ini. Kata beliau:

“Saya bimbang sistem sosial kita akan runtuh jika pilihan raya demi pilihan raya diadakan secara berterusan. Runtuh akhlak, runtuh adab, runtuh perpaduan, runtuh segala teras sosial.

“Kajian-kajian akademik telah membuktikan elemen perpaduan masyarakat merosot setiap kali musim pilihan raya.” Saya mencelah. Kita seolah tidak hargai demokrasi dan salah guna kebebasan bersuara, memilih dan sebagainya.

Kata Yusri lagi: “Sebab itu sebelum ini saya pernah mencadangkan supaya tarikh pilihan raya ditetapkan siap-siap setiap lima tahun.”

Saya mencelah sekali lagi. Saya pernah lama dulu mencadangkan perarakan pada hari penamaan calon diharamkan. Bagi saya calon hanya elok diiringi dua saksi ketika menyerahkan borang penamaan di pusat penamaan calon.

Tidak perlulah diarak bagai pengantin dan diiringi ratusan penyokong kerana sering berlaku ejek-mengejek segala macam provokasi antara kumpulan penyokong calon.

Jelas dan nyata tiada siapa hiraukan cadangan itu. Perarakan iring calon pada hari penamaan berterusan lengkap dengan kemeriahan dan malangnya juga maki-memaki.

Kembali kepada catatan Yusri. Menurut beliau cadangan agar tarikh pilihan raya ditetapkan awal setiap lima tahun ialah ‘supaya semua pihak tahu bila pilihan raya akan diadakan, tiada elemen kejutan, tiada elemen kelebihan kepada parti pemerintah’.

Namun, menurut saya golongan yang suka buat perangai akan tetap buat perangai meskipun tahu awal bila pilhan raya akan diadakan. Sekadar pendapat saya.

Apa pun kata Yusri lagi jika pilihan raya mengejut terpaksa diadakan berikutan terjadi sesuatu di luar jangkaan yang menyebabkan dewan legislatif dibubar atau terbubar, kerajaan baharu yang ditubuhkan (maknanya oleh parti yang menanglah) perlu dibenarkan mencukupi atau melengkapkan baki penggal sahaja – bukan diberi mandat baharu lima tahun penuh.

“Ini untuk mengelak supaya tiada mana-mana pihak memanipulasi pembubaran awal dewan untuk mendapatkan apa-apa kelebihan. Ini untuk membolehkan kita kembali mengadakan pilihan raya umum serentak pada masa masa akan datang,” kata beliau.

Supaya menurut Yusri, pilihan raya hanya diadakan dalam tempoh setiap lima tahun sekali sahaja.

Tetapi, sang politikus kita pakar manipulasi. Tak ada pilihan raya langsung pun boleh. Ingat Langkah Sheraton? Dapat dirikan kerajaan tanpa pilihan raya. Sekali gus nafi hak rakyat. Hebatkan sang politikus kita?

Dan kita sudah saksikan ada pilihan raya negeri yang sengaja diadakan awal yakni lama sebelum tempoh mandat selesai. Tentunya setelah yang memerintah ambil kira strategi menguntungkan.

Dan ada juga pilihan raya yang terpaksa diadakan kerana yang memerintah dipaksa oleh pihak lawan. Yusri juga bercakap mengenai kempen. Dalam tempoh kempen setiap lima tahun tersebut ‘mungkin akan sedikit hangat dan beremosi’.

Namun, katanya ‘kita boleh kembali cool down selepas itu dan fokus kepada pembangunan masyarakat dan negara, hidup dengan tenang dan damai selayaknya sebagai masyarakat bertamadun’.

Bercakap mengenai ‘cool down’ saya teringat di Indonesia ada apa yang dipanggil ‘masa tenang’ selepas tempoh kempen tamat. ‘Masa tenang’ selama tiga hari. Selepas itu baru diadakan pilihan raya. Baru ‘coblos’.

Di negara kita, dibolehkan berkempen berterusan sehingga tengah malam sehari sebelum pilihan raya. Panas terus memanas.

Seterusnya, Yusri berkata jika pilihan raya diadakan secara bersambung satu demi satu, kita akan berada dalam ketegangan yang sangat tinggi lantas ‘ini tidak bagus untuk sistem sosial kita, apatah lagi dalam keadaan literasi politik warga kita tidaklah sebaik mana’. Inilah yang saya sampaikan diawal penulisan ini.

Banyak lagi saranan dan pendapat yang bagus diluahkan Yusri yang tidak sempat saya huraikan di sini. Yang berminat sila layari laman Facebook beliau.

Cuma, ingin saya ketengahkan komen seorang ‘follower’ Facebook beliau yang berpendapat masalahnya ialah apabila ada parti terus main isu kaum dan agama. Beliau sebut nama parti yang dimaksudkan.

Menurut yang beri komen ‘dah tak perlu manifesto. Jauhlah negara akan ke hadapan malah akan ke belakang’. Menyedihkan kerana ada benar kata beliau.

Saya tidak setuju malah tidak suka (sekadar guna istilah lembut) dengan permainan kaum dan agama oleh parti politik. Tetapi saya faham. Saya ulangi. Tidak suka tetapi faham mengapa mereka berbuat demikan.

Meniup sentimen kaum dan agama jalan singkat dan mudah untuk dapat sokongan di peti undi. Tetapi yang saya tidak faham mengapa ada antara kita (mungkin ramai) yang termakan dan telan bulat-bulat retorik dihidangkan sang politikus?

Politikus akan jual apa yang mereka jual selagi ada yang beli apa yang mereka jual.

MB baru N Sembilan perlu angkat sumpah depan Tuanku Muhriz

Malaysiakini

Pilihan Raya N Sembilan | Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru perlu mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kata peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Dia berpandangan bahawa walaupun terdapat pertikaian mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri, terdapat status quo mengenai kedudukan Tuanku Muhriz susulan injunksi yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Rafique membangkitkan bahawa Tuanku Muhriz juga yang telah memperkenankan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada 4 Jun.

"Pandangan serta hemat saya perlu dan mesti mengadap Yamtuan yang memperkenan pembubaran tempoh hari.

"Pembubaran tersebut adalah sah. Selepas pembubaran semua pihak masuk PRN serta berkempen. Ini pengesahan senyap (tacit approval) kedudukan Yamtuan Besar.

"Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang setakat ini memberi injunksi dalam kes yang difail di mahkamah. Maka status quo. Balik pada keadaan asal setakat ini.

"Negara kita ada undang-undang.Ia terpakai juga di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kedudukan Tuanku Muhriz dipertikaikan selepas empat Undang Negeri Sembilan mengumumkan pada April bahawa mereka telah sebulat suara memutuskan untuk melucutkan baginda daripada jawatan.

Pertikaian itu semakin memuncak apabila Undang Yang Empat, bersama-sama tunku besar Tampin dan datuk syahbandar, mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Ini telah mencetuskan persoalan sama ada parti atau gabungan yang membentuk majoriti akan mengemukakan calon menteri besar mereka di hadapan Tuanku Muhriz atau Tunku Nadzaruddin.

Sebelum ini timbul khabar angin yang mengatakan jika BN mencatatkan kemenangan malam ini, majlis angkat sumpah akan diadakan di hadapan Tunku Nadzruddin di Istana Serting di Bahau dan bukannya Seri Menanti.

Bagaimanapun, ia telah dinafikan oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang berkata ia adalah pembohongan yang disebarkan oleh pesaing politik BN.

Mohamad dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa spekulasi itu hanya naratif oleh pihak yang cuba melancarkan perang psikologi terhadap BN agar rakyat marah kepada gabungan itu.

Dia juga menafikan mengetahui sebarang rancangan sedemikian dan meminta rakyat tidak terpedaya.

RCI Tabung Haji: Umno cari perkataan ‘sakau’, rakyat mahu tahu siapa rosakkan Tabung Haji

NAJIB HASHIM

Team Editorial

Perdebatan mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kini cuba dialihkan kepada satu perkara kecil: kononnya tiada perkataan “sakau” dalam laporan tersebut.

Hujah itu digunakan sebahagian pemimpin Umno-BN untuk menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seolah-olah ketiadaan perkataan tersebut membuktikan tiada salah urus, tiada penyelewengan, tiada kelemahan tadbir urus dan tiada keputusan meragukan dalam pengurusan Tabung Haji.

Namun, rakyat wajar bertanya: adakah kebenaran sesuatu skandal hanya sah jika perkataan “sakau” ditulis secara literal dalam laporan rasmi?

Jawapannya tentu tidak.

Laporan RCI bukan teks ceramah politik. Ia bukan poster kempen. Ia bukan kapsyen media sosial. Laporan rasmi kerajaan dan suruhanjaya siasatan tidak menggunakan bahasa pasar seperti “sakau”, “songlap” atau “rompak”. 

Sebaliknya, laporan rasmi menggunakan istilah formal seperti kelemahan tadbir urus, ketidakpatuhan, perakaunan kreatif, pembayaran tidak wajar, campur tangan politik, risiko kewangan dan kegagalan kawalan dalaman.

Maka, hujah “tiada perkataan sakau” sebenarnya lebih menyerlahkan kegagalan Umno-BN menjawab isi sebenar laporan RCI.

Isu pokoknya bukan perkataan apa yang digunakan PMX. Isu pokoknya ialah apa yang berlaku kepada Tabung Haji ketika institusi itu diurus dalam era pentadbiran lama.

Tabung Haji bukan syarikat biasa. Ia menyimpan wang umat Islam, khususnya orang Melayu Islam yang menabung sedikit demi sedikit untuk menunaikan haji. 

Bagi sebahagian besar pendeposit, duit dalam Tabung Haji ialah hasil titik peluh bertahun-tahun. Ada yang menyimpan daripada gaji kecil, hasil kebun, pencen, bantuan anak-anak dan simpanan keluarga.

Sebab itu, apabila RCI mendedahkan kelemahan besar dalam pengurusan Tabung Haji bagi tempoh lalu, isu ini bukan sekadar isu teknikal akaun. Ia isu amanah.

Jika laporan menyebut wujud perakaunan kreatif, kedudukan kewangan yang tidak mencerminkan keadaan sebenar, pemberian hibah yang melampaui kemampuan, teguran Bank Negara Malaysia yang tidak diberi perhatian sewajarnya dan unsur politik dalam keputusan institusi, apakah semua itu boleh diketepikan hanya kerana perkataan “sakau” tidak muncul?

Keberanian politik PMX

Selama bertahun-tahun, isu Tabung Haji menjadi perdebatan yang diselubungi penafian. Setiap kali kebimbangan dibangkitkan, rakyat diberitahu semuanya baik-baik sahaja. 

Apabila ada pihak mempersoalkan rizab, kedudukan kewangan dan kemampuan membayar hibah, mereka dituduh tidak memahami model perniagaan Tabung Haji atau cuba merosakkan keyakinan umat Islam.

Namun, apabila laporan RCI akhirnya didedahkan kepada umum di bawah Kerajaan MADANI, rakyat dapat melihat gambaran yang lebih besar. Rupanya kebimbangan yang pernah dibangkitkan bukan kosong. 

Rupanya teguran terhadap kedudukan kewangan Tabung Haji bukan sekadar serangan politik. Rupanya ada isu serius yang memerlukan penelitian dan pembetulan.

Kerajaan hari ini tidak memilih untuk menyorok laporan. Tidak memilih untuk membiarkan rakyat terus bergantung kepada khabar angin. Tidak memilih untuk mempertahankan semua keputusan lama hanya kerana ia membabitkan tokoh politik berkuasa.

Sebaliknya, laporan RCI didedahkan supaya rakyat boleh menilai sendiri. Itulah ketelusan.

Umno-BN kini cuba menjadikan isu ini sebagai pertikaian istilah. Mereka mahu rakyat berbalah tentang satu perkataan. Tetapi rakyat yang bijak akan melihat keseluruhan gambaran.

Jika sesebuah institusi menyatakan untung berbilion ringgit, tetapi laporan kemudian menunjukkan kedudukan sebenar kewangannya jauh berbeza jika piawaian pelaporan dipatuhi sepenuhnya, itu isu besar.

Jika hibah dibayar tinggi ketika kedudukan kewangan institusi dipersoalkan, itu isu besar.

Jika surat dan teguran Bank Negara Malaysia sebelum ini tidak cukup mengubah tindakan pengurusan, itu isu besar.

Jika ahli politik berada dalam struktur lembaga institusi yang mengurus simpanan umat Islam, lalu RCI menegaskan ketidakwajaran campur tangan politik dalam lembaga, itu juga isu besar.

Jadi, mengapa mahu sembunyikan semua persoalan besar ini di sebalik hujah “tiada perkataan sakau”?

Rakyat tidak mencari perkataan. Rakyat mencari pertanggungjawaban.

Sakau bukan istilah audit

Malah, dalam politik, istilah seperti “sakau” sering digunakan sebagai rumusan kemarahan rakyat terhadap salah guna kuasa, ketirisan dan pengurusan yang merugikan kepentingan awam. 

Ia mungkin bukan istilah audit, tetapi ia menggambarkan perasaan rakyat apabila institusi yang sepatutnya dijaga dengan amanah didapati berdepan pelbagai kelemahan serius.

Umno-BN boleh menafikan istilah itu. Tetapi mereka tidak boleh lari daripada menjawab kandungan laporan.

Siapa yang mengurus Tabung Haji ketika itu? Siapa yang duduk dalam lembaga? Siapa yang meluluskan keputusan besar? Siapa yang mempertahankan kedudukan kewangan TH ketika amaran sudah mula dibangkitkan? Siapa yang perlu menjelaskan mengapa teguran awal tidak ditangani dengan lebih tegas?

Soalan-soalan ini jauh lebih penting daripada sekadar bertanya sama ada perkataan “sakau” wujud dalam laporan.

Dalam isu sebesar Tabung Haji, politik penafian tidak lagi memadai. Rakyat tidak boleh lagi disuap dengan jawapan teknikal yang mengelirukan. Institusi umat Islam mesti dipertahankan dengan ketelusan, bukan slogan. Amanah pendeposit mesti dijaga dengan tadbir urus, bukan retorik.

Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar mengambil langkah yang wajar apabila membuka ruang kepada penelitian terhadap laporan ini. Tindakan itu mungkin tidak menyenangkan pihak tertentu, tetapi ia penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji.

Ini bukan soal membalas dendam politik. Ini soal memastikan kesilapan lama tidak berulang.

PH dan Kerajaan MADANI membawa mesej jelas: institusi rakyat tidak boleh dijadikan medan percaturan politik. Sama ada FELDA, Tabung Haji atau mana-mana badan awam lain, prinsipnya sama  wang rakyat mesti dijaga, bukan diperguna untuk kepentingan politik jangka pendek.

Akhirnya, Umno-BN boleh terus bertanya: “Mana perkataan sakau dalam laporan?”

Tetapi rakyat berhak bertanya soalan yang lebih besar: “Mana pergi ketelusan ketika Tabung Haji berdepan masalah?” “Mengapa amaran awal tidak diberi perhatian?” “Mengapa hibah tinggi tetap dipertahankan jika kedudukan kewangan tidak kukuh?” “Siapa yang mesti bertanggungjawab?”

Di sinilah medan sebenar perdebatan. PMX tidak perlu menang dalam perang istilah. Yang lebih penting, rakyat akhirnya dapat melihat isi laporan yang selama ini menjadi tanda tanya. Dan apabila isi laporan dibaca, jelas bahawa isu Tabung Haji bukan perkara kecil yang boleh ditutup dengan permainan bahasa.

Perkataan “sakau” mungkin tiada dalam laporan RCI.

Tetapi persoalan tentang salah urus, tanggungjawab dan amanah tetap terpampang jelas.

Wang RM22 juta ditemukan dalam beg beli-belah

KOSMO
Wang kertas serta kokain yang disembunyikan di dalam beberapa beg beli-belah di selatan London baru-baru ini. - SWNS
LONDON – Seorang lelaki di Britain ditahan selepas pihak berkuasa menemukan wang tunai £4 juta (RM22 juta) dan 1 kilogram (kg) dadah jenis kokain yang disembunyikan dalam beberapa beg beli-belah, lapor akhbar Metro UK. 

Penemuan dibuat selepas polis menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Catford, selatan London, baru-baru ini. 

Pemeriksaan pada kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sebuah beg beli-belah mengandungi wang kertas berjumlah £35,000 (RM192,723). 

Selepas menggeledah kediaman suspek berusia 54 tahun itu, polis menemui kira-kira wang tunai £4 juta yang disorokkan di dalam pelbagai beg di dua bilik tidur bersama 1kg dadah Kelas A (dadah berat).

“Ini merupakan salah satu rampasan wang terbesar yang kami pernah lakukan, sekali gus membuktikan tindakan proaktif polis tempatan dalam membanteras jenayah berat serta terancang. 

“Penangkapan ini menunjukkan peranan penting dalam pemeriksaan mengejut termasuk menahan kenderaan yang mencurigakan dalam membantu pihak berkuasa mengenal pasti aktiviti jenayah,” kata pakar jenayah, Komander Paul Brogden. – AGENSI

Wanita hilang sampai malam ditemukan bergayut atas pokok

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu bergayut pada dahan pokok pada waktu malam semalam. - Instagram 
JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Mamuju Tengah, wilayah Sulawesi Barat terkejut apabila menemui seorang wanita yang hilang, bergayut dengan pokok pada waktu malam, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Desa Tasakko semalam. 

Wanita itu dilaporkan keluar untuk menonton pertandingan bola tampar, namun dia tidak pulang ke rumah sehingga pukul 10 malam (waktu tempatan). 

Situasi tersebut mendorong ahli keluarga dan penduduk tempatan melancarkan pencarian untuk mencarinya. 

Orang ramai terkejut apabila dia ditemukan dalam keadaan bergayut pada sebatang pokok tidak lama kemudian.  

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan warga setempat berkumpul di sekitar pokok dan memujuknya untuk turun dengan selamat. 

Masih belum diketahui punca dia berada di atas pokok tersebut. – AGENSI

Mufti Perlis, Dr Maza menang saman fitnah RM250,000 berkait GISBH

Bernama

Mahkamah Tinggi putuskan satu daripada empat pernyataan dibuat defenden adalah memfitnah mufti Perlis itu.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin memafailkan saman susulan empat kenyataan dibuat di Facebook yang mengaitkan beliau dengan GISBH.
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas menang dalam kes saman terhadap seorang pemilik akaun Facebook berhubung penerbitan beberapa pernyataan fitnah yang mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rihaida Rafie memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian saman fitnah difailkan Asri, 55, yang dikenali sebagai Dr Maza selaku plaintif terhadap Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, sebagai defendan.

Rihaida dalam penghakimannya berkata setelah meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati pernyataan fitnah pertama oleh defendan adalah memfitnah plaintif, namun plaintif tidak berjaya membuktikan pernyataan kedua hingga keempat adalah memenuhi elemen fitnah terhadapnya.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan fitnah pertama memenuhi elemen-elemen fitnah. Setelah mahkamah mendapati pernyataan fitnah pertama tersebut memenuhi elemen fitnah, mahkamah seterusnya meneliti pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan.

“Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan,” katanya.

Sehubungan itu, Rihaida memerintahkan Nawawi membayar ganti rugi RM250,000 secara global dan membayar faedah ke atas jumlah ganti rugi itu pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, selain kos berjumlah RM50,000 kepada Asri.

Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif agar defendan membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebooknya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, memadam pernyataan fitnah di akaun media sosial yang sama, selain defendan atau melalui pekerjanya dihalang mengeluarkan pernyataan fitnah di akaun serupa.

Peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili Asri manakala peguam Mohd Tajudin Abd Razak bagi pihak Mohd Nawawi.

Asri yang juga pensyarah memfailkan saman itu pada 10 Okt 2024, dengan mendakwa defendan telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 Sept 2024, yang boleh diakses oleh masyarakat umum.

Plaintif mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada GISBH.

Nawawi dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Nov 2024, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan aduan fitnah oleh plaintif adalah melampau, berlebihan dan direka bagi mendapatkan simpati mahkamah selain ia tidak benar.

Kapal bawa 41 Pati rempuh bot APMM di Perak

Bernama

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mematahkan cubaan menyeludup masuk 41 pendatang tanpa izin warga Indonesia di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang dekat Lumut, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata dalam operasi hasil maklumat awam yang diterima pada 12.40 tengah malam tadi, sebuah vesel nelayan Indonesia yang bertindak agresif telah ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun yang disyaki memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Semasa operasi, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa olah gerak berbahaya bagi mengelak daripada ditahan.

“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda APMM sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Shukri berkata bagi memastikan keselamatan anggota, sebuah kapal ronda APMM telah diatur gerak sebagai aset sokongan, sebelum vesel berkenaan berjaya dipintas dan ditahan pada 3.35 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota APMM sepanjang operasi. Vesel bersama semua tahanan kemudiannya diiring ke Jeti Jabatan Kastam Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

Individu ugut cederakan diri, operasi tangkap anjing kecoh

FMT Reporters

Individu itu dikatakan bertindak agresif dengan cuba memotong tali 'loop' digunakan bagi menangkap anjing selain ugut mencederakan diri.
stray dogs
Majlis Bandaraya Diraja Klang berkata operasi dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar. (Gambar Bernama)
PETALIG JAYA: Operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, kecoh apabila seorang individu didakwa menghalang tugas anggota penguat kuasa serta mengugut untuk mencederakan dirinya.

MBDK berkata, dalam kejadian ketika operasi di Jalan Sama Gagah 20, individu terbabit dikatakan bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ digunakan bagi menangkap anjing selain mengugut mencederakan diri jika haiwan berkenaan tidak dilepaskan.

“Tindakan itu mencetuskan kekecohan dan berlaku insiden tarik-menarik yang menyukarkan anggota MBDK melonggarkan serta melepaskan peralatan berkenaan demi keselamatan haiwan. Bagaimanapun, anjing terbabit disahkan mati ketika insiden itu berlaku.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang serta menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan yang digunakan sebelum polis tiba di lokasi untuk mengawal keadaan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, operasi berlangsung dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar.

MBDK memaklumkan, seramai 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK terbabit dalam operasi itu dengan kerjasama kira-kira 50 penduduk setempat.

“Operasi dijalankan mengikut Undang-undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MBDK 2007, dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM) serta dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap dan semuanya dilakukan menggunakan peralatan ‘loop’ yang mematuhi piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan proses penguatkuasaan dilaksanakan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan,” katanya.

Susulan insiden itu, MBDK turut membuat laporan polis berhubung tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

“MBDK turut menzahirkan kekesalan terhadap kejadian itu dan menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.

“Pada masa sama, MBDK mengingatkan pemilik haiwan peliharaan supaya sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam.

“Majlis turut menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang segera terhadap semua individu dipercayai terbabit dalam kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Rabu lalu.

Presiden SAFM, Kalaivanan Ravichandran, dalam kenyataan mendakwa insiden kira-kira 10.50 malam itu bukan sahaja mengakibatkan kematian haiwan berkenaan, malah turut menimbulkan persoalan mengenai tindakan sekumpulan penduduk serta kehadiran pegawai MBDK di lokasi kejadian.

ILHAM akui Tok Min masih popular 75%, lima kerusi penentu buka ruang PH tepis ramalan

Harapandaily
Walaupun meramalkan Pakatan Harapan (PH) berdepan persaingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, laporan ILHAM Centre turut mengiktiraf satu faktor yang dilihat masih memihak kepada gabungan itu — populariti Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut laporan badan penyelidik itu, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min masih menikmati tahap penerimaan peribadi sekitar 75 peratus, didorong imejnya yang sederhana, mudah didekati serta rekod pentadbiran yang dianggap stabil dan tidak dibayangi kontroversi besar.

Dapatan itu menunjukkan kekuatan peribadi Aminuddin kekal menjadi antara aset utama PH, meskipun laporan sama mengunjurkan gabungan berkenaan bakal berdepan cabaran lebih getir berbanding pilihan raya sebelum ini.

ILHAM turut mengenal pasti lima kerusi yang disifatkan sukar diramal, iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.

Kedudukan lima kerusi itu dilihat berpotensi menjadi penentu kepada keputusan keseluruhan PRN, sekali gus membuka ruang kepada perubahan saat akhir bergantung kepada corak pengundian dan sentimen tempatan.

Laporan itu turut menyatakan strategi kempen PH banyak bergantung kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri dan kepimpinan Aminuddin.

Bagaimanapun, ILHAM berpandangan naratif berasaskan prestasi pentadbiran berdepan cabaran apabila berdepan kempen yang lebih menonjolkan politik identiti.

Dalam analisisnya, ILHAM menyifatkan PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai pertembungan antara dua naratif utama, iaitu kesinambungan pentadbiran berasaskan rekod prestasi dan politik identiti yang menekankan isu Melayu-Islam.

Bagi PH, laporan itu memberi isyarat bahawa rekod pentadbiran perlu diterjemahkan dengan lebih jelas kepada pengundi, khususnya pada fasa akhir kempen.

Dengan hari pengundian semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada sama ada populariti peribadi Tok Min mampu membantu PH mempertahankan negeri itu, atau ramalan ILHAM mengenai laluan sukar gabungan berkenaan menjadi kenyataan.

ILHAM menegaskan dapatan tersebut adalah berdasarkan kajian lapangan dan merupakan unjuran, bukannya keputusan rasmi pilihan raya.

Juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia disyaki anggota sindiket dadah antarabangsa

FMT Reporters

Pihak berkuasa Indonesia memerlukan lebih masa untuk jalankan siasatan lanjut dan bongkar sindiket yang lebih besar.

Juruterbang warga Malaysia itu ditahan polis dan kastam Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA: Pihak berkuasa Indonesia percaya seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan di negara itu kerana disyaki cuba menyeludup dadah adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludup antarabangsa.

Ketua Subdirektorat II Direktorat Narkotik Bareskrim, Awaludin Amin berkata ujian makmal mendapati air kencing suspek positif MDMA, metamfetamin dan kokain, manakala siasatan awal menunjukkan dia mungkin pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini.

Beliau berkata berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku membawa dadah terlarang ke Indonesia sebanyak tiga kali, iaitu dua kali melalui Jakarta dan sekali melalui wilayah lain, lapor Bernama.

“Kami mengesyaki dia sebahagian daripada rangkaian antarabangsa, namun kami memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut dan membongkar sindiket yang lebih besar,” katanya.

Katanya, pihak penyiasat sedang mengesan anggota lain dalam rangkaian itu serta mengenal pasti penerima dadah berkenaan di Indonesia.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia menahan seorang juruterbang Malaysia pada Selasa selepas dia didakwa ditemui membawa 70,114 pil ekstasi dan 2.7 gram syabu.

Suspek yang kemudian mengaku bertindak sebagai keldai dadah itu ditahan polis dan kastam Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, menurut laporan CNN Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Eko Hadi Santoso, berkata pegawai kastam mengesan sebuah beg pakaian yang mencurigakan ketika melalui mesin sinar-X.

Beg itu diperiksa selepas ia diambil oleh suspek.

“Semasa pemeriksaan, pasukan menemui 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu ,” katanya.

Eko berkata suspek mengaku diarahkan oleh seorang pengedar dadah dari negara jiran untuk menyeludup dadah berkenaan ke Jakarta dengan bayaran RM50,000.

BN-PN diramal kuasai 22 kerusi, PH minumum 9 esok

Malaysiakini 

PRN N SEMBILAN | Unjuran Ilham Centre menunjukkan kerjasama BN dan PN sekali lagi membuahkan hasil yang lumayan sehingga membolehkan mereka berpotensi memenangi sehingg 22 kerusi esok.

Di sisi yang lain, PH pula diramal memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi lagi.

Secara keseluruhan DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, firma itu berkata kerjasama BN-PN mampu membentuk majoriti yang stabil selepas ini.

Kata Ilham Centre, landskap sokongan politik di negeri itu mengalami penyusunan semula yang ketara.

“BN dilihat berjaya memanfaatkan kelebihan struktur organisasi, penguasaan akar umbi serta sentimen Melayu luar bandar untuk mengukuhkan dominasi mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Kekuatan jentera tradisi dan keupayaan mobilisasi tempatan memberi BN kelebihan konsisten di kawasan yang sebelum ini bersifat kompetitif.

Sebaliknya, PH semakin kehilangan cengkaman di kerusi-kerusi campuran yang sebelum ini menjadi teras kekuatan mereka.

“Kawasan yang mengandungi komposisi etnik seimbang kini menunjukkan kecenderungan lebih terbuka dan tidak lagi berpihak secara automatik kepada PH,” kata firma itu.

Tambah Ilham Centre, perubahan sentimen itu menandakan berakhirnya kebergantungan kepada kerusi campuran sebagai simpanan selamat undi PH kerana pengundi di kawasan terbabit semakin responsif terhadap isu semasa, prestasi penyandang dan polisi kerajaan.

Pada masa yang sama, PH kini semakin bergantung kepada kawasan majoriti Cina yang ditandingi oleh DAP sebagai benteng utama untuk mengekalkan jumlah kerusi.

“Namun, kebergantungan yang tinggi kepada satu segmen pengundi ini menjadikan kedudukan PH lebih terhad dan kurang seimbang dari segi demografi dan geografi sokongan.

“Ia juga menunjukkan penyempitan asas sokongan yang sebelum ini lebih pelbagai merentas etnik dan kawasan,” katanya.

Terengganu: Dua remaja disyaki ‘sentuh’ rakan perempuan 15 tahun diberkas

MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan merogol seorang remaja perempuan di Jerteh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, penahanan itu berikutan aduan diterima mangsa yang berusia 15 tahun.

“Mangsa mendakwa telah diperkosa di sebuah rumah penginapan di Jerteh di sini pada pukul 6 petang, semalam. Dia kemudiannya telah dibawa ke Hospital Besut di sini untuk pemeriksaan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, dua remaja lelaki terbabit kemudiannya telah diberkas tidak lama kemudian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

“Kesalahan jenayah seksual melibatkan golongan remaja amat dipandang serius. Golongan remaja dinasihatkan sentiasa utamakan keselamatan diri, jaga batas pergaulan dan elakkan diri daripada terlibat situasi yang mendedahkan diri dengan risiko jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Sakau’ atau tak? Ini 5 inti pati RCI Tabung Haji, nilai sendiri

N Faizal Ghazali

Di media sosial, perkataan 'sakau' yang tidak tertulis dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dari tahun 2014 hingga 2020, menjadi 'perdebatan'.

Walaupun laporan tersebut mendedahkan kepincangan tadbir urus yang meluas khususnya dalam urusan melibatkan risiko kewangan yang kritikal, campur tangan politik, dan urus niaga tidak wajar - namun, sesetengah orang mengambil kesempatan untuk melontarkan sindiran dengan mengetengahkan perkataan 'sakau' yang dipopularkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Laporan RCI itu mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malaysiakini menyorot lima inti pati utama yang perlu diberi perhatian daripada pendedahan RCI berkenaan seperti berikut:

(1) Bonus terlalu tinggi

Dalam laporan ini, suruhanjaya membuat penemuan mengenai pembayaran bonus yang tinggi kepada kakitangan TH dan pembayaran bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties yang tidak mengikut peraturan.

Bonus berjumlah RM2.19 juta yang dibayar kepada beberapa pengarah dan pegawai terpilih TH Properties Sdn Bhd (anak syarikat) diluluskan tanpa mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Dalam laporan setebal 252 muka surat yang dikeluarkan malam tadi, pembayaran bonus oleh TH Properties pada 2017 dan 2018 melanggar peruntukan bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan serta resolusi pemegang saham yang diperlukan.

RCI itu juga mendapati pemberian bonus tidak berasas dan terlalui tinggi dibayar dari 2014 hingga 2017. Keterangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) turut menunjukkan pembayaran bonus yang berlebihan dalam tempoh tersebut memerlukan kelulusan menteri kewangan.

Menurut laporan itu, TH membayar bonus berjumlah RM367.7 juta sepanjang tempoh 2010 hingga 2017 yang disifatkan suruhanjaya sebagai 'amat tinggi'. Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bonus berjumlah RM220.7 juta yang dibayar antara 2014 hingga 2017 bukan sahaja amat tinggi, malah tidak mempunyai justifikasi.

Bonus tersebut dibayar kepada kakitangan eksekutif dan bukan eksekutif. Namun RCI itu tidak memperincikan jumlah bonus yang diterima golongan eksekutif, termasuk Abdul Azeez, yang merupakan pengerusi TH dari 2013 hingga 2018.

Di era Najib, MOF luluskan bonus RM220j Tabung Haji ketika krisis

RCI syor Tabung Haji tuntut semula bonus pada pengarah, pegawai RM2.19 juta

(2) Campur tangan politik, pemimpin Umno dalam lembaga pengarah

Peruntukan yang begitu luas memperlihatkan pelantikan seorang pengerusi LTH dan beberapa anggota lembaga yang dilantik dalam kalangan ahli politik bagi tempoh 2014 hingga 2018. 

Penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat akibat daripada pertembungan politik. Keadaan ini menyebabkan ada pihak-pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan yang dibuat LTH sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti LTH.

Terdapat beberapa keputusan TH seperti bayaran agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji, dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) didorong oleh unsur-unsur politik.

Di samping itu, Akta 535 memberi menteri kuasa untuk membatalkan pelantikan perkhidmatan mana-mana anggota lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa sebab.

