KOTA BHARU, 11 Feb (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak tetap haram walau pun telah mempunyai enam anggota Exco baru, kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Katanya, apabila kerajaan yang memerintah sebuah negeri itu haram maka akan timbul pebagai masalah khususnya dari aspek pembayaran gaji, perbelanjaan dan dasar-dasar lain. "Orang ramai yang tidak berpuas hati boleh mencabar di mahkamah. Pelantikan sebagai Menteri Besar atau anggota Exconya masih lagi tidak sah kerana Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin belum lagi melepaskan jawatannya. "Lagi pun masih belum ada undi tidak percaya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Dalam kes ini, Tengku Razaleigh Hamzah juga mempertikaikan pelantikan Menteri Besar baru di Perak," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini. Sedangkan kata beliau semua orang tahu Ku Li juga pernah terlibat menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1978. "Pada masa itu dibawa usul undi tidak percaya, di mana Speaker Dun telah mengizinkannya dan akhirnya kerajaan PAS Kelantan tumbang," ujarnya. Kata beliau Menteri Besar Perak tidak melepas jawatannya dan bagaimana Menteri Besar baru pula dilantik. "Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai perlembagaan dan undang-undang, bukan seperti Somalia," katanya. Beliau juga tidak menolak krisis di Perak akan terus berpanjangan kerana kerajaan baru di tidak sah dari segi perlembagaan. Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan tetap akan mengadakan rundingan dan pertemuan dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak di bawah Nizar memandangkan beliau merupakan menteri besar yang sah. "Sekarang terpulang kepada Umno untuk mengesahkan jawatan tersebut, namun bagi kita kerajaan Barisan Nasional yang baru ditubuh di Perak adalah haram," ujarnya. Sementara itu dalam perkembangan lain Husam berkata, PAS akan mencalon pemimpin yang berpotensi untuk menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi, bagi mempertahankan kerusi tersebut. Beliau berkata, Dewan Harian PAS Pusat yang akan bermesyuarat malam ini di Kuala Lumpur dijangka memutus perkara tersebut. "Nama calon hanya diumumkan pada saat-saat akhir, itu sebagai satu strategi. Tindakan tersebut tidak sama dengan tempat lain," katanya. - mj _ |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan