"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AKPS tahan kontena disyaki bawa dagangan eksport ke Israel

Bernama

JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan serta memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.

AKPS memaklumkan, penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No 15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.

“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

“Ini termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari berkaitan.”

AKPS menegaskan, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.

Menurut agensi itu, pendirian kerajaan Madani dalam perkara itu adalah jelas serta konsisten, dan sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang serta ketetapan kerajaan akan dikenakan tindakan tegas.

Pemandu Ferrari, Aruz bertumbuk atas lebuh raya dicari polis

NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
Tangkap layar video kejadian pergaduhan yang tular di media sosial hari ini.
NILAI – Polis giat mengesan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai memukul seorang pengguna jalan raya dalam kejadian di Kilometer 276 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Seremban, pagi tadi sehingga mencetuskan kesesakan trafik.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan pemanduan antara dua lelaki tempatan berusia 30-an.

“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memukul mangsa sehingga terjatuh selain mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap mangsa.
“Kejadian kemudian dilerai orang awam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Johari berkata, identiti suspek dan kenderaan Ferrari dan Perodua Aruz yang digunakan sudah dikenal pasti dan usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Malaysia bukan milik Anwar - Lima MP PKR bidas PM isu peruntukan

Malaysiakini

Lima ahli par Lima ahli parlimen PKR hari ini membidas Anwar Ibrahim dengan mengingatkan bahawa negara ini dan wang rakyat bukan milik perdana menteri itu. limen PKR hari ini membidas Anwar Ibrahim dengan mengingatkan bahawa negara ini dan wang rakyat bukan milik perdana menteri itu.

Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi baru-baru ini apabila beberapa Ahli Parlimen PKR kehilangan akses kepada portal MyKhas untuk mendapatkan peruntukan kawasan masing-masing.

“Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang satu perkara yang sangat asas. Malaysia bukan milik Anwar Ibrahim.

“Kerajaan bukan rumah beliau. Peruntukan awam bukan wong poket parti mahupun perdana menteri,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.

Rodziah merupakan ahli Parlimen kerajaan ketiga yang kehilangan akses kepada MyKhas selepas Wong dan Lee.

Lebih serius, kata mereka apabila akses MyKkhas wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau “proksi” yang disenangi oleh Anwar Ibrahim.

“Sejak bila seorang proksi yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat yang lebih besar daripada seorang Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?”soalnya.

Mereka mempersoalkan apakah asas pelantikan Penyelaras Parlimen Ampang iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan di kawasan tersebut masih menjalankan tugasnya.

“Kalau Anwar Ibrahim tidak menyukai seseorang ahli parlimen, itu hak beliau.

“Namun, beliau tidak berhak menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada ketidaksukaan politik tersebut. Lebih membimbangkan apabila wakil rakyat yang dipilih diketepikan, manakala wang rakyat pula diserahkan untuk diuruskan oleh proksi politik mengikut cita rasa beliau,” kata mereka.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil hari ini berkata MyKhas bukan diperuntukkan kepada ahli Parlimen sebagai hak peribadi, sebaliknya ia dana khas Perdana Menteri yang disalurkan terus bagi memenuhi keperluan serta kebajikan rakyat di sesebuah kawasan.

Fahmi berkata perkara itu selaras dengan penegasan Anwar bahawa peruntukan kerajaan adalah untuk manfaat rakyat, dan bukannya hak eksklusif mana-mana wakil rakyat.

Menteri Komunikasi itu menjelaskan, peruntukan itu telah termaktub dalam dokumen Rancangan Malaysia (RMK) serta dokumen bajet sebagai peruntukan khas di bawah seliaan Perdana Menteri untuk disalurkan mengikut keperluan.

Wong sebelum ini berkata dia disekat daripada akses MyKhas pada 20 Mei, manakala Lee tidak mendapat akses berkenaan sejak 29 Mei.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri berkata peruntukan bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu akan terus disalurkan secara langsung.

Mengulas lanjut, keenam-enam ahli Parlimen tersebut mengingatkan Anwar supaya tidak menggunakan peruntukan rakyat sebagai senjata politik.

"Jika seseorang Ahli Parlimen melakukan kesalahan, siasat. Jika melanggar undang-undang, ambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Jika seseorang ahli parti melanggar tatacara parti, bawa ke Lembaga Disiplin dan ambil tindakan mengikut peraturan parti.

"Tetapi jangan sesekali menggunakan peruntukan rakyat sebagai senjata politik,"kata mereka.

Ahli parlimen terbabit juga menegaskan bahawa Anwar sendiri telah menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan reformasi, keadilan, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa.

"Hari ini, prinsip-prinsip yang sama mesti terpakai kepada kerajaan yang beliau pimpin.

"Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil yang dipilih rakyat dengan proxy pilihan sendiri.

“Demokrasi juga bukan sekadar meminta rakyat keluar mengundi setiap lima tahun, kemudian mengetepikan pilihan mereka apabila wakil yang dipilih tidak lagi disenangi oleh pemerintah.

"Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya menuntut satu prinsip yang sangat mudah: Hormati mandat rakya,"tegas mereka.

22 pekerja asing guna MyKad palsu dipenjara dua bulan

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Antara pekerja asing yang ditahan dalam Ops Getah di Kapar, Klang, baru-baru ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!
KLANG – Seramai 22 warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 21 wanita dan seorang lelaki 28 hingga 51 tahun itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, prosiding pendakwaan itu dilakukan di dua Mahkamah Majistret berasingan iaitu di hadapan Majistret Nor Azilah Mat dan A. Khartiyayini.

“Kesemua tertuduh yang ditahan di sebuah kilang di Klang menerusi Ops Getah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah itu. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 Ogos,” katanya.

Tambah JPN, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Md. Shahedan Md. Taib; Zulkarnain Ahmad dan Mohd. Ramzi Adnan, manakala arahan pertuduhan dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi.

“Tindakan penguatkuasaan seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Taktik licik 22 pekerja warga Indonesia menyamar sebagai pemegang MyKad sah bagi membolehkan bekerja di sebuah kilang getah di Kapar di sini, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE 

Kedah: Dua suspek culik maut dalam insiden berbalas tembakan di Alor Setar, dua mangsa selamat

Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua suspek dipercayai warga asing maut selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam serbuan bagi menyelamatkan mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ketika serbuan sebelum polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga keadaan terkawal.

"Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan jam 9.30 malam.

"Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek," katanya dalam kenyataan, awal pagi ini.

Kumar berkata, mangsa seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an ditemukan selamat dalam keadaan mata bertutup dan tangan bergari.

Katanya, dua pucuk senjata api pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta satu bilah parang panjang turut ditemui berdekatan penjenayah.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Susulan kejadian itu, Kumar berkata, polis menjalankan beberapa serbuan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Katanya, seramai enam individu ditahan membabitkan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing serta seorang perempuan warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.

"Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

"Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu sidang media berkaitan insiden berkenaan akan diadakan pada Isnin ini.

Makan karipap, minum minuman keras dalam LRT: Macam mana boleh terlepas

KOSMO!
Gambar pelaku yang dikongsi pengguna di aplikasi Threads.
PETALING JAYA – “Tin alkohol atas kerusi, makan karipap, sampah sarap tinggal dalam tren”.

Demikian luahan seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai Alex.iez yang kecewa dengan sikap seorang pengguna transit aliran ringan (LRT) yang tidak bertanggungjawab makan dan minum dalam tren tersebut. 

Jelas individu itu, kejadian tersebut berlaku pagi semalam sewaktu orang ramai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. 

Berdasarkan klip video yang dikongsi itu, kelihatan individu tersebut tanpa segan silu makan dan minum minuman keras di dalam tren tersebut.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi sebenar ketika klip video tersebut dirakam dan individu juga telah menutup muka pelaku. 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam perbuatan individu tersebut dan mahu pihak Rapid mengambil tindakan tegas terhadap pelaku. 

“Rapid ada nombor WhatsApp boleh complaint (buat aduan). Saya dua kali inform (beritahu) diorang (Rapid KL). Biasanya dalam stesen kedua lepas buat aduan akan ada polis bantuan masuk periksa dan ambil tindakan,” kata Hunnymembebel. 

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Dayah.asri.

“Sejak kerja dalam public transport (pengangkutan awam) ini, hari hari jumpa perangai macam-macam. Kebanyakkan yang macam ni semua tak sihat (kurang siuman),” dakwanya. – KOSMO! ONLINE

PAS Perlis dedah retak dalaman semakin terbuka

Anne Muhammad
shukri ramli
Penganalisis melihat pertikaian terbuka Shukri Ramli dan pimpinan PAS Perlis sebagai tanda konflik dalaman lebih besar bukan sekadar isu kelemahan jentera.

Adun Sanglang Shukri Ramli sebelum ini tolak dakwaan menjadi punca kelemahan jentera PAS negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kemelut PAS Perlis selepas bekas menteri besar Shukri Ramli menolak dakwaan beliau punca kelemahan jentera negeri dilihat mencerminkan masalah dalaman parti yang lebih besar.

Penganalisis berkata, isu sebenar bukan hanya kelemahan organisasi, tetapi bagaimana PAS Perlis menguruskan krisis kepimpinan sehingga ia terbuka kepada umum.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jika benar berlaku kelemahan jentera, kesannya lebih kepada mobilisasi parti berbanding sokongan asas PAS yang masih kukuh dalam kalangan penyokong tradisi.

Katanya, kritikan terbuka daripada bekas pemimpin menunjukkan episod pertukaran kepimpinan negeri masih belum benar-benar selesai dan boleh menjejaskan imej kesatuan PAS.

“Jika pertikaian terus berlaku di ruang awam, ia boleh memberi kesan terhadap sokongan pengundi kepada parti,” katanya kepada FMT.

Shukri sebelum ini menolak dakwaan beliau menjadi punca kelemahan jentera PAS negeri, sebaliknya meminta pimpinan bermuhasabah mengenai sebab sebahagian ahli akar umbi kecewa dan hilang semangat.

Adun Sanglang itu mendakwa namanya dijadikan ‘kambing hitam’ apabila pimpinan berdepan kekurangan tenaga kerja, kelemahan jentera dan sambutan dingin daripada ahli.

Beliau turut menafikan pernah menghasut ahli memboikot program parti, meninggalkan perjuangan atau melemahkan jentera PAS.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, kemelut tersebut mencerminkan cabaran terhadap pengurusan dalaman PAS Perlis.

Katanya, kelemahan organisasi tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada seorang individu kerana ia melibatkan seluruh saf kepimpinan.

“Menjadikan seseorang sebagai sasaran hanya akan menutup masalah sebenar tanpa menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Shukri bersuara secara terbuka memberi gambaran saluran dalaman parti mungkin tidak lagi berfungsi atau tidak lagi diyakini.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berkata walaupun kelemahan kepimpinan Shukri ketika menerajui kerajaan negeri mungkin menjadi antara faktor pergolakan, keseluruhan kepimpinan PAS negeri dan nasional turut perlu dipertanggungjawabkan.

“Paling mudah menggunakan Shukri sebagai kambing hitam, tetapi hakikatnya kepimpinan PAS daripada negeri hingga nasional perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Perlis,” katanya.

Suspek dipercayai bunuh datuk dan nenek sebelum serang sekolah

BERNAMA
MAYAT mangsa insiden tembakan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO Lillian Suwanrumpha/AFP.
MAYAT mangsa insiden tembakan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO Lillian Suwanrumpha/AFP.
Bangkok: Pelajar yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi pada Jumaat dipercayai telah membunuh datuk dan neneknya di rumah mereka sebelum serangan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Thailand merangkap jurucakap Polis Diraja Thailand Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata siasatan awal mendapati suspek melepaskan 26 das tembakan sebelum tiba di sekolah berkenaan.

Beliau berkata penyiasat kemudian menggeledah rumah suspek di daerah Bang Bua Thong dan menemukan mayat datuk serta nenek suspek di dalam kediaman itu.

"Siasatan awal polis menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru tambahan di luar magazin," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.

Trairong berkata kedua-dua mangsa maut akibat tembakan di kepala, dan penyiasat percaya suspek mungkin membunuh mereka sebelum pergi ke sekolah, walaupun urutan kejadian dan masa sebenar masih dalam siasatan.

Beliau berkata penyiasat juga sedang berusaha mengenal pasti motif kejadian dan membina semula kronologi satu daripada insiden tembakan di sekolah yang paling banyak meragut nyawa di Thailand sejak kebelakangan ini.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Debsirin Nonthaburi, melepaskan tembakan di sekolah itu kira-kira 10 pagi, mengorbankan enam individu - tiga guru dan tiga pelajar - serta mencederakan 15 yang lain.

Polis mengesahkan bahawa suspek turut ditemukan maut di sekolah berkenaan.

Speaker Dewan Rakyat: Wong Chen cadang letak jawatan sebagai Ahli Parlimen

FMT Reporters

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak menyatakan sama ada Wong Chean serah surat berkaitan peletakan jawatan wakil rakyat.
Johari Abdul and Wong Chen
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan Wong Chen mengadakan pertemuan pada pagi Rabu. (Gambar Facebook Wong Chen)
PETALING JAYA: Speaker Johari Abdul berkata Ahli Parlimen Subang Jaya dari PKR, Wong Chen, ada menyuarakan hasrat kepadanya untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Johari berkata, Wong bercakap mengenai hal itu ketika mereka bertemu pada Rabu. “Beliau bercadang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan menyatakan alasan atas cadangannya itu,” kata Johari memetik Berita Harian.

Menurut laporan berkenaan, Johari tidak menyatakan sama ada Chen ada menyerahkan apa-apa surat berkait peletakan jawatan itu

Dalam hantaran di Facebook juga pada Rabu, Wong berkata, beliau mengadakan pertemuan bersama Johari kira-kira satu setengah jam, dan semasa pertemuan itu beliau ada menyerahkan sepucuk surat kepadanya. Beliau tidak memperincikan kandungan surat tersebut, sebaliknya memuat naik gambar surat menggunakan kepala surat rasmi Pejabat Ahli Parlimen Subang, dan dialamatkan kepada Johari.

Wong berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu pada petang Isnin ini.

Wong merupakan antara tiga Ahli Parlimen dari PKR yang dihalang akses portal MyKHAS, yang menguruskan dana khas untuk kawasan Parlimen. Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail merupakan individu terbaharu disekat pada Rabu, manakala Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung pada minggu lalu telah mempersoalkan mengapa beliau dihalang.

Ketiganya ada menghadiri majlis pelancaran parti Bersama pada Mei, yang diambil alih bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Guru agama didakwa 8 tuduhan amang seksual, cabul pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas lapan pertuduhan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari lalu.

Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dan mengusap kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara April hingga Mei 2024.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap enam pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun secara berasingan dengan mengusap punggung, paha, tangan dan pipi serta meraba kemaluan mangsa tanpa kerelaan mereka dengan niat mencabul kehormatan.

Semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bilik dan kantin sekolah dengan pertuduhan antara Mei 2023 hingga Januari 2026 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Mohd Najeeb.

Wan Amira Ruzaini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana pertuduhan membabitkan pelajar bawah umur.

Muhd Nazreev bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan tertuduh diikat jamin selain memaklumkan dia telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPU dan tiada risiko mengganggu mangsa.

Mahkamah membenarkan jaminan RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bersatu ‘tersingkir’ dari PN setelah umum bentuk pakatan baru

MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap terkeluar secara automatik dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila menyatakan hasrat membentuk pakatan baharu sewaktu bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Bersatu tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan PN.

Beliau berkata, ia menyebabkan keanggotaan Bersatu dalam PN tergugur sendiri tanpa perlu kepimpinan gabungan pembangkang tersebut yang diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memutuskan apa-apa.

“Bersatu buat kenyataan hendak buat pakatan lain, dengan sendiri automatik terkeluar (dari PN).

“Saya rasa tidak perlu surat (penyingkiran Bersatu secara rasmi) ini, Perlembagaan kita (PN), kalau orang masuk parti lain, keluarlah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu pengumuman calon parti itu dalam PRN Negeri Sembilan pada 17 Julai lalu mengumumkan gabungan politik baharu akan ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Bekas Perdana Menteri kelapan itu, pakatan politik diterajui Bersatu tersebut akan disertai parti-parti politik lain
bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu Pas terbuka untuk menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dari Bersatu yang baru mengumumkan peletakan jawatan dari parti dianggotai mereka.

Mereka ialah ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, Mohd. Zawawi Ismail (Telemong) dan Mohd. Husaimi Hussin (Hulu Besut). – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam gua

Paya Linda Yahya
Bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di dalam gua. – Foto Bomba
GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah gua berhampiran resort di Kampung Pulai di sini, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Che Razak Harun berkata, kejadian terbabit dipercayai membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 70-an.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terbabit pada 9.42 malam.

“Bomba tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mendapati seorang lelaki warga emas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam gua.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan pengusung serta lampu pencahayaan untuk mengeluarkan mangsa dari dalam gua.

“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Che Razak berkata, operasi berjaya dikawal pada 10.10 malam dan ditamatkan sepenuhnya jam 10.48 malam.

Katanya, operasi membabitkan 13 anggota dengan dua jentera serta dua Toyota Hilux.

Kemana PKR selepas ini

Lepaskanlah Nurul Izzah

Mohsin Abdullah

PKR perlu mula beri tumpuan untuk pulihkan keadaan dan fokus masa depan.

Nurul Izzah Anwar mahu berundur daripada jawatan timbalan presiden PKR. Ini didedahkan sendiri oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menerusi kenyataan rasmi parti lewat petang semalam.

Tetapi menurut beliau, Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan untuk ‘memberi cuti sementara’ kepada Nurul Izzah. Keputusan dibuat setelah majlis mendengar pandangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Tanya saya. Apa perlunya beri cuti kepada beliau yang mahu berundur? Benar PKR merasakan Nurul Izzah masih diperlukan dan tetap mampu beri sumbangan besar kepada parti.

Tetapi pada hemat saya apabila seseorang menzahir hasrat berundur ia membawa maksud sudah tidak larat atau tidak berminat terhadap jawatan dipegang.

Nurul Izzah tentu punya sebab dan alasannya. Maka menurut saya lepaskanlah beliau mencapai hasratnya. Yakni biarkan beliau berundur mesti pun berat hati PKR.

Malam tadi beliau umum melepaskan jawatan orang nombor dua parti itu selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan serta membuka langkah baharu dalam kehidupannya.

Apabila seseorang nyatakan hasrat berundur atau lebih tepat letak jawatan, the heart is no more with the job. Begitu jugalah Nurul Izzah. Mungkin beliau sudah tawar hati. Jadi hormatilah hasratnya.

Biarkan beliau berundur sepenuhnya daripada jawatan. Tidak perlu dipujuk rayu (atau ‘dipaksa?’) untuk stay dengan memberi cuti.

Pertanyaan saya balik daripada cuti adakah beliau akan kembali segar dan recharged untuk meneruskan pikul tanggung jawab sebagai timbalan presiden parti?

Mungkin. Lazimnya kita sendiri, apabila pulang daripada cuti kita akan rasa bersemangat semula rasa revigorated. Tetapi ada juga antara kita yang tidak begitu.

Jadi persoalannya adakah Nurul Izzah akan kembali cergas setelah bercuti? Cutinya menurut Fahmi ialah ‘sehingga satu tarikh yang akan diumumkan’.

Bagi saya hasrat Nurul Izzah untuk berundur tidak memeranjatkan. Setelah menewaskan Rafizi Ramli pada pemilihan parti Mei tahun lepas beliau agak menyepi. Mungkin kelesuan?

Sebagai timbalan presiden beliau juga menggalas jawatan pengarah pilihan raya PKR. Namun kemudian parti memutuskan untuk melantik Saifuddin Nasution Ismail untuk bersama Nurul Izzah memegang jawatan itu.

Sekarang jawatan pengarah pilihan raya PKR digalas sepenuhnya oleh Amirudin Shaari, antara naib presiden parti.

Walaupun saya kata hasrat Nurul Izzah tidak memeranjatkan, i can’t help but feel apa yang beliau dan parti lalui semasa pemilihan PKR tahun lalu telah seakan dipersia-siakan.

Umum tahu akibat pemilihan PKR tahun lalu terutama perebutan jawatan timbalan presiden, parti dilanda krisis dalaman. Muncul kem bersengketa dan bersaing sengit. Sehingga sekarang kesannya dirasai. PKR berpecah. Akibat itu juga lahir Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diasaskan Rafizi Ramli.

Hence after all that Nurul Izzah mahu berundur dari jawatan yang ramai bertungkus-lumus memastikan beliau menang. Bukankah sia-sia sahaja semua itu kerana akhirnya sekarang beliau mahu undur?

Dan soal ‘timing’. Memang tidak ada the perfect timing untuk meluahkan hasrat undur. Tetapi she could not have chosen a worst time for PKR to announce her intention.

Hasrat beliau diumum ketika PKR berada pada kedudukan yang dikatakan terendah. Moral tidak tinggi. PH sendiri berdepan masalah. Berdepan juga kawan dalam kerajaan perpaduan yang berlagak musuh.

Cuti Nurul Izzah akan bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 bulan ini. Beliau akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda pada 14 Ogos ini.

Apa amanat akan beliau sampaikan? Apa nasihat dan kata-kata semangat yang boleh diberi berlatarbelakang hasrat beliau mahu undur? Meskipun ‘hanya undur’ daripada jawatan timbalan presiden bukan parti atau politik.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuudin Bakar, keputusan Nurul Izzah tepat. Selama menjadi timbalan presiden beliau tidak terampil. “Mungkin Nurul Izzah banyak membantu di belakang tabir tetapi masyarakat awam tidak merasainya.

“Sepatutnya beliau boleh berfungsi membantu kerajaan dengan lebih efektif, namun peluang disia-siakan,” kata Hisomuddin.

Sekarang kata Hisommudin PKR perlu cepat menyusun strategi sebagai persediaan menghadapi PRU16. A lot is at stake. Tak perlu hurai. Semua orang tahu.

* nota kaki

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan malam tadi Nurul Izzah tidak menyebut apa-apa mengenai cuti, sebaliknya memberi gambaran sudah melepaskan jawatan.

RM170 juta dan 16 kg jongkong emas jadi tumpuan, Ismail Sabri ke mahkamah

Harapandaily

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi, menurut semakan sistem mahkamah.

Kes melibatkan Ahli Parlimen Bera berkenaan dipercayai berhubung pengisytiharan harta.

Ismail, 66, sebelum ini dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Rampasan tersebut berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap ayah kepada penyanyi dan pelakon, Dafi itu.

Hasil rampasan itu diperoleh semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ selepas siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

Belum ajal: Wanita selamat setelah terjun dari tingkat 18

Agensi

Beijing: Seorang wanita berusia 20 tahun di timur China terselamat selepas bertindak terjun dari balkoni apartmennya di tingkat 18, susulan pertengkaran dengan teman lelakinya.

Wanita yang dikenali sebagai Xiaoyi itu dilaporkan bertengkar dengan teman lelakinya selama beberapa jam di apartmen sewa mereka di Jiaxing, wilayah Zhejiang, sebelum bertindak terjun dari balkoni kira-kira 4 pagi 12 Julai lalu.

Menurut Xiaoxiang Morning Herald, Xiaoyi terselamat kerana sebuah pokok yang ada memperlahankan hentamannya sebelum dia terjatuh di kawasan semak berhampiran.

Teman lelakinya kemudian segera membawanya ke hospital dan membuat bayaran pendahuluan sebanyak 20,000 yuan (kira-kira RM12,100) bagi kos rawatannya.

Doktor mendapati, Xiaoyi mengalami kecederaan pada kepala, paru-paru, hati dan limpa, selain patah tulang pelvis, tulang pubis serta kedua-dua belah kaki.

Selepas menjalani dua pembedahan, dia dijadual menjalani pembedahan ketiga pada penghujung Julai.

Selepas sedar dan keadaannya stabil, Xiaoyi mendedahkan sebab dia bertindak sedemikian.

Bapa saudaranya, Li, yang datang dari kampung halaman mereka di daerah Yingjiang, wilayah Yunnan, untuk menjaganya berkata, Xiaoyi dan teman lelakinya sudah beberapa kali bertengkar sebelum kejadian itu.

Pada 10 Julai, Xiaoyi dilaporkan menyatakan hasrat untuk memutuskan hubungan mereka dan membeli tiket kereta api untuk pulang ke Yunnan.

Namun selepas berlaku lagi pertengkaran pada malam 11 Julai, teman lelakinya bertindak menyimpan kad pengenalan dan telefon bimbit Xiaoyi, malah mengunci pintu apartmen bagi menghalangnya keluar.

"Anak saudara saya berkata dia berasa pening selepas bertengkar sepanjang malam. Pada ketika itu, satu-satunya perkara yang difikirkannya ialah melarikan diri dari apartmen itu dan meninggalkan teman lelakinya," kata Li.

Li berkata, Xiaoyi kini menyesali tindakannya yang dilakukan secara terburu-buru.

Kisah Xiaoyi mendapat perhatian selepas keluarganya mendapatkan bantuan media kerana menghadapi kesukaran kewangan untuk menampung kos rawatannya.

Li berkata, ibu Xiaoyi disahkan menghidap kanser pada tahun 2022, menyebabkan bapanya menghabiskan semua simpanan dan terpaksa berhutang bagi membiayai kos rawatan.

Setakat ini, bil perubatan Xiaoyi melebihi 100,000 yuan (kira-kira RM60,000), manakala keluarganya masih berhutang 60,000 yuan (RM36,000) dengan pihak hospital.

Mereka berjaya mengumpulkan 90,000 yuan (RM54,000) melalui platform kutipan derma dalam talian dan bercadang menggunakan wang itu untuk menjelaskan bil hospital.

Namun, keluarga itu masih berdepan tekanan kewangan bagi menampung kos pembedahan ketiga serta rawatan dan pemulihan Xiaoyi selepas ini.

Selepas mengetahui lebih lanjut mengenai hubungan pasangan itu, keluarga Xiaoyi melarang teman lelakinya daripada memasuki bilik hospital kerana dia berulang kali cuba melawat mangsa.

Mereka bimbang kehadiran lelaki itu akan mengganggu emosi Xiaoyi.

Li kemudian menghubungi polis, yang kemudiannya campur tangan dan memujuk lelaki itu meninggalkan wad.

Polis kini masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian itu.

"Anak saudara saya memang sangat bernasib baik. Hanya beberapa kaki dari kawasan semak itu terdapat permukaan simen. Jika dia terjatuh di situ, sudah pasti dia tidak akan terselamat," kata Li.
-hmetro

Nurul Izzah mahu sambung pengajian, kekal anggota PKR

KOSMO!

PETALING JAYA – Nurul Izzah Anwar menjelaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebabkan mahu meneruskan pengajian lanjutan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan panjang, selain menyifatkan langkah itu membolehkannya meneruskan khidmat yang tidak semestinya terikat dengan dunia politik.

Bagaimanapun kata Nurul Izzah, beliau akan kekal sebagai anggota PKR dan terus memberikan dokongan kepada perjuangan parti.

“Saya akan terus kekal sebagai anggota PKR, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Pada masa sama, Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan parti kerana mengambil maklum keputusannya itu.

Kata Nurul Izzah, beliau yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang bakal merangkul tugasan Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya, akan melaksanakan amanah dengan baik.

“Saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada Datuk Seri Presiden beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Amirudin Shari akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Khamis memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah selaku Timbalan Presiden.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP selepas membincangkan permohonan Nurul Izzah yang memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Hina orang Islam, rakyat Singapura diusir dari Malaysia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 27 tahun akan didakwa di Singapura esok berhubung video dimuat naik ke media sosial yang dikatakan menunjukkannya membuat kenyataan menghina masyarakat Islam.

Polis Singapura berkata menerima laporan pada 1 Mac lalu tetapi mendapati lelaki itu meninggalkan negara berkenaan sebelum laporan itu dibuat.

Dia diusir dari Malaysia hari ini dengan bantuan polis Malaysia sebelum ditahan sebaik tiba di Singapura, menurut laporan Straits Times.

Jika sabit kesalahan, dia menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.

Polis Singapura berkata lelaki itu turut membantu siasatan berasingan melibatkan video menunjukkan seseorang memijak al-Quran.

Menurut laporan Straits Times, lelaki itu dipercayai orang sama dalam video berkenaan yang dipercayai dirakam dalam bas awam di Singapura.

Pada 7 Mac lalu, polis mengeluarkan lima arahan kepada Meta, yang mengoperasikan platform media sosial utama, supaya melumpuhkan akses kepada bahan berkenaan untuk pengguna di Singapura.

Polis berkata mereka memandang serius sebarang perlakuan yang mengancam keharmonian kaum dan agama.

“Sesiapa yang membuat kenyataan atau bertindak dengan cara yang mampu membangkitkan permusuhan, kebencian, kemarahan atau perseteruan antara kaum atau agama di Singapura akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” menurut pihak polis.

Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
TIGA anggota maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Ihsan Pembaca.
TIGA anggota maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Ihsan Pembaca.
Beaufort: Tiga anggota polis lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, hari ini.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa adalah pegawai rendah polis.

Dua daripada mereka berasal dari Kelantan, manakala seorang lagi berasal dari Sibu, Sarawak.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.56 petang.

Susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

Maklumat lanjut berhubung identiti mangsa serta punca kejadian masih dalam siasatan dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Jalaluddin nafi mahu jatuhkan MB N Sembilan

FMT Reporters

Adun Pertang berkata perkara itu tidak berasas untuk dilakukan selepas BN berjaya memenangi PRN 1 Ogos lalu.
ismail lasim jalaluddin alias
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias sekali lagi menegaskan terima dengan hati terbuka tidak dilantik menteri besar dan minta semua pihak sokong Ismail Lasim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menafikan dakwaan mempunyai agenda untuk menjatuhkan menteri besar atau institusi diraja negeri itu.

Katanya, perkara seumpama itu tidak berasas untuk dilakukan selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu.

“Pilihan raya dah selesai dan saya pun tidak memegang jawatan menteri besar selain sudah nyatakan hasrat tidak mahu menerima sebarang jawatan exco.

“Jadi, apa lagi masalahnya? Kenapa berterusan tuduh saya? Kalau betul segala dakwaan dinyatakan, tunjukkanlah bukti,” katanya menurut Sinar Harian.