Menteri menggunakan kuasa ini dalam penamatan perkhidmatan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai ketua pegawai eksekutif pada 5 Mei 2021, sebelum tamat tempoh sebenar pada 31 Ogos 2021; dan penamatan perkhidmatan Md Nor bin Md Yusof sebagai pengerusi lembaga pada 15 Oktober 2021, sebelum tarikh tamat tempoh kontrak yang baru disambung dua tahun mulai 20 Julai 2020.

Peruntukan yang memberi kuasa membatalkan perkhidmatan mana-mana anggota lembaga dengan serta-merta tanpa sebab tidak lagi sesuai dalam keadaan sekarang.

RCI juga mendapati bahawa dalam tempoh siasatan, beberapa orang anggota lembaga adalah dalam kalangan ahli politik antaranya Abdul Azeez Rahim yang juga anggota parlimen Baling merangkap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Dia dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2011 dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi pada tahun 2013 hingga tahun 2018.

Selain itu Badruddin Amiruldin yang juga anggota parlimen Jerai dan pengerusi tetap Perhimpunan Agung Umno dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2005 hingga tahun 2018.

Seorang lagi individu iaitu Rosni Sohar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam dan MT Umno merangkap setiausaha wanita Umno dilantik sebagai anggota lembaga pengarah pada tahun 2014 hingga tahun 2018.

Justeru, suruhanjaya mendapati, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

(3) Akta tak lagi sesuai

Pada 1 Jun 1995, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dimansuhkan dan diganti dengan TH melalui Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Akta 535 memperuntukkan secara komprehensif mengenai fungsi, kawal selia, pengurusan dan operasi TH.

Beberapa peruntukan dalam Akta 535 tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa kerana memberi kuasa yang luas kepada menteri. Kuasa tersebut merangkumi operasi haji, dana dan pelaburan.

Menteri yang bertanggungjawab merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang didapati kepakaran ketiga-tiga menteri yang menyelia TH dalam tempoh siasatan hanya terhad dalam bidang hal ehwal agama.

Keterbatasan ini menjadikan menteri bergantung sepenuhnya kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan dan lembaga dalam melaksanakan tanggungjawab dari aspek pengurusan dana dan pelaburan.

Justeru, didapati tiada input tambahan yang lain diperoleh oleh menteri sebelum membuat keputusan mengenai pengurusan dana dan pelaburan. Situasi ini mungkin berbeza jika perkara berkaitan dengan pengurusan dana dan pelaburan TH dipertanggungjawabkan kepada menteri kewangan.

Dengan itu, suruhanjaya berpendapat kuasa menteri dalam mengawal selia TH wajar dikongsi bersama dua orang menteri iaitu menteri Hal Ehwal Agama dan menteri kewangan.

Akta 535 memberi kuasa kepada menteri dalam melantik pengerusi dan anggota Lembaga di mana Seksyen 6(2) Akta 535 hanya memperuntukkan pengerusi atau anggota lembaga hendaklah seorang muslim dan warganegara Malaysia. Didapati tiada penjelasan tentang kriteria khusus yang perlu ada pada seseorang sebelum dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga.

(4) Krisis kewangan kritikal

Dapatan laporan RCI TH juga mendedahkan betapa institusi kewangan Islam itu berdepan krisis kewangan kritikal pada tahun 2017 dengan jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014. 

Sekiranya piawaian Malaysian Financial Report Standard (MFRS) diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion, namun sebaliknya direkodkan keuntungan RM3.4 bilion dalam Laporan Kewangan 2017.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.

Krisis kewangan menjadi ketara apabila ketua audit negara (KAN) menegur TH berkaitan beberapa perubahan polisi rosot nilai aset kewangan TH yang tidak konsisten pada tahun kewangan 2017 apabila polisi rosot nilai diubah sebanyak dua kali. Teguran atau “emphasis of matter” daripada KAN bertarikh 16 Julai 2018 adalah seperti berikut:

• Kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan TH tidak konsisten. Terdapat perubahan polisi rosot nilai pada setiap tahun khususnya dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 yang mana pada masa itu ia diubah sebanyak dua kali.

• Dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, TH tidak merekodkan rosot nilai berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari dan tiga syarikat bersekutu khususnya pelaburan dalam TH Heavy Engineering Berhad berjumlah RM164.58 juta.

Lanjutan daripada teguran KAN, pengurusan TH melantik firma PwC untuk melaksanakan 

semakan kewangan terhadap kedudukan kewangan TH dari tahun 2014 hingga 2017. Hasil semakan kewangan oleh PwC menunjukkan terdapat jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak tahun 2014. Ringkasan laporan tersebut adalah seperti berikut:

• TH tidak melaksanakan rosot nilai terhadap pelaburan dalam syarikat-syarikat bersekutu.

• TH tidak melaksanakan rosot nilai bagi pelaburan dan pembiayaan kepada anak syarikat.

• TH tidak melaksanakan rosot nilai dalam instrumen pendapatan tetap.

• TH tidak memenuhi piawaian FRS 140 berkaitan kejatuhan nilai saksama/kerugian nilai saksama bagi pelaburan hartanah.

• TH bagi tahun kewangan 2017 telah mengagihkan keuntungan (hibah) tanpa mengambil kira impak daripada rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

• TH merekodkan pendapatan dividen daripada anak syarikat walaupun dividen tersebut tidak dibayar kepada TH.

Suruhanjaya mendapati antara faktor-faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan adalah kerana pembayaran hibah yang tinggi sejak tahun 2014 hingga 2017–melampaui kemampuan kewangan, perakaunan kreatif, ketidaktegasan ketua audit negara (KAN), visi TH sebagai tonggak ekonomi ummah dan tanggungan Hafis.

(5) Teguran demi teguran Bank Negara

Bank Negara membuat beberapa teguran dibuat kepada TH melalui surat kepada Abdul Azeez  bertarikh 21 Ogos 2014, 19 Disember 2014 dan 23 Disember 2015.

Seterusnya, Bank Negara menulis surat kepada menteri pada 23 Disember 2015 yang menyentuh mengenai isu-isu pengambilan deposit dan pengurusan kecairan, pendeposit besar dan juga mengenai rizab TH.

Amaran Bank Negara menunjukkan betapa kebimbangan sudah ditonjolkan untuk perhatian pihak pentadbir dan pengurusan TH, namun laporan RCI tidak memperincikan reaksi balas susulan teguran-teguran tersebut.

Prestasi kewangan TH diberi perhatian oleh Bank Negara yang memantau institusi kewangan bukan bank (IKBB) itu walaupun ia bukan bawah kawalannya secara langsung kerana ia mempunyai kesalinghubungan tinggi dengan sistem kewangan negara.

Kelantan: Tukang masak didakwa ‘sentuh’ rakan sekerja di premis jual ayam goreng

KOSMO!
Anggota polis membawa Muhammad Fakhrullah untuk didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan sekerjanya di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
PASIR MAS – Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang merupakan rakan sekerjanya di sebuah premis menjual ayam goreng dekat Tumpat baru-baru ini.

Tertuduh, Muhammad Fakhrullah Md. Nor, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis menjual ayam goreng di Tumpat dekat sini kira-kira pukul 6.10 petang hingga 7 malam pada 5 dan 13 Jun selain 2, 3 dan 15 Julai 2026.

Kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha mencadangkan jaminan RM50,000 untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon belas kasihan mahkamah agar jumlah ikat jamin tersebut dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Wanita didenda RM12,000 buat hantaran jelik hina Islam

Bernama
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM12,000 terhadap seorang pekerja sambilan bidang kreatif selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina Islam, tiga tahun lepas.

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Yeo Li Yin, 48, menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter (kini dikenali sebagai X) dengan nama profil “Liyin Yeo” pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur pada 2.15 petang 22 Jun 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan hendaklah didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Yeo dan orang awam agar tidak melakukan perkara yang menggugat ketenteraman awam.

Bagaimanapun, peguam Mohd Ruzaini Zulkifli memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf dan kesal dengan perbuatan itu serta perlu menjaga ibu bapanya.

“Anak guam saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan menutup akaun itu,” katanya.

- Bernama

Mayat bayi ditemui dengan kesan tikaman dalam mangkuk tandas, pasangan pelajar kolej ditahan

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menahan sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan pada kira-kira jam 1 tengah hari mengenai seorang pelajar perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di Kluang kerana dipercayai baru melahirkan anak.

"Sebaik melahirkan bayi berkenaan, pelajar itu telah menghubungi gurunya sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar itu sudah melahirkan seorang bayi selain mendapati terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya," katanya pada sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, hasil siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi perempuan.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bayi itu mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh bayi berkenaan namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

"Susulan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun dipercayai teman lelaki kepada wanita terbabit bagi membantu siasatan.

"Lelaki berkenaan ditahan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.

Penceramah bebas 3 tuduhan rogol, amang seksual remaja

FMT Reporters

Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuan Fathi Na’im mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang tahun lalu.
Muhammad Fathi Na’im Mazlam
Mahkamah Tinggi Klang mendapati berlaku kekhilafan di peringkat mahkamah rendah kerana tidak membenarkan penangguhan bagi membolehkan Fathi Na’im mendapatkan khidmat peguam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Klang melepas dan membebaskan penceramah bebas, Fathi Na’im daripada tiga pertuduhan merogol dan amang seksual remaja 13 tahun pada 2021.

Sinar Harian melaporkan Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan rayuan Fathi atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang tahun lalu.

Roszianayati mendapati berlaku kekhilafan di peringkat mahkamah rendah kerana tidak membenarkan penangguhan bagi membolehkan Fathi mendapatkan khidmat peguam, yang merupakan prejudis terhadapnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengendalikan pembelaannya sendiri.

Dalam prosiding rayuan, Fathi diwakili peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd Ghazali, sementara pendakwaan sebagai responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Redza Azhar Rezali.

Pada 18 Sept 2025, Fathi dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang atas tiga pertuduhan merogol dan amang seksual remaja 13 tahun.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Fathi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun dalam kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja 13 tahun dalam sebuah kereta di kawasan parkir lokasi sama pada 3 petang dan 7 malam awal Julai serta 27 Julai 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah disebat, jika sabit kesalahan.

Dua darjah kebesaran Negeri Sembilan kepada Rais Yatim ditarik balik

Malaysiakini 

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan kepada veteran politik Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.

Pendaftar Darjah Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata Tuanku Muhriz menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang dikurniakan pada 2001 dan 1979.

“Keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, seperti dilaporkan media.

Laporan itu tidak menyebut sebab tindakan itu dibuat secara khusus. 

Bagaimanapun dalam kemelut kedudukan diraja Negeri Sembilan, Rais memihak kepada barisan undang yang ‘memecat’ Tuanku Muhriz serta mendukung Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baru.

Rais, bekas pemimpin Umno yang kini menjadi Pengerusi Parti Wawasan Negara pernah berkhidmat sebagai menteri besar negeri itu dari 1978 hingga 1982.

‘Penyatuan umat’ membisu selepas RCI bongkar penyelewengan Tabung Haji

Harapandaily

Ketika isu kaum dan agama dimainkan, suara kelompok yang membawa slogan ‘penyatuan umat’ biasanya kedengaran paling lantang.

Namun, apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan salah tadbir urus serta unsur penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela institusi itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pendedahan mengenai pengurusan Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 amat menyedihkan kerana institusi itu dibangunkan daripada simpanan hasil titik peluh umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, TH bukan sahaja menjadi institusi penting kepada umat Islam di Malaysia, malah pernah dibanggakan sebagai sebuah organisasi milik Melayu Islam yang maju dan dihormati di peringkat dunia.

Namun, katanya, kebanggaan itu tercalar akibat tindakan segelintir pihak yang terlibat dalam salah pengurusan institusi berkenaan.

“Malangnya, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela Tabung Haji serta menentang perlakuan salah pengurusan Tabung Haji ketika pemerintahan Umno dahulu.

“Jelas sekali ‘penyatuan umat’ adalah untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu serta mengangkat martabat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, laporan RCI Tabung Haji setebal hampir 200 muka surat diterbitkan dengan antara lain mendedahkan masalah kewangan TH telah berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.

RCI TH ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Ia susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022.

RCI berkenaan menyimpulkan krisis kewangan yang dihadapi TH ketika itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan yang disifatkan sebagai kreatif, kelemahan pengauditan serta strategi pelaburan yang melangkaui kemampuan kewangan sebenar institusi berkenaan.

Pelan pemulihan TH

Mengulas lanjut, Faiz secara sinis berkata, penyelewengan sememangnya dilarang Islam, tetapi perkara itu nampaknya tidak termasuk dalam senarai perjuangan kelompok yang gemar mendakwa diri mereka sebagai pembela Melayu dan Islam.

Peguam berkenaan berkata, laporan RCI terbabit turut mengiktiraf pelan pemulihan TH yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau mengingatkan bahawa ketika proses pemulihan itu dilakukan, jawatan Menteri Kewangan dipegang Lim Guan Eng daripada DAP iaitu parti yang sering dijadikan bahan momokan oleh pihak tertentu dalam kempen politik mereka.

“Orang Melayu perlu menilai agenda penyatuan umat yang hanya memainkan isu perkauman, sedangkan soal penyelewengan tidak mengenal kaum,” katanya.

Dalam masa sama, Faiz turut menolak cubaan sesetengah ahli politik mengalihkan perhatian dengan mendakwa laporan berkenaan tidak mendedahkan secara khusus sebarang perlakuan jenayah.

Jelasnya, RCI bukan badan penguat kuasa yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan bentuk pertuduhan jenayah atau mengenal pasti individu yang perlu didakwa.