Jalaluddin yang juga Adun Pertang mengulas dakwaan terlibat usaha memaksa Menteri Besar Ismail Lasim menandatangani dokumen menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata, keputusan 14 Adun Umno daripada BN menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun sebagai menteri besar sebelum ini disebabkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan dalam mengemudi pentadbiran negeri susulan krisis institusi adat.

“Tidak akan saya nak runtuhkan kerajaan yang telah saya perjuangkan selama ini? Saya gembira hasrat memastikan BN memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya,” katanya.

Jalaluddin sekali lagi menegaskan menerima dengan hati terbuka tidak dilantik sebagai menteri besar dan minta semua pihak memberi sokongan penuh kepada Ismail.

Katanya, selepas kerajaan baharu dibentuk semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas masing-masing dan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

BN menang 18 DUN pada PRN membentuk kerajaan baharu Negeri Sembilan dengan kerjasama Perikatan Nasional yang memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membawa kepada majoriti dua pertiga.

Ketika kempen berlangsung nama Jalaluddin disebut sebagai menteri besar namun jawatan itu diisi Ismail yang juga Adun Juasseh.

Sebelum ini, Jalaluddin turut menepis dakwaan beliau memboikot majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar dengan berkata jemputan itu diterima pada saat akhir.

PANAS!! Nurul Izzah mohon undur, MPP PKR bagi cuti sementara

Malaysiakini

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memohon untuk berundur daripada jawatannya namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk memberinya cuti sementara.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata cuti berkenaan akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“MPP turut membincangkan permohonan saudari Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden.

“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya melalui kenyataan media selepas mesyuarat MPP hari ini.

Sepanjang ketiadaan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Menurut Fahmi, MPP turut bersetuju supaya seorang lagi naib presiden, Amirudin Shari, menggalas sepenuhnya jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR.

Nurul Izzah menyandang jawatan timbalan presiden PKR sejak 23 Mei tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli dalam pemilihan parti yang berlangsung di Johor.

Meskipun diberikan cuti selepas Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah dijadualkan menyempurnakan perasmian kongres sayap wanita dan pemuda parti itu.

“Berhubung Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah akan merasmikan kongres wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata PKR merakamkan penghargaan kepada bekas menteri besar Aminuddin Harun atas perkhidmatannya yang cemerlang selama dua penggal, susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu,” kata menteri komunikasi berkenaan.

BN dapat 8 exco Negeri Sembilan, 2 PN?

Faiz Zainudin

Sumber berkata perkara itu telah dipersetujui oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Mustapha Nagoor dan Mohd Faizal Ramli dijangka dilantik exco manakala Asna Amin disebut-sebut menjadi speaker DUN Negeri Sembilan.
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mengisi lapan daripada 10 jawatan dalam exco Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar Ismail Lasim, manakala dua lagi diperuntuk kepada Perikatan Nasional (PN).

Sumber berkata formula pembahagian itu dipersetujui kepimpinan kedua-dua gabungan bagi mencerminkan kerjasama mereka dalam pembentukan kerajaan negeri susulan kemenangan pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Kerjasama BN dan PN itu menyaksikannya memenangi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Sumber itu turut menolak dakwaan PN menuntut sejumlah jawatan dalam pentadbiran itu.

“Perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan,” katanya sumber itu kepada FMT.

Menurut sumber itu, Adun Palong Mustapha Nagoor dan Adun Linggi Mohd Faizal Ramli antara yang bakal mengisi jawatan exco bagi BN.

Kedua-duanya menganggotai pentadbiran di bawah Aminuddin Harun pada penggal sebelum ini.

“Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias tidak termasuk dalam senarai,” katanya.

Adun Serting Fairuz Mohd Isa yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan antara seorang daripada wakil rakyat PN dijangka dilantik exco.

Kesemuanya dijangka mengangkat sumpah esok di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti pagi esok.

Dalam perkembangan berkaitan, jawatan speaker DUN dijangka diisi wakil BN, manakala jawatan timbalan speaker diperuntuk kepada PN sebagai sebahagian daripada persefahaman antara kedua-dua gabungan.

Sumber memaklumkan Adun Lenggeng Asna Amin antara nama disebut-sebut untuk dilantik sebagai speaker kerana pernah menyandang jawatan timbalan speaker.

“Namun, beliau juga berkemungkinan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan exco,” kata sumber.

Hukuman mati bapa bunuh anak diganti penjara 40 tahun, 12 sebatan

Bernama

Seorang bekas anggota tentera terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, menukarkan hukuman itu dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh anak perempuan kandungnya, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44.

"Mahkamah mendapati tiada miscarriage of justice dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan perayu bersalah. Oleh itu, sabitan dikekalkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Hakim Nordin.

Berhubung hukuman, Hakim Nordin berkata terdapat split decision dalam kes itu apabila Hakim Vazeer Alam dan Mohd Nazlan berpendapat hukuman mati terhadap tertuduh wajar digantikan.

"Saya bagaimanapun tidak bersetuju dengan kedua-dua panel hakim ini kerana bagi saya, ini merupakan satu kes yang hukuman mati sepatutnya dikekalkan. Namun, kamu bernasib baik kerana majoriti panel dalam kes ini bersetuju hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.

"Mereka berpendapat hukuman yang sesuai bagi kes ini ialah penjara 40 tahun dari tarikh tangkap (31 Jan 2018) serta 12 sebatan," katanya.

Pada 22 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh Nur Aina Nabihah, 9, di sebuah rumah di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 8.30 malam dan 11.30 malam pada 31 Jan 2018.

Sabitan dan hukuman mati itu kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025.

Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Mohammad Abdullah berkata sabitan di bawah Seksyen 302 adalah tidak selamat berikutan mahkamah terdahulu menerima pakai keterangan saksi pendakwaan ke-18 (SP18) iaitu abang si mati untuk mensabitkan perayu tanpa ujian kompetensi dijalankan dalam menentukan tahap kompetensi saksi itu.

Beliau berkata kecerdikan atau keupayaan intelektual dalam memberikan jawapan munasabah dan rasional adalah tidak mencukupi bagi mahkamah untuk menerima masuk keterangan saksi itu secara bersumpah.