Sebaliknya, laporan itu telah merekodkan kerugian pelaburan melibatkan beberapa anak syarikat TH yang memerlukan siasatan lanjut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, keperluan supaya siasatan lanjut dijalankan menunjukkan terdapat unsur yang berpotensi melibatkan kesalahan jenayah dan tidak boleh dipandang ringan.

“RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengenal pasti bentuk kesalahan jenayah secara khusus dan siapakah pelakunya. Perkara itu berada dalam bidang kuasa polis dan SPRM,” katanya.

Sehubungan itu, Faiz menggesa kedua-dua agensi berkenaan menjalankan siasatan secara mendalam dan segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, tindakan tegas penting untuk memulihkan keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji, bukannya sekadar melaungkan slogan penyatuan apabila musim pilihan raya semakin hampir.

“Apabila mahu undi Melayu, mereka bercakap soal penyatuan ummah. Apabila wang umat didakwa disalah urus, penyatuan itu pula memilih untuk menyepi,” sindir beliau lagi.

10 syor utama RCI Tabung Haji yang anda perlu tahu

Firdaus Azil

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengemukakan puluhan syor pembaharuan meliputi aspek tadbir urus, pengurusan dana, subsidi haji, pelaburan dan kawal selia institusi itu. 

Berikut 10 cadangan utama yang terkandung dalam laporan berkenaan.

1. Larang ahli politik aktif sertai Lembaga TH

RCI mengesyorkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi melarang ahli politik aktif dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH dan anak syarikatnya.

2. Pecahkan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan

Urusan haji dicadang kekal di bawah Menteri Hal Ehwal Agama manakala pengurusan dana, pelaburan serta kewangan TH diselia Menteri Kewangan.

3. Tubuh badan bebas untuk pelantikan Lembaga

RCI mahu sebuah jawatankuasa atau badan penasihat bebas ditubuhkan bagi mencadangkan pelantikan anggota Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.

4. Audit forensik ke atas pelaburan bermasalah

Suruhanjaya mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa pelaburan yang mengalami kerugian dan susut nilai besar termasuk FGV, TH Indo Plantations, TH Properties dan Putrajaya Perdana.

5. Hentikan pemberian bonus berlebihan

RCI menegur amalan pemberian bonus yang tinggi kepada kakitangan TH dan mengesyorkan ia dihentikan. Suruhanjaya turut mencadangkan bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties yang tidak mematuhi peraturan dituntut semula.

6. Hibah mesti berdasarkan penyata kewangan diaudit

RCI mahu agihan keuntungan atau hibah dibuat berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit dan bukan menggunakan kaedah Realisable Asset Value (RAV).

7. Subsidi haji diberikan secara bersasar

RCI mencadangkan bantuan kewangan haji hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bagi memastikan model subsidi haji kekal mampan pada masa hadapan.

8. Deposit minimum daftar haji dinaikkan

Deposit minimum bagi melayakkan seseorang mendapat giliran haji pertama dicadang dinaikkan daripada RM1,300 kepada kos haji semasa.

9. Hadkan penglibatan pengurusan dalam anak syarikat

RCI berpandangan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi TH perlu dihadkan daripada memegang terlalu banyak jawatan dalam anak syarikat bagi mengelakkan konflik kepentingan.

10. Elak campur tangan politik dalam pelaburan

Suruhanjaya menegaskan fungsi pengurusan dana dan pelaburan TH perlu dilaksanakan secara profesional, bebas dan berteraskan prinsip tadbir urus yang baik tanpa campur tangan politik.

Pihak bertanggungjawab penyelewengan TH akan dibawa ke muka pengadilan

Bernama 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji (TH) berdasarkan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan hari ini, akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.

“Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh polis, SPRM, Bank Negara ... semua akan disiasat.

“Kalau ada bukti, (akan) didakwa (di mahkamah).

“Biar masuk mahkamah (untuk dibicarakan) dan biar masuk penjara (jika disabitkan bersalah), tidak ada masalah, itu aturan negara ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian, di Jelebu hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020 akan dibuat pengelasan semula dan didedahkan hari ini.

Fahmi dalam satu kenyataan berkata laporan siasatan itu juga akan dibentangkan dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kabinet sebelum ini mendapat taklimat daripada Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang memaklumkan bahawa TH rugi sebanyak RM10 bilion.

Beliau berkata kerugian TH bermula sejak 2014 dan pernah mendapat teguran daripada Bank Negara, namun perkara itu tidak diendahkan oleh pihak berkaitan.

“(TH) rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah … (perkara itu) berlaku sejak 2014.

“Pada 2014, Bank Negara, Gabenor Bank Negara tulis kepada TH ada pelanggaran, tetapi tidak dipedulikan,” kata beliau.

- Bernama

Orang terpilih dalam TH Properties dapat bonus lebih RM1 juta – RCI

SITI A'ISYAH SUKAIMI

PETALING JAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mendapati beberapa orang terpilih dalam Lembaga Pengarah TH Properties Sdn. Bhd. telah diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1,148,400 pada tahun 2017 dan RM1,045,000 pada tahun 2018.

Menerusi laporan RCI Tabung Haji hari ini, suruhanjaya berkenaan meneliti dokumen dan minit mesyuarat berkaitan isu pembayaran bonus kepada anggota Lembaga dan kakitangan tertentu TH Properties.

“Bayaran bonus yang telah diberikan kepada anggota Lembaga TH Properties dan kakitangan tertentu pada tahun 2017 dan 2018 adalah atas alasan bahawa projek
pembangunan di Australia terutamanya “The Bay Pavillion” telah memberikan sumbangan kewangan yang signifikan kepada TH Properties pada tahun 2016 dan 2017.

“Suruhanjaya mendapati alasan diberikan bagi pemberian bonus tahun 2017 adalah kerana kejayaan projek “The Bay Pavillion” yang telah disiapkan pada tahun 2015 dan telah berjaya dijual sepenuhnya.

“Sehingga Disember 2016, projek ini didakwa telah membawa pulangan sebanyak AUD$11.6 juta kepada TH Properties,” katanya.

Suruhanjaya mendapati bahawa alasan bagi pemberian bonus adalah kerana pihak pengurusan telah berjaya memastikan operasi dan kewangan syarikat yang baik
sehingga TH Properties memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM34.84 juta pada tahun 2017.

“Suruhanjaya mendapati bonus ini telah diluluskan kepada 10 orang, iaitu dua pengarah, dua bekas pengarah dan enam pegawai.

“Dengan ini, suruhanjaya mencadangkan supaya usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada mereka yang terlibat, memandangkan
bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan,” menurut laporan itu.

TH Properties adalah sebuah anak syarikat LTH yang dahulunya dikenali sebagai Syarikat Pembinaan dan Perumahan Tabung Haji Sdn. Bhd. yang telah diperbadankan pada 31 Oktober 1980 di bawah Akta Syarikat 1965.

TH Properties merupakan syarikat subsidiari milik penuh Lembaga Tabung Haji. – KOSMO! ONLINE