"Dalam kes ini, anak guam telah membawa anaknya itu (mangsa) ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Saya juga memohon agar anak guam diberikan peluang kedua," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata SP18 yang berusia 15 tahun semasa memberi keterangan faham soalan ditanyakan semasa perbicaraan.

Menurut Wan Shaharuddin, SP18 dalam keterangan memberitahu beliau dan si mati dihukum oleh bapa mereka kerana tidak solat dan tertuduh menyuruh mereka membuat pumping dan sit up sebanyak 500 kali.

"Apabila si mati tidak larat berbuat demikian, si mati diterajang dan dipijak perut oleh tertuduh hingga menyebabkan pankreasnya terbelah. Tulang rusuk si mati juga patah dan ada kesan cekikan pada leher dan hentakan di kepala.

"Penderaan telah berlaku dalam kes ini dan terdapat 23 kecederaan luka luaran pada jasad si mati… perayu tidak layak diberikan peluang kedua dan orang ramai mahukan hukuman mati diberikan dalam keadaan kes ini," katanya yang memaklumkan perayu tidak pernah menunjukkan penyesalan.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata pihaknya menerima keputusan mahkamah.

"Saya bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman itu, dia (tertuduh) perlu memikirkan apa telah dia lakukan terhadap anaknya. Itu lebih teruk daripada hukuman mati," katanya.

- Putrajaya

Juruwang dipenjara 8 bulan dan sebatan, bersalah guna MyKad pelanggan tuntut subsidi BUDI MADANI

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Seorang juruwang stesen minyak dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan identiti nombor MyKad seorang pelanggan bagi menggunakan subsidi diesel BUDI MADANI tanpa kebenaran.

Tertuduh, Khairul Haizad Herman, 27, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Mengikut empat pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan identiti nombor MyKad milik seorang lelaki dengan menggunakan subsidi BUDI MADANI tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya di Stesen Minyak Petronas Aman Jaya, Jalan Silam, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 26 Julai lalu masing-masing jam 7.14 malam, 7.34 malam dan 8.30 malam, serta pada 27 Julai lalu, jam 9.31 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu berusia 48 tahun dari Taman Semarak, Tawau menyedari kuota subsidi BUDI MADANI diesel yang didaftarkan menggunakan nombor MyKad miliknya digunakan tanpa pengetahuan selepas membuat semakan menerusi laman sesawang BUDI MADANI pada 30 Julai lalu.

Semakan itu mendapati berlaku empat transaksi pembelian diesel berjumlah 43.01 liter di stesen minyak berkenaan antara 26 hingga 27 Julai lalu, menyebabkan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM99.78.

Pengadu memaklumkan tidak pernah kehilangan MyKad dan mengesyaki identitinya disalahgunakan oleh individu tidak dikenali bagi mendapatkan subsidi diesel BUDI MADANI.

Siasatan polis kemudian mendapati tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak berkenaan mengaku menggunakan identiti nombor MyKad pengadu untuk melakukan empat transaksi itu tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

Tertuduh ditahan pada 31 Julai lalu di pekarangan stesen minyak berkenaan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Mohaideen memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai mesej pencegahan kepada masyarakat.

Beliau turut memaklumkan kes itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Sabah.

Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga selain perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit kanser.

Selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan terhadap tertuduh.

Kedah: Polis tahan suami isteri hilang sejak 20 Julai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan suami isteri yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu, dipercayai akibat hutang bermain kutu.
Ketua Polis Kubang Pasu, Radzi Abdul Rahim, berkata pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu menyerah diri di IPD Kubang Pasu pada 1.50 pagi tadi.

Kedua-duanya dijangka direman di mahkamah Jitra pagi ini.

Kelmarin, media melaporkan sepasang suami isteri bersama anak mereka berusia 9 tahun gagal dikesan selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, sejak 20 Julai lalu.

Bapa wanita itu yang berusia 62 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, selepas gagal mengesan anak perempuannya, menantu serta cucunya.

Semalam, Radzi dilaporkan berkata, satu laporan dibuat seorang lelaki 23 tahun terhadap wanita terbabit, yang mendakwa kerugian RM25,000, dipercayai akibat hutang kutu ada kaitan dengan pasangan itu.

3 wanita Malaysia ditahan bawa dadah di lapangan terbang Jakarta

Bernama

KUALA LUMPUR: Tiga wanita warga Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Isnin lepas kerana disyaki membawa dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata pihaknya dimaklumkan oleh polis Indonesia mengenai penahanan tiga wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun yang berasal dari Sabah.

Beliau berkata siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan merupakan penagih. Bagaimanapun, jumlah dadah yang dirampas oleh polis Indonesia adalah kecil serta dipercayai untuk kegunaan sendiri.

“Kes penahanan tiga wanita ini juga didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penahanan seorang juruterbang mahupun seorang lelaki berusia 22 tahun di Indonesia sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio.

Media sebelum ini melaporkan petugas di Terminal 2F lapangan terbang berkenaan berjaya mematahkan cubaan tiga penumpang wanita membawa masuk dadah yang disembunyikan di dalam bagasi dan kasut mereka selepas tiba menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu.

Sementara itu, mengulas rentetan kes tangkapan dadah membabitkan rakyat Malaysia di luar negara, Hussein tidak menafikan kedudukan geografi negara menjadi antara faktor Malaysia dijadikan laluan transit oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

“Sindiket pengedaran dadah ini kebanyakannya beroperasi dari negara di utara Malaysia dan negara kita menjadi laluan transit sebelum dadah dibawa ke Indonesia, Singapura, Filipina serta beberapa negara lain.

“Sehubungan itu, kita akan mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di pintu masuk dan keluar negara bagi memastikan Malaysia tidak terus dilabel sebagai negara transit dadah,” katanya.

Sementara itu, bagi membuktikan ketegasan berterusan polis dalam memerangi jenayah rentas sempadan, Hussein mendedahkan JSJN berjaya merampas 89 tan pelbagai jenis dadah di seluruh negara sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata momentum operasi penguatkuasaan itu kekal konsisten pada tahun ini dengan hampir 46 tan dadah berjaya dirampas dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Terengganu: Kanak-kanak autistik mati lemas di Pantai Kuala Kerteh

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Muhammad Syahmi Farhan yang lemas di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman hari ini.
KEMAMAN – Seorang kanak-kanak lelaki autistik maut akibat lemas selepas dihanyutkan ombak ketika bermain di gigi Pantai Kuala Kerteh, di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Syahmi Farhan Mohd. Firdaus, 6, ditemui orang awam yang membantu operasi pencarian pada pukul 5.43 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Mokhtar Dollah berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut pada pukul 3.43 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian kanak-kanak tersebut dikatakan beriadah bersama ahli keluarganya di pantai peranginam tersebut.

“Mangsa yang sedang bermain pasir di gigi pantai dikatakan hilang secara tiba-tiba oleh ahli keluarganya yang kemudiannya menghubungi pasukan penyelamat.

“Mangsa dijumpai tenggelam dalam kedalaman 1.5 meter di dasar pantai kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya di sini hari ini.

Mokhtar berkata, mayat  Muhammad Syahmi Farhan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

PRN Melaka: Bibit-bibit perpecahan mula melanda BN, PN

Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Landskap politik di Melaka yang jauh berbeza, dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas masing-masing mempunyai alasan untuk mendakwa berada pada kedudukan lebih kukuh, berpotensi mencetuskan bibit-bibit perpecahan meskipun kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) baru sahaja mula berputik.

Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, walaupun kerjasama tersebut menyebabkan BN menang besar di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, kerjasama antara kedua-dua bakal berdepan dengan pelbagai isu seperti pembahagian kerusi pada PRU akan datang dan lantikan jawatan selepas menang yang akan mewujudkan suasana tidak puas hati sesama mereka.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa bentuk persefahaman BN–PN di Melaka mungkin berbeza daripada formula yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan boleh dibaca sebagai isyarat awal rundingan bahawa Pas dan PN tidak mahu sekadar menjadi rakan kecil kepada BN di negeri tersebut.

“Keadaan ini mewujudkan dua ukuran kekuatan yang bercanggah. UMNO boleh berhujah bahawa ia lebih kuat kerana menguasai kerajaan negeri, jawatan Ketua Menteri dan majoriti besar dalam DUN. Pas serta PN pula boleh berhujah bahawa keputusan pilihan raya yang lebih terkini, iaitu PRU15 pada 2022, menunjukkan BN telah kehilangan penguasaan sebenar dalam kalangan pengundi Melaka,” katanya pada Rabu.

Baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, BN dan PN mungkin mencapai bentuk persefahaman yang berbeza bagi menghadapi PRN Melaka meskipun kedua-dua gabungan itu mencatat kemenangan meyakinkan dalam PRN Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, walaupun BN menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka, gabungan yang diterajui UMNO itu tidak memiliki sebarang kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula berkata, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti menerusi formula “BN Plus” bagi menghadapi PRN negeri tersebut. Bagaimanapun, perbincangan itu tidak semestinya membawa kepada persetujuan kerana ia bergantung pada kekuatan setiap parti.

Dalam pada itu, Nur Ayuni berkata, kenyataan Abdul Hadi adalah usaha meningkatkan kedudukan tawar-menawar Pas dan PN sebelum rundingan rasmi bermula.

Katanya, di Negeri Sembilan, BN muncul sebagai komponen terbesar dengan 18 kerusi, PN tujuh kerusi dan PH 11 kerusi. Oleh sebab itu, Pas menerima hakikat bahawa BN mengetuai kerajaan negeri sementara pembahagian jawatan Exco dibuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi.

Di Melaka, katanya, Pas boleh berhujah bahawa formula tersebut tidak boleh digunakan secara terus kerana sekiranya pembahagian dibuat berdasarkan penyandang DUN, BN hampir pasti mendapat sebahagian besar daripada 28 kerusi tetapi jika pembahagian dibuat berdasarkan keputusan PRU15, PN boleh menuntut sekurang-kurangnya 10 kerusi atau jumlah yang hampir seimbang dengan BN.

“Di sinilah bibit perpecahan akan bermula. Tidak ada formula yang dapat memuaskan kedua-dua pihak sepenuhnya. Formula penyandang menguntungkan UMNO kerana BN mempunyai 20 ADUN.

“Formula keputusan terkini menguntungkan PN kerana PN memenangi tiga kerusi Parlimen dan menguasai 10 DUN berdasarkan pecahan PRU15. Formula kebolehmenangan pula boleh menyebabkan penyandang UMNO diminta menyerahkan kerusi kepada Pas atau Wawasan, sekali gus mencetuskan penolakan bahagian serta sabotaj dalaman,” katanya.

Jelasnya, walaupun pembahagian kerusi dapat diselesaikan, pertikaian seterusnya ialah mengenai jawatan selepas kemenangan.

Katanya, UMNO sudah tentu mahu mengekalkan jawatan Ketua Menteri kerana ia merupakan parti kerajaan semasa, manakala Pas dan PN pula mungkin menuntut jawatan Timbalan Ketua Menteri, beberapa portfolio Exco kanan, jawatan dalam GLC negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi agama dan pembangunan luar bandar.

“Sekiranya BN memenangi lebih banyak kerusi, Pas berisiko dilihat sebagai kuda tunggangan UMNO. Sebaliknya, jika PN diberikan banyak kerusi dan jawatan, pemimpin serta penyokong UMNO mungkin mempersoalkan mengapa parti yang menguasai 20 kerusi DUN perlu tunduk kepada gabungan yang hanya mempunyai dua kerusi PN dalam komposisi semasa.

“Melaka hanyalah gambaran kecil kepada masalah pembahagian kerusi di peringkat nasional. Pas dan PN mempunyai kedudukan dominan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Sukar dibayangkan Pas sanggup menyerahkan banyak kerusi selamat kepada UMNO semata-mata atas nama penyatuan Melayu.

“Sebaliknya, UMNO tidak mungkin bersedia menyerahkan kerusi tradisinya di Pahang, Johor dan beberapa negeri lain kepada Pas atau Wawasan. Persoalan sama akan timbul dalam menentukan calon Perdana Menteri, Menteri Besar, pembahagian kerusi Parlimen serta kedudukan Wawasan dalam kerjasama tersebut,” katanya